‘Pekung’ Di Sebalik Tujuh Dasar Baru Kerajaan Sarawak

Pengumuman yang dilakukan oleh Ketua Menteri Sarawak berkaitan “7 dasar baru” kerajaan negeri bukanlah suatu yang perlu dibanggakan, kerana ia tidak lebih daripada penyelesaian tambal sulam atau ‘piecemeal’ (beransur-ansur dan tidak menyeluruh) kepada masalah yang membelenggu rakyat di Sarawak ketika ini.

Sebagai contoh, pemberian subsidi sebanyak RM5 untuk bekalan air tidak akan dapat menyelesaikan masalah di kawasan-kawasan pedalaman Sarawak yang sehingga ke hari ini masih belum mendapat bekalan air yang bersih secara konsisten.

Sementara itu, isu bebanan bayaran balik PTPTN sepatutnya tidak timbul sekiranya pendidikan disediakan oleh pemerintah secara percuma kepada rakyat seperti mana yang digariskan oleh Islam.

Begitu juga dengan soal penyediaan sambungan dan bekalan elektrik ke setiap rumah di negeri yang memiliki empangan hidro elektrik terbesar di Malaysia ini, ia tidak akan timbul sekiranya pemerintah menjadikan kebajikan serta segala keperluan asas rakyat sebagai antara perkara utama yang perlu diberi perhatian.

Demikianlah sebahagian daripada kepincangan yang terserlah daripada pengumuman yang kelihatan gah tetapi hakikatnya membongkar kegagalan serta kelalaian kerajaan negeri selama ini. Apa yang pasti ialah pengumuman “7 dasar” ini tidak lebih daripada sekadar gula-gula tambahan tatkala negeri Sarawak bakal mengadakan Pilihanraya Negeri tidak lama lagi.

Satu-satunya “dasar” yang benar yang sepatutnya dilaksanakan ialah menjadikan Islam dan sistem-sistemnya sebagai anutan dan penerapan dalam pemerintahan, dan bukannya sistem yang memisahkan Islam daripada kehidupan (sekular), sebagaimana yang diterapkan sekarang.

Langkah-langkah penyelesaian yang tidak ditujukan kepada akar permasalahan pastinya tidak akan berhasil untuk menangani permasalahan-permasalahan cabang yang timbul daripadanya. Bukanlah suatu yang mengejutkan sekiranya isu yang sama juga berulang dalam pilihanraya akan datang selagi mana aturan kehidupan yang sama masih diamalkan di negeri ini.

Kemelut kos sara hidup yang semakin meningkat, jurang kekayaan antara golongan B40 dan T20 yang semakin melebar, peningkatan kadar jenayah serta masalah sosial semakin membarah dalam masyarakat, kesemua masalah ini berulang-ulang sejak sekian lama tanpa kesudahan. Kenapa semua ini terjadi? Kerana puncanya adalah penerapan sistem sekular, sebuah sistem buatan manusia yang tidak mampu dan tidak akan dapat menyelesaikan masalah manusia. Ideologi kapitalisme yang dibina atas idea-idea kebebasan yang darinya lahir sistem demokrasi – inilah punca kepada semua masalah, dan masalah ini akan hanya dapat diatasi sekiranya ideologi ini dibuang dan kita mengambil ideologi Islam semata-mata sebagai cara hidup dan peraturan untuk negara.

Ir. Yusuf M.

Sumber berita: bharian.com.my