Pentingnya disiplin ilmu yang benar dalam memahami al-Quran

Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa orang Islam hanya boleh menjadikan Islam sebagai cara hidup jika mereka membaca al-Quran (pedoman hidup umat Islam) dalam bahasa yang mereka boleh faham. Dengan kata lain, membaca al-Quran dengan bahasa terjemahan dan tidak semestinya dalam skrip Bahasa Arab yang mereka tidak faham

Sumber : malaymail.com


Komentar:

Antara kemukjizatan al-Quran ialah gaya bahasanya yang sangat tinggi dan mendalam. Para penyair arab yang hebat pada ketika itu seperti Walid bin Mughirah turut terpegun apabila mendengarkan  keindahan serta ketinggian bahasa al-Quran. Dengan hanya mendengarkan gaya bahasa yang digunakan oleh al-Quran, para penyair Arab menyedari bahawa al-Quran bukan karangan Nabi Muhammad SAW atau mana-mana manusia. Begitulah ketinggian gaya bahasa al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran ialah kalamullah. Maka sebab itu, tidak menghairankan jika  para sahabat yang merupakan bangsa Arab Quraish juga sering kali mempunyai pemahaman yang berbeza terhadap maksud yang disampaikan dalam al-Quran walaupun al-Quran diturunkan dalam bahasa arab yang mereka pertuturkan.

Apabila terdapat sahaja perbezaan pemahaman dalam kalangan sahabat terhadap maksud yang disampaikan dalam al-Quran, mereka terus merujuk kepada Rasulullah SAW untuk mendapatkan pemahaman yang sebenar seperti yang dimaksudkan oleh Allah SWT. Begitulah yang dilakukan oleh para sahabat ketika Rasulullah SAW masih hidup. Dengan kata lain, sunnah Rasulullah SAW memperjelaskan dan merincikan kandungan al-Quran yang bersifat umum. Para sahabat akan menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai rujukan dalam sebarang permasalahan yang tidak dijelaskan secara terperinci oleh al-Quran ataupun apabila terdapat persoalan yang tidak dijelaskan dalam al-Quran. Maka sebab itu, perlu disedari dengan jelas bahawa umat Islam tidak akan dapat untuk memahami segala perintah dan larangan Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran jika tidak menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai rujukan untuk memahami al-Quran. Sunnah juga merupakan sumber hukum terhadap persoalan yang tidak dijelaskan dalam al-Quran.

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى (4)

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)” [TQM: An-Najm(53): 3 – 4].

Para ulama silam yang muktabar seperti Iman Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad kemudiannya mengajarkan kepada umat Islam kaedah atau disiplin ilmu bagaimana untuk memahami dengan benar ajaran yang terkandung dalam al-Quran mahupun as-Sunnah. Hal ini demikian kerana, umat Islam mesti memahami segala perintah dan larangan Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran mahupun as-Sunnah seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT, bukannya melaksanakan perintah dan larangan Allah SWT seperti yang ingin difahami oleh kehendak diri sendiri.

Oleh itu, merupakan satu pemahaman yang sangat tidak tepat  jika mana-mana umat Islam yang merasakan dirinya mampu untuk mengamalkan ajaran Islam tanpa perlu merujuk kepada panduan dan kaedah yang telah diajarkan oleh para ulama silam. Apatah lagi jika manusia tersebut hanya berkeupayaan memahami al-Quran dalam bahasa terjemahan dan tidak mempunyai kefakihan dalam cabang-cabang ilmu yang diperlukan untuk memahami maksud ayat-ayat Al-Quran.

Mus’ab
Pimpinan Pusat HTM