Penyelesaian-Penyelesaian yang Praktikal bagi Krisis dan Epidemik di Dalam Daulah Khilafah
بسم الله الرحمن الرحيم
“SEMPENA 100 TAHUN KEJATUHAN KHILAFAH…AYUH TEGAKKANNYA WAHAI KAUM MUSLIMIN”
UCAPAN 7
Penyelesaian-Penyelesaian yang Praktikal bagi Krisis dan Epidemik di Dalam Daulah Khilafah
Dr. Iftikhar – Wilayah Pakistan
(Terjemahan)
Saya berbicara kepada anda semua, tatkala kita sedang hidup sewaktu usaha kepemimpinan global Barat dalam membendung pandemik Coronavirus (COVID-19) telah mula dipersoalkan oleh rakyatnya sendiri, bahkan oleh seluruh dunia. Ketidakpuasan ini telah dizahirkan dalam bentuk kritikan terhadap sistem Barat itu sendiri, kecurigaan terhadap peranan golongan kaya yang berkuasa, termasuklah kecenderungan yang meluas terhadap teori konspirasi. Umum mulai merasakan kesan daripada pengambilan keputusan berdasarkan utilitarianisme, manfaat kebendaan, sebagai asas untuk semua tindakan, kerana keinginan untuk bersaing telah menyebabkan kekacauan dalam masyarakat mereka.
Rasa tidak puas hati dengan kepemimpinan global yang ada pada masa kini telah memberi peluang kepada umat Islam secara praktiknya mempersembahkan Islam sebagai penyelesaian alternatif. Islam jauh lebih unggul daripada kapitalisme dalam persiapan menghadapi krisis sebelum ia berlaku, baik dari sudut perubatan mahu pun ekonomi.
Antara kedua-dua ideologi ini, terdapat perbezaan yang sangat mendasar di mana Islam berpijak kepada asas ilmullah (pengetahuan Allah) Yang Maha Kuasa Yang Maha Luas, bebas dari batasan masa, tempat dan pengalaman. Sebaliknya, Kapitalisme menyelesaikan permasalahan manusia berdasarkan akalnya yang terbatas, cacat dan pemahaman terhadap pengalaman lalu.
Tambahan pula, dalam sistem politik Islam, Khalifah membuat keputusan dengan kesedaran bahawa suatu hari nanti ia akan diminta pertanggungjawaban atas setiap dosa, besar dan kecil, terbuka dan tersembunyi, di hadapan Allah (swt), Yang Maha Mengetahui rahsia yang tersimpan di dalam hati. Sedangkan dalam sistem Kapitalisme, penguasa membuat segala keputusan dengan menyandarkannya kepada jangkaan keputusan pilihan raya yang akan datang.
Penting juga untuk diketahui bahawa sains (ilmu) dalam Kapitalisme diguna pakai secara umum, tanpa membezakan dan tanpa menentukan sama ada ia boleh terpakai dalam setiap aspek kehidupan manusia atau tidak. Dakwaannya ialah bahawa setiap keputusan (dalam Kapitalisme) dibuat berdasarkan fakta sains yang tidak dapat disangkal. Namun apa yang berlaku baru-baru ini telah mendedahkan kepalsuan dakwaan ini. Apa yang disebut sebagai Sains Ekonomi secara jelas telah bertembung dengan Sains Perubatan yang tidak sempurna.
Rakyat di semua negara di Barat berada dalam dilema apakah mereka hendak mendengar pandangan ahli ekonomi atau pakar kesihatan. Sementara pada sisi lain, rakyat, di bawah teori kebebasan individu, melihat konflik ini dengan penuh kecurigaan. Firman Allah (swt):
﴿وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ﴾
“Dan orang-orang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kekufuran)” [Al-Baqarah (2): 257].
Perkara yang sama turut berlaku ke atas kepimpinan sosialis China.
Andaian dan teori yang direka-reka sendiri merupakan ciri pemikiran sosialis, yang sebenarnya merupakan satu bentuk lain utilitarianisme. Akibat cara berfikir begini, China pada awalnya telah menyembunyikan krisis tersebut untuk mengelakkan kerugian ekonomi.
Kemudian atas dasar utilitarianisme, dengan melihat infrastruktur kesihatan awamnya yang terhenti sepenuhnya daripada berfungsi, mereka melaksanakan penutupan zon/wilayah secara total, yang telah menimbulkan masalah baru dan kesusahan yang lebih teruk daripada sebelumnya.
Sekiranya keadaan yang sama berlaku dalam sebuah Negara Islam (Khilafah), tindakan yang akan diambil oleh Khilafah adalah lebih baik dan seimbang, atas keimanan dan keyakinan umat terhadap hukum Islam, kerana ia telah ditetapkan oleh Allah (swt).
Khalifah terikat untuk menerapkan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah (swt). Oleh yang demikian, ketaatan kepada Khalifah dianggap sebagai ketaatan kepada Allah (swt). Oleh itu, umat Islam akan bekerjasama sepenuhnya dengan penguasa mereka (Khalifah) dengan tujuan untuk mencapai keredhaan Allah (swt). Firman-Nya:
﴿اللَّـهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ﴾
“Allah adalah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekufuran) kepada cahaya (iman)” [Al-Baqarah (2): 257].
