Undian MA63 Hanya Gimik Politik kerajaan PH, BN serta GPS

Berita:

KUALA LUMPUR: : Kerajaan tidak berjaya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan apabila gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti daripada jumlah ahli Dewan Rakyat. Daripada 221 Ahli Parlimen – dengan kerusi Parlimen Sandakan yang masih kosong – 138 mengundi bersetuju manakala 59 lagi tidak mengundi. Ini menjadikan kerajaan kekurangan 10 undi bagi memastikan pindaan itu berjaya dilaksanakan.

Sumber: astroawani.com

Komentar:

Semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah berjanji untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan negara Malaysia. Undian untuk meminda Perlembagaan Malaysia bagi mengembalikan status Sabah serta Sarawak sebagai rakan kongsi ini sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 [Malaysia Aggrement 1963 (MA63)] bagaimanapun telah gagal mendapat undi majoriti 2/3 di Parlimen.

Isu ini sering dimainkan sama ada di pihak kerajaan (PH), Barisan Nasional (BN) mahupun di pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang masing-masing sering mendabik dada bahawa merekalah yang lebih jaguh untuk menjuarai isu ini. Isu ini timbul kerana terdapat jurang permbangunan yang amat besar di antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat dan sudah pastinya kerajaan Sarawak yang merupakan “pembangkang” akan menggunakan alasan ini untuk meraih sokongan daripada penduduk Sarawak dengan mendesak kerajaan Pusat agar memenuhi tuntutan-tuntutan mereka. Persoalannya, apakah isu ini akan timbul sekiranya terdapat pembangunan yang setara antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat?

Umum mengetahui bahawa kerajaan Sarawak yang ada sekarang sebenarnya merupakan bekas kepada Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Barisan Nasional. Namun, sepanjang tempoh 60 tahun pemerintahan Barisan Nasional di Malaysia selama ini, mengapakah mereka masih gagal dalam memastikan pembangunan yang sekata berbanding di Semenanjung? Namun apabila sudah tidak lagi menjadi Kerajaan Pusat, mereka pula yang cuba menjadi jaguh dalam permainan sentimen kenegerian ini.

Sarawak merupakan negeri pengeksport balak terbesar di Malaysia. Jumlah eksport balak dari Sarawak sahaja lebih RM5 billion setahun dan pengurusan hasil balak ini berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri sejak dahulu lagi. Tapi, kemanakah perginya hasil penjualan hak umum yang selama ini diurusi oleh kerajaan BN Sarawak dan dengan jenama GPS pada masa ini? Ini baru sahaja hasil balak dan belum lagi diperkirakan lagi hasil-hasil bumi yang turut melimpah ruah daripada perut bumi negeri ini.

Permainan isu MA63 mahupun isu-isu berkaitan ketidaksamarataan pembangunan ini hanyalah sebuah modal politik GPS, BN mahupun kerajaan PH untuk meraih sokongan dalam Pilihan Raya Negeri pada tahun 2020 atau mungkin akan dijalankan seawal-awalnya hujung tahun ini. Maka dengan itu, kedua-dua pihak cuba untuk menjadi hero di mata rakyat Sarawak dan mendabik dada bahawa merekalah pejuang sebenar untuk menjaga kebajikan rakyat negeri ini.

Dalam pandangan Islam, pembangunan wilayah di dalam Daulah akan dilakukan secara menyeluruh demi memenuhi keperluan rakyat di mana pun mereka berada. Pembangunan infrastruktur serta kemudahan yang diperlukan rakyat akan dilakukan sebaik mungkin, sesuai dengan peranan pemerintah sebagai pengatur urusan rakyatnya dan pembangunan bukannya hanya berpusat di sesuatu kawasan sahaja. Selain itu, model pemerintahan Islam ialah berbentuk kesatuan dan bukannya bersifat federalisasi sebagaimana yang diamalkan oleh Malaysia, lebih-lebih lagi sehinggakan ada negeri yang memiliki kuasa autonomi dalam urusan imigresen seperti Sabah dan Sarawak. Inilah nasib malang yang menimpa umat yang mulia ini sekiranya mereka masih mengekalkan sistem yang rosak warisan daripada penjajah British ini. Mereka akan terus menjadi mangsa kerakusan ahli politik dalam sistem demokrasi yang ingin terus mengekalkan kuasa dan bukannya meletakkan kepentingan rakyat dan keredhaan Allah SWT sebagai tunjang perjuangan mereka.

Oleh: Ir. Yusuf Muhammad, P.Eng
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia