Perang billboard dan tahap ahli politik Malaysia

Antara kerusi terpanas dalam PRU kali ini ialah Tambun, Perak, yang telah heboh diberi liputan sejak hari pertama pengumuman oleh calon yang bertanding lagi.

Dengan mengetahui bahawa apa sahaja cara kempen yang dilakukan di Tambun pasti akan mendapat perhatian orang ramai dan juga media, maka ada calon yang bertanding menyewa billboard besar di sekitar jalan raya untuk tujuan tersebut.

Harga sewa billboard sudah tentu bukannya murah, tetapi sedikit pun tak menjadi masalah bagi calon atau parti yang banyak duit. Lagi pun inilah masanya untuk membelanjakan wang secara maksimum, dengan harapan bila menang nanti semuanya akan “terganti”, malah dengan gantian yang jauh lebih besar.

Demokrasi bukanlah sistem yang murah. Siapa sahaja yang ingin menjadi pemimpin dalam sistem ini perlu membayar harga yang mahal untuk segala-galanya. Bukan sahaja bayaran billboard, dari wang pertaruhan, santunan kepada ahli dan penyokong sehinggalah kepada biaya kempen, semuanya mencecah angka jutaan, jika bukan bilionan, bagi setiap parti politik yang bertanding.

Inilah sistem demokrasi, sebuah sistem yang didesign sedemikian rupa oleh kafir Barat untuk memastikan kuasa hanya dipegang oleh golongan elit. Siapa pun yang tak berduit, maka lupakanlah sahaja hasrat untuk menjadi wakil rakyat atau pemerintah dalam sistem ini.

Berbalik kepada “perang billboard” antara calon-calon yang bertanding, selain isu sewanya yang mahal yang sudah pasti tak mampu disewa oleh golongan B40, malah golongan M40 pun belum tentu mampu berbuat demikian, isu penting yang perlu dilihat oleh rakyat ialah mesej yang tertera di billboard berkenaan.

Amat malang apabila duit yang begitu banyak hanya dihabiskan untuk meletakkan “mesej perli” di billboard berkenaan, yang hanya mencerminkan tahap berfikir calon yang berkenaan secara khusus, dan tahap berfikir pimpinan politik di negara ini secara umum.

Apa yang rakyat ingin lihat ialah tawaran calon-calon yang bertanding untuk menjadikan Malaysia lebih baik jika mereka diberi mandat dalam PRU nanti, bukannya kata-kata sinis untuk tujuan peribadi dengan merendah-rendahkan calon lain, yang dipampang secara besar-besaran untuk dilihat oleh rakyat.

Sesungguhnya Malaysia tidak akan menjadi lebih baik dengan tahap berfikir pimpinan politik seperti ini. Malah, Malaysia juga tidak akan jadi lebih baik selagi sistem demokrasi yang hanya memberi keuntungan kepada golongan elit terus mendominasi negara ini.

Malaysia hanya akan menjadi baik apabila syariat Allah diterapkan secara kaffah, dengan membuang segala sistem dan undang-undang yang datangnya daripada penjajah. Malangnya tidak kelihatan seorang calon dan satu parti politik pun yang bertanding kali ini ingin membawa Malaysia ke arah tersebut.

 

Wallahu a’lam.

https://www.malaysiakini.com/news/643965