Kesediaan Kemudahan Kesihatan Di Sarawak Untuk Kes Covid-19 Amat Membimbangkan  

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak pada 8 April 2020, Sarawak telah mencatatkan kes positif Covid-19 yang baru sebanyak 18 kes. Dengan itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak adalah sebanyak 306 kes sejak kes pertama di negeri ini di kesan pada 13 Mac 2020. Ini menjadikan Sarawak sebagai negeri ke-4 tertinggi dari segi jumlah kes kumulatif untuk seluruh Malaysia di belakang Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Selain itu, Sarawak turut mencatatkan 12 kematian, iaitu 18.5% daripada keseluruhan 65 kematian di seluruh Malaysia. Jika dibandingkan dengan jumlah ujian ke atas Person Under Investigation (PUI) seramai 1809 kes (setelah ditolak dengan 55 kes pending keputusan ujian), jumlah kes positif adalah sekitar 17% daripada ujian yang dijalankan.

Dengan memetik kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (yang memetik panduan daripada WHO), sekiranya jumlah kes positif melebihi 10% daripada keseluruhan ujian yang dijalankan, ini menandakan bahawa masih banyak kes-kes positif yang masih tidak di kesan dalam sesuatu komuniti. Ini merupakan sesuatu yang membimbangkan kerana daripada keseluruhan 306 kes di Sarawak, 240 (78%) kes dikesan di bahagian Kuching dan Samarahan. Persoalannya, berapa banyak lagikah kes positif Covid-19 yang masih tidak di kesan di kedua-dua bahagian ini?

Ketua Menteri Sarawak sebelum ini (26 Mac 2020) menyatakan yang kadar jangkitan Covid-19 di Sarawak sudah mulai stabil semenjak PKP dijalankan serta beliau yakin bahawa kerajaan Sarawak mampu untuk membendung jangkitan ini memandangkan negeri ini dipisahkan oleh Laut China Selatan dengan Semenanjung Malaysia yang jauh lebih terkesan dengan pandemik ini. Namun apa yang berlaku, kes-kes baru semakin bertambah dengan terdapatnya beberapa kluster jangkitan yang telah sampai ke generasi ke-4. Dengan pertambahan kes positif ini, apakah kemudahan kesihatan di Sarawak bersedia untuk menampung pertambahan drastik ini?

Dengan hanya sebuah kemudahan Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk melayani kes Covid-19 untuk Bahagian Kuching dan Samarahan, ia pasti sesuatu yang membimbangkan memandangkan sebelum ini pun hospital ini sudah sedia sesak untuk menampung keperluan penduduk berjumlah lebih 1 juta di kedua-dua bahagian ini.

Meskipun kontrak Hospital Petrajaya yang bernilai hampir setengah bilion ringgit (RM495 juta) telah dianugerahkan kepada kontraktor, Zecon Medicare Sdn Bhd pada tahun 2013, namun hospital 300 katil ini yang sepatutnya siap sepenuhnya pada November 2016 masih tidak dapat beroperasi sehingga ke hari ini. Ini merupakan salah satu kegagalan pemerintah dalam menyediakan kemudahan kesihatan yang sempurna untuk menjaga kebajikan rakyat. Dengan wabak yang berlaku ketika ini, keadaan yang berlaku pastinya umpama sudah jatuh di timpa tangga.

Di samping itu, tatkala premis perniagaan lain serta masjid-masjid ditutup, operasi kilang-kilang di Samajaya Industrial Park yang menempatkan banyak kilang milik syarikat negara luar seperti Amerika Syarikat dan Jepun masih dibenarkan beroperasi. Dengan puluhan ribu pekerja di kawasan perindustrian ini masih dibenarkan beroperasi, maka tidak hairanlah jika jalan raya di sekitar kawasan ini masih sesak dengan kenderaan tatkala PKP dijalankan. Ini pastinya turut mendedahkan pekerja-pekerja ini serta sebarang rantaian yang berkaitan dengan operasi kilang-kilang ini dengan risiko jangkitan wabak yang semakin menular di Sarawak.

Kita pastinya tidak akan mendapat keputusan yang lebih baik pada hari mendatang, sekiranya pada hari-hari berikutnya kita tetap melakukan perkara yang sama sebagaimana pada hari ini. Oleh itu, Kerajaan Negeri Sarawak sepatutnya melakukan langkah yang lebih berkesan untuk membendung wabak ini daripada semakin parah serta merebak ke bahagian-bahagian yang lain. Ini termasuklah menambah bilangan saringan dan ujian untuk dijalankan di kedua-dua kawasan merah ini bagi mengesan kes-kes baharu serta mengambil langkah yang lebih drastik agar rakyat tidak terus terdedah dengan risiko jangkitan.

 

Ir. Yusuf M.