Peranan pemerintah dalam mencegah dan menangani kemalangan
Setiap kali berlaku kemalangan besar yang meragut nyawa, reaksi standard daripada pihak kerajaan adalah dengan mengarahkan siasatan segera, mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas, dan menjanjikan penambahbaikan. Namun apabila debu tragedi mula reda, segala komitmen biasanya akan hilang begitu sahaja. Apa yang tinggal hanyalah keluarga mangsa yang meratap kehilangan, dan masyarakat yang terus hidup dalam kebimbangan.
Kemalangan jalan raya di Malaysia sebenarnya sudah mencapai tahap yang menakutkan. Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Malaysia mencatat kadar 6,000 kematian setahun. Ini bermakna terdapat 19 ke 20 kematian sehari akibat kemalangan maut nahas jalan raya di negara ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan (MOT) Datuk Hasbi Habibollah berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, kadar kemalangan maut akibat nahas jalan raya adalah sebanyak 6,024 kes pada 2023 iaitu peningkatan sebanyak 9.46 peratus berbanding tahun sebelumnya (2022) yang mencatat kemalangan sebanyak 5,671 kes dilaporkan di Malaysia.
Apa yang lebih menyedihkan ialah, daripada jumlah kemalangan tersebut, sebanyak 4,489 kes adalah kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal, di mana kita tahu bahawa sebahagian besar penunggang motosikal merupakan golongan belia, yang seharusnya menjadi aset kepada negara.
Justeru, isu kemalangan, apatah lagi kemalangan maut di Malaysia tidak boleh dipandang enteng. Berdasarkan statistik yang menakutkan ini, jari sudah tentu boleh dituding kepada kerajaan dengan satu persoalan mendasar iaitu, apakah atau di manakah peranan kerajaan dalam mencegah dan menangani isu kemalangan? Angka sebesar ini (6000 kematian setahun) bukanlah satu angka yang kerajaan boleh berlepas diri begitu sahaja.
Islam meletakkan tanggungjawab menjaga kesejahteraan dan keselamatan rakyat sebagai salah satu amanah besar di atas bahu pemerintah. Pemimpin adalah penjaga yang akan ditanya tentang penjagaannya ke atas rakyatnya. Sabda Rasulullah (saw),
اَلإِمَامُ رَاعٍ وَ هُوَ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Imam (pemimpin) adalah pemelihara rakyat dan dia bertanggung jawab atas pemeliharaan (rakyat)nya” [HR al-Bukhari].
Hadis ini bersifat umum mencakupi kewajipan penguasa untuk menjaga rakyat dalam apa jua hal, termasuklah dari segi keselamatan rakyat dari segala bencana atau malapetaka seperti banjir, tanah runtuh, pencemaran, kemalangan jalan raya dan sebagainya.
Tambahan dari itu, Rasulullah (saw) menegaskan bahawa pemimpin itu merupakan khadim (pelayan) kepada rakyatnya. Sabda baginda (saw),
سَيِّدُ الْقَوْمِ خَادِمُهُمْ
“Pemimpin suatu kaum adalah pelayan mereka” [HR Ibn Majah dan Abu Nu’aim].
Kerajaan sekali-kali tidak boleh bersikap reaktif – hanya bertindak setelah sesuatu kemalangan atau kematian berlaku. Kerajaan wajib bersifat proaktif dalam menyusun dasar, menyedia, membaiki dan menaiktaraf segala infrastruktur, menyelia kenderaan awam dan memastikan peraturan keselamatan dipatuhi.
Malangnya, realiti hari ini menunjukkan kegagalan berterusan pihak kerajaan dalam menunaikan tanggungjawab tersebut. Banyak lokasi kemalangan maut telah dikenal pasti, namun ternyata kemalangan sentiasa berulang terjadi kerana kelalaian kerajaan, antaranya ialah jalan rosak yang tidak dibaiki, jalan yang licin, tidak diselenggara dengan baik atau dinaik taraf, jalan yang tidak mempunyai garisan, jalan-jalan gelap yang tidak berlampu dan sebagainya.
Terbaru, jika kita melihat kepada kemalangan yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI baru-baru ini, pengadang besi telah menembusi bas yang terbalik dan menjadi faktor utama kematian. Sebenarnya, melihat kepada fakta dan statistik, pengadang besi yang terdapat di jalan-jalan raya di Malaysia ini sudah banyak meragut nyawa pengguna jalan raya. Namun malangnya sehingga kini, tidak ada usaha yang serius daripada pihak kerajaan untuk menggantikannya dengan pengadang berpusing (roller barrier) sebagaimana yang terdapat di beberapa negara luar, padahal pengadang berpusing ini sudah terbukti berkesan dalam mencegah atau mengurangkan kematian maut.
Apa pun alasan yang diberikan seperti pengadang berpusing tersebut mahal, susah diselenggara atau kos penyelenggaraan tinggi dan sebagainya, semua alasan ini tidak dapat diterima sama sekali. Jika kerajaan benar-benar mementingkan nyawa rakyat, maka sebuah kerajaan yang baik dan bertanggungjawab sudah pasti akan melakukan apa sahaja ke arah tersebut. Sesungguhnya negara ini bukan tidak mempunyai wang, tetapi sayangnya berbilion-bilion wang disonglap oleh ahli-ahli politik dan kroni mereka dari semasa ke semasa.
