Pengurusan Jenazah Covid: Tanggung Jawab Siapa?
KOTA BHARU – Bayaran pengurusan jenazah sebahagian pesakit Covid-19 di negeri ini iaitu antara RM1,300 hingga RM1,800 disifatkan melampau, sehingga menekan keluarga golongan kurang berkemampuan [Sinar Harian].
Sepanjang pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, angka kematian terus meningkat dengan cepat termasuk di Malaysia. Sehingga 15 Ogos 2021, sebanyak 12,510 kematian telah tercatat di seluruh Malaysia akibat wabak tersebut. Jadi isu pengurusan jenazah memang memainkan peranan penting, apatah lagi apabila melibatkan umat Islam. Ini kerana, pengurusan jenazah melibatkan persoalan hukum yang tidak boleh diambil mudah.
Menguruskan jenazah (tajhiz) merupakan fardu kifayah bagi umat Islam. Apabila berlaku kematian di suatu tempat, maka wajib ada orang yang menguruskan jenazah daripada memandikan, mengkafankan, menyolatkan hinggalah mengebumikannya. Jika tiada mana-mana individu yang dapat menguruskan jenazah tersebut, maka hukum tersebut beralih kepada masyarakat di sekitarnya dan sekiranya tidak dapat disempurnakan, maka tanggungjawab tersebut jatuh ke atas pemerintah dalam negara tersebut, sebagai pihak yang wajib menguruskan rakyat. Kegagalan menjalankan fardu kifayah tersebut atau pengurusan jenazah tersebut akan mengundang dosa, sehinggalah ia selesai diuruskan.
Namun, dalam situasi COVID-19 di Malaysia yang telah berlarutan selama dua tahun ini, pengurusan jenazah di sesetengah tempat masih kelam kabut akibat kegagalan kerajaan negeri dan persekutuan untuk menyelaraskannya. Terdapat jenazah yang diuruskan oleh kerajaan negeri dan pada masa yang sama ada pula jenazah yang diuruskan oleh pihak Non-Government Organization (NGO). Jenazah pesakit Covid yang diuruskan oleh NGO sudah pasti melibatkan kos yang tinggi kerana perlu membiayai upah pekerja mahu pun sukarelawan, penggali kubur, kain kafan, kenderaan, cecair disinfeksi, Personal Protection Equipment (PPE) dan lain-lain yang berkaitan.
Bagi waris si mati yang sedang menanggung kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga, mereka ibarat jatuh ditimpa tangga apabila diuji dengan kos tajhiz yang mahal. Lebih-lebih lagi bagi waris yang telah kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat pandemik. Kos yang tinggi boleh menyebabkan waris mengambil masa untuk mencari sumber kewangan untuk menguruskan jenazah sekali gus menyebabkan jenazah lambat dikebumikan dan terpaksa disimpan dalam suatu tempoh yang lama. Situasi sebegini menyalahi syarak yang menuntut agar jenazah diurus dan dikebumikan dengan segera.
Meskipun kerajaan melalui NADMA memperuntukkan bantuan RM5,000 kepada waris korban Covid-19, namun peruntukan tersebut dibuat melalui pindahan dana elektronik (EFT) kepada pemohon yang layak dalam tempoh 30 hari daripada tarikh permohonan. Sedangkan pengurusan jenazah perlu disegerakan dan bukan semua pihak mempunyai simpanan yang mencukupi bagi menyempurnakan pengurusan jenazah sementara menunggu bantuan tersebut diterima.
Di sinilah letaknya masalah apabila urusan birokrasi diutamakan berbanding hukum syarak. Seharusnya birokrasi dalam urusan ini dipermudahkan agar jenazah dapat diuruskan dengan kadar yang segera, dan dalam masa yang sama meringankan beban waris. Pemerintah wajib memastikan tajhiz berjalan dengan lancar tanpa membebankan waris si mati. Jika pemerintah sudah tidak berkeupayaan dan bantuan NGO diperlukan, maka pemerintah wajib mengeluarkan dana kepada NGO tersebut, bukannya memaksa waris untuk mengeluarkan dana. Dalam masa yang sama, NGO tidak seharusnya mengurus urusan jenazah atas orientasi keuntungan, tetapi atas orientasi menunaikan fardhu kifayah dan mengharapkan pahala dari Allah (swt).
Peranan pemerintah dalam menguruskan jenazah merupakan tanggungjawab politik yang wajib ke atas mereka selaras dengan tuntutan syarak sebagaimana sabda Rasulullah (saw):
الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Imam (pemimpin) itu pemelihara dan dia bertanggung jawab atas orang yang dipelihara (rakyat)nya” [HR Muslim].
Inilah maksud politik (siyasah) dalam Islam iaitu ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri). Malangnya di saat jumlah kematian semakin meningkat dan pengurusan jenazah terlihat caca merba dan membebankan rakyat, pemerintah sibuk mempertahankan kuasa dan kesemua ahli politik sedang sibuk berebut kuasa. Inilah kesan politik demokrasi-kapitalisme yang diamalkan, yang menjadikan ahli-ahli politik hanya mengejar manfaat, bukannya menjaga kebajikan rakyat.
Perlu diperhatikan bahawa dalam isu tajhiz ini, pemerintah wajib menunaikan tanggungjawab bukan sahaja melibatkan pengurusan jenazah pesakit Covid, bahkan semua kematian lainnya secara sama rata. Pemerintah wajib menyediakan dan menguruskan segala yang perlu, termasuklah tanah perkuburan yang mencukupi dan kondusif. Kegagalan kerajaan melakukan semua ini menyebabkan munculnya ‘kartel’ atau pihak yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan atas musibah yang melanda negara ketika ini.
Wallahu a’lam.