Dalam Islam, negara perlu memastikan bahawa ia memiliki kemampuan dan kekuatan untuk menangani krisis sebelum timbulnya sebarang krisis.
Rasulullah (saw) bersabda:
«كُلُّكُمْ رَاعٍ ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ»
“Sesungguhnya setiap daripada kamu adalah pemelihara dan kamu bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pelihara. Seorang pemerintah adalah pemelihara (dan dia akan bertanggungjawab) terhadap manusia (yang dipeliharanya)” [HR Bukhari & Muslim].
Pada era pemerintahan Islam, Khilafah menyediakan penjagaan kesihatan yang terbaik yang dibiayai oleh negara serta mempunyai rizab dana yang besar kerana Islam telah menjadikan hal tersebut kewajipan ke atas negara.
Negara juga telah menyediakan semua keperluan sama ada ubat-ubatan dan pembantu-pembantu yang diperlukan, sehingga pesakit sembuh sepenuhnya dari sebarang penyakit yang dihidapinya. Hospital-hospital sangat aktif di dalam pengauditan, penyelidikan dan latihan perubatan, Islam juga telah meletakkan batu asas bagi banyak perkara yang dapat dimanfaatkan oleh perubatan moden masa kini.
Islam telah meletakkan penjagaan kesihatan sebagai kewajipan negara. Khilafah tidak akan mewujudkan penjagaan kesihatan sebagai sektor swasta, kerana sektor swasta hanya merancang bentuk-bentuk perkhidmatan atas dasar mengaut keuntungan semata-mata.
Pendekatan penjagaan kesihatan kepada pihak swasta hanya akan meruntuhkan sektor kesihatan sekiranya berlaku krisis kesihatan yang besar. Khilafah tidak akan mewujudkan sistem kesihatan melainkan menanggapinya sebagai sebuah kewajipan. Khilafah akan menghalangnya daripada apa jua elemen yang boleh meruntuhkannya seperti memastikan tidak berlakunya pengabaian dan pengambilan langkah berjimat-cermat. Ini kerana pengabaian dan pembaziran akan turut mendedahkannya kepada keruntuhan ketika berlakunya krisis.
Tambahan pula, penjagaan kesihatan itu sendiri adalah berguna dalam melaksanakan kewajipan menyebarkan Islam melalui dakwah dan jihad.
Khilafah akan memperbanyak jumlah jaringan hospital yang mempunyai kapasiti untuk menguruskan keadaan darurat kesihatan yang besar yang kebiasaannya terjadi semasa peperangan.
Dengan demikian, kembalinya Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah akan memberi kelegaan yang didambakan oleh umat manusia di seluruh dunia yang pada masa ini sentiasa terbeban dengan sistem demokrasi ciptaan manusia yang menindas.
Dari aspek penyediaan dana yang mencukupi untuk menyediakan penjagaan kesihatan percuma bagi mengurus wabak yang sedang melanda, Islam ternyata lebih unggul dari Kapitalisme, sistem buatan manusia yang sedang mendominasi dunia pada ketika ini.
Sesungguhnya, pandemik Coronavirus telah mendedahkan sifat sebenar sistem ekonomi kapitalis yang cacat lagi rapuh ini.
Kapitalisme telah menjadikan sebahagian besar kekayaan negara tertompok di tangan sekelompok kecil manusia.
Fakta tersebut telah menyebabkan negara kapitalis Barat tidak dapat memenuhi kewajipan mereka membantu warganegara mereka. Manakala di Pakistan, situasi tersebut adalah jauh lebih buruk.
Sesungguhnya, Kapitalisme itu sendiri adalah beban ke atas kemanusiaan, memaksa manusia memilih antara kelaparan dan virus.
Allah (swt) berfirman:
﴿كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ﴾
“(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu” [Al-Hashr (59): 7].
Uniknya, Islam telah menolak model ekonomi kapitalis yang berdasarkan pertumbuhan, yang hanya memfokuskan kepada pengeluaran. Islam mempunyai model ekonomi tersendiri, yang memfokuskan kepada pengagihan dan peredaran kekayaan di tengah-tengah manusia.
Islam juga menolak model kepemilikan kapitalisme yang membenarkan penswastaan harta milik umum.
Islam memastikan pendapatan yang dihasilkan oleh sektor tenaga dan mineral akan dibelanjakan untuk seluruh masyarakat, dan bukan hanya memberi manfaat kepada beberapa pihak sahaja sebagaimana dasar penswastaan dalam kapitalisme.
Islam memastikan negara memperoleh hasil pendapatan yang banyak, melalui penguasaan negara ke atas industri bermodal intensif, termasuklah sektor pembuatan yang berskala besar.
Inilah sebabnya mengapa Khilafah tidak akan melalaikan perkara-perkara asas yang penting, seperti perbelanjaan kesihatan.
Islam juga menolak hutang yang berasaskan riba, sama ada dalam bentuk pinjaman asing atau bon dalam negeri. Dalam kes di Pakistan, sebahagian besar belanjawannya dibelanjakan untuk hutang yang berasaskan riba.