Jalan raya dan paradigma pemerintah
Untuk mewujudkan jalan raya yang selamat dan berkualiti bukanlah susah. Kara pepatah, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Cumanya ia mesti bermula dengan perubahan paradigma pemerintah. Selagi paradigma pemerintah tidak bertukar kepada apa yang diperintahkan oleh Islam, maka selagi itulah masalah jalan raya, kemalangan dan apa sahaja, tidak akan selesai.
Contoh yang baik boleh dilihat dari kata-kata Umar yang masyhur, ketika menjadi Khalifah. Beliau menyatakan,
لَوْ عَثَرَتْ بَغْلَةٌ فِي الْعِرَاقِ، لَخَشِيتُ أَنْ يَسْأَلَنِيَ اللهُ عَنْهَا: لِمَ لَمْ تُسَوِّ لَهَا الطَّرِيقَ يَا عُمَرُ؟
“Seandainya seekor baghal/keldai tergelincir di Iraq, aku takut Allah akan menyoalku, ‘Mengapa kamu tidak ratakan jalan untuknya, wahai Umar?’”
Umar benar-benar memahami dan mempraktikkan hadis bahawa pemimpin itu adalah pemelihara rakyat. Kata-kata di atas mencerminkan cara berfikir Umar yang dilandaskan kepada Islam. Sungguh kata-kata tersebut mempunyai pengertian yang sangat mendalam:
- Kata-kata tersebut sangat tepat dalam konteks “jalan raya” walaupun ia boleh merangkumi konteks yang lebih luas. Umar tahu bahawa sebagai Khalifah, dia bertanggungjawab untuk menyediakan jalan yang rata (jalan yang baik) kepada rakyatnya demi keselamatan rakyatnya;
- Umar menyebut baghal/keldai, kerana memahami bahawa kewajipannya bukan sekadar menyediakan jalan yang baik kepada manusia, tetapi juga kepada haiwan. Jika untuk haiwan pun Umar merasa bertanggungjawab untuk menyediakan jalan yang baik, maka apatah lagi untuk manusia;
- Umar sedar bahawa kelalaiannya menyediakan jalan yang baik yakni menjaga keselamatan rakyatnya, akan pasti dipersoalkan oleh Allah (swt) di akhirat kelak;
- Umar adalah seorang pemimpin yang sangat takutkan Allah darihal kepimpinannya, sekiranya dia melakukan kelalaian.
Inilah cara berfikir yang mesti ada pada pemimpin hari ini, jika mereka benar-benar peduli tentang kesejahteraan dan keselamatan rakyat. Malangnya para pemimpin yang ada masih tegar memiliki cara berfikir yang berasaskan ideologi kapitalis, iaitu mendahulukan manfaat dalam setiap urusan tanpa memikirkan halal dan haram. Atas dasar itu, jalan raya dibina dan diselia berasaskan keuntungan, bukan berasaskan kewajipan menjaga keselamatan rakyat.
Dalam sebuah pemerintahan Islam, jalan raya termasuk dalam prasarana umum yang dikenali sebagai marafiq, yang wajib disediakan dan diselenggara oleh negara secara percuma, dan tidak boleh diberikan konsesi kepada syarikat swasta / asing untuk mengaut keuntungan darinya. Pemerintah bukan sahaja wajib menyediakan jalan raya, tetapi wajib menyediakannya sebaik mungkin dari segi kualiti, kelengkapan dan sebagainya.
Selain aspek fizikal, pemerintah juga bertanggungjawab dalam pendidikan keselamatan jalan raya. Masyarakat mesti dididik dengan budaya disiplin, bertanggungjawab dan patuh kepada peraturan – bukan melalui kempen bermusim yang hangat-hangat tahi ayam, tetapi melalui sistem pemantauan yang menyeluruh dan berterusan. Keselamatan adalah hasil daripada kesedaran kolektif, dan pemerintah bertanggungjawab mencorakkannya. Jika kerajaan telah melakukan semua ini, maka barulah wajar jika ingin menuding pihak lain apabila berlakunya kemalangan.
Pada hari ini, pemerintah sering terlepas dari sebarang tanggungjawab walaupun kemalangan maut berulang kali terjadi, kerana hampir tidak ada undang-undang yang meletakkan kesalahan di bahu pemerintah, kecuali sedikit undang-undang mengenai tort (kelalaian). Itu pun, bukannya mudah untuk rakyat marhaen mengheret kerajaan ke mahkamah.
Sedangkan dalam Islam, pemerintah (Khalifah) sebagai pemimpin umat Islam menanggung beban utama jika keselamatan rakyat terancam akibat kelalaiannya. Ini kerana, tanggungjawab pemerintah dalam mencegah dan menangani kemalangan bukan sekadar soal teknikal, tetapi merupakan persoalan amanah, dosa, dan hisab di akhirat. Pemerintah tidak boleh berfungsi sebagai “pengurus kerosakan” selepas tragedi berlaku, tetapi mesti menjadi penjaga sebenar yang memastikan keselamatan rakyat terjamin sebelum sesuatu berlaku.
Oleh itu, penyelesaian sebenar kepada isu kemalangan yang terus meragut nyawa pada hari ini tidak akan dapat dicapai selagi asas paradigma berfikir pemerintah tidak berubah kepada Islam. Hakikat pedih yang kita perlu telan ialah selagi wujud pemerintah dan pemerintahan sekular pada hari ini, maka selagi itulah kita akan menyaksikan angka kematian nahas jalan raya yang bakal meningkat saban tahun. Semoga kita semua dianugerahkan oleh Allah dengan pemimpin seperti Umar al-Khattab, yang bakal muncul tidak lama lagi hasil dari usaha tangan-tangan kita insya Allah.