Peningkatan kes Covid-19: Harga sebuah demokrasi

Semua orang tahu dan bengang dengan peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini yang telah memecah rekod menjadi kes tertinggi dicatatkan sejak pandemik tersebut melanda Malaysia. Orang bengang bukan kerana peningkatan itu sendiri, tetapi kerana penyebab kepada peningkatan itu yang datangnya dari “kluster politik” Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Di saat penularan Covid-19 masih belum berakhir, dan di saat kerajaan menekankan habis-habisan agar rakyat mematuhi SOP bagi mengelakkan penularan yang pada waktu itu (sebelum PRN Sabah) sudah semakin berkurangan, di saat itulah kerajaan mengadakan PRN Sabah akibat ketamakan dan perebutan kuasa yang berlaku di negeri yang kaya dengan sumber alam itu. Hasilnya ialah apa yang kita lihat sekarang – kes naik mencanak dan kini penduduk Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya terpaksa “dikuarantin” di tempat masing-masing. Orang politik yang buat perangai, rakyat yang terpaksa menanggung segala penderitaannya.

Inilah harga yang perlu dibayar akibat sebuah demokrasi – mencanaknya kes Covid-19, dan kali pertama mengakibatkan kematian seorang bayi dan kali pertama virus itu menghinggapi menteri dan Ketua Menteri Sabah sendiri.

Di sebalik malapetaka yang berlaku, Alhamdulillah umat Islam semakin sedar bagaimana orang-orang politik, khususnya pemerintah “mempermainkan” mereka. Pemerintah (melalui Menteri Agama) bercakap mengenai hifzu nafs (menjaga nyawa) sehingga masjid-masjid ditutup, dan apabila dibuka semula, semua saf dijarakkan, bukan warganegara tidak dibenarkan solat Jumaat, begitu juga dengan kanak-kanak dan wanita. Penjarakan saf masih berjalan sehingga sekarang walaupun hal tersebut jelas merupakan satu bida’ah dalam agama, satu perkara baru yang diada-adakan yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah (saw).

Menteri Agama sendiri, yang tidak mempunyai mana-mana parti, turut turun ke Sabah semasa kempen PRN, walaupun mengetahui bahawa di Sabah sudah ada kes Covid-19 yang semakin meningkat pada waktu itu. Sedangkan beliau, jauh sebelumnya telah mengingatkan umat Islam akan hadis yang melarang memasuki tempat wabak, dan yang berada di dalam kawasan wabak agar tidak keluar, suatu peringatan yang cukup bagus untuk umat Islam dan untuk diri sendiri.

Tatkala kempen sedang hangat berlangsung, kita melihat bagaimana rapatnya jarak para penyokong parti-parti politik yang sedang berhimpun atau melakukan kempen. Pemerintah sendiri, yang selama ini sibuk melaungkan penjarakan sosial dan pematuhan kepada SOP, akhirnya mereka dan parti mereka sendiri yang melanggar segala SOP…semuanya kerana politik! Sedangkan semasa solat, mereka menjarakkan saf, tetapi semasa berkempen, bermesyuarat dan bergambar, semuanya berada dalam keadaan cukup rapat. Ini yang dipertontonkan kepada kita. Penjarakan sosial entah ke mana, pelitup muka entah ke mana, SOP entah ke mana…demi demokrasi!

Berapa ramai daripada ahli-ahli parti pemerintah yang kemudiannya balik dari Sabah dan tidak kuarantin diri sebagaimana peraturan dan arahan yang menghendaki mereka berbuat demikian. Lebih ironi, tidak ada satu tindakan pun yang diambil ke atas mereka. Sedangkan apabila rakyat yang lemah lagi tak berduit melanggar SOP, terus diambil tindakan, diseret ke mahkamah, didenda dan dipenjarakan serta-merta. Semua double-standard ini berlaku di depan mata. Bagaimana rakyat tidak bengang?

Setiap kali Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet berucap, mereka kononnya mengutamakan rakyat, menjaga kebajikan rakyat, semua dasar dibuat dan bantuan diberikan untuk meringankan beban rakyat, namun akhirnya akibat PRN Sabah, rakyatlah yang menanggung segala penderitaan akibat peningkatan kes Covid-19. Sebelum ini pun sudah berapa ramai yang kehilangan pekerjaan dan terjejas teruk pendapatannya, kini keadaan kembali parah. Sedangkan dalam masa yang sama pak-pak menteri masih hidup senang-lenang dengan gaji dan elaun bulanan puluhan ribu!

Seluruh rakyat Malaysia sudah semakin sedar bahawa orang-orang politik dalam sistem demokrasi sekarang semakin gila kuasa, dan kerana itu politik di Malaysia ini tidak pernah stabil khususnya sejak kebelakangan ini. Usaha untuk menjadi kerajaan, dan menjatuhkan kerajaan, dengan melompat parti dan beralih sokongan, semakin menjadi-jadi sehingga rakyat sudah semakin nampak betapa hipokritnya orang politik, yang sudah tidak tahu malu! Inilah senario yang ditayangkan kepada rakyat sejak awal tahun sehingga sekarang. Inilah juga yang menjadi penyebab kepada PRN Sabah, dan seterusnya inilah yang mengakibatkan peningkatan kes Covid-19. Inilah harga yang perlu dibayar untuk sebuah proses demokrasi!

Wallahu a’lam.