Jadi, daripada menghabiskan seluruh pendapatan negara bagi membayar hutang yang berasaskan riba, negara mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, baik semasa berlakunya krisis ataupun tidak.
Sesungguhnya Islam tidak memberikan pilihan antara kelaparan atau penyakit (yang mana satu perlu diselesaikan), kerana menjadi tanggungjawab dan kewajipan negara untuk menangani kedua-dua perkara tersebut.
Mengenai ledakan krisis yang berlaku, dalam Islam, negara akan mengikuti perkembangan penyakit tersebut dari peringkat awal tanpa menyembunyikan sebarang fakta atau menggunakan kaedah pembendungan yang tidak sempurna.
Negara akan berusaha keras untuk membatasi penyakit tersebut di tempat ia bermula, supaya orang yang sihat di wilayah lain dapat terus bekerja dan bahan-bahan produksi dapat terus dikeluarkan.
Negara melakukannya bukan kerana utilitarianisme, tetapi kerana ia merupakan sebuah perintah dalam Islam.
Bukhari (rahimahullah) meriwayatkan dari Usamah bin Zaid dari Rasulullah (saw) melalui riwayat yang sahih bahawa baginda (saw) bersabda,
«إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوهَا وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا»
“Jika kalian mendengar tentang wabak di suatu negeri, maka janganlah kalian memasukinya. Tetapi jika terjadi wabak di tempat kalian berada, maka janganlah kalian keluar daripadanya“
Atas dasar itu, Khalifah ar-Rasyidin yang kedua, Amirul Mukminin Umar al-Faruq, sebagai pemimpin Negara Islam segera pulang daripada kemaraannya ke Ash-Sham ketika beliau menerima berita tentang wabak yang telah tersebar di Ash-Sham. Beliau tidak membuat keputusan atas dasar manfaat atau mudharat, tetapi kerana ia adalah hukum syarak.
Keputusan yang dilakukan tidak dibuat dalam keadaan teragak-agak dan kebingungan, sepertimana keputusan yang dibuat oleh negara-negara kapitalis pada hari ini, yang memburukkan lagi keadaan yang dicetuskan oleh epidemik ini. Sebaliknya, kaum Muslimin dan negara Khilafahnya mengambil sikap yang sangat bertentangan, di mana situasi ini dihadapi dengan tenang, penuh kecekalan dan keyakinan, kerana ia terkait dengan ketetapan syariah, yang merupakan petunjuk dan juga sebagai penyembuhan.
Allah (swt) berfirman,
﴿وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَّ﴾
“Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman” [Al-Isra’ (17): 82].
Dalam negara Khilafah, negara akan menangani krisis ini secara agresif, dengan kesatuan yang utuh dan dengan penuh keredhaan.
Oleh yang demikian, ini akan membolehkan orang yang sihat untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa, tanpa meninggalkan kewajipan mereka, termasuklah kewajipan melaksanakan solat Jumaat.
Sungguh menyakitkan apabila melihat solat Jumaat ditangguhkan di dalam negara kaum Muslimin, di mana keadaan ini nampaknya akan terus berlanjutan sehinggalah kaum Muslimin menyatakan bantahan mereka.
Sepertimana Khilafah memastikan kelangsungan solat Jumaat di rumah-rumah Allah (swt) menurut perintah Allah (swt), begitu juga ketetapan syariah berkaitan penyakit epidemik akan terus dipatuhi.
Tindakan segera dalam pelaksanaan hukum syarak secara menyeluruh akan mencegah penyebaran penyakit tersebut.
Khilafah akan memastikan penyediaan rawatan kesihatan kecemasan semasa berlakunya krisis, penyediaan penjagaan kesihatan percuma pada setiap masa dan juga memastikan berlakunya pengagihan kekayaan dengan adil. Hal ini akan mengelakkan pengabaian keperluan rakyat akibat penumpuan kekayaan di tangan segelintir orang sahaja.
Rasulullah (saw) bersabda,
«اَلْإِسْلَام يَعْلُو وَلَا يُعْلَى»
“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi (daripadanya)” [HR Daruqutni].
Sesungguhnya, Deen yang agung, Deen yang benar, iaitu Islam, lebih unggul daripada cara hidup buatan manusia termasuklah Kapitalisme dan Komunisme.
Sesungguhnya komunisme telah gagal dengan teruk, dan sesungguhnya kapitalisme juga tidak lama lagi, insya Allah, akan mengalami nasib yang sama.
Islam diturunkan oleh Allah (swt), dan ia memberikan petunjuk yang unggul dan penjelasan untuk setiap permasalahan manusia.
Dunia telah melihat kegagalan Kapitalisme dari sudut praktikalnya.
Dunia juga telah lebih daripada bersedia untuk melihat Islam diterapkan secara praktikal (untuk kali yang kedua) oleh negara Khilafah yang mengikuti jalan kenabian.
﴿هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ﴾
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.” [As-Saff (61): 9].
أقيموا_الخلافة#
#TegakkanKhilafah
#EstablishTheKhilafah