Perang Perdagangan China-Amerika: Usaha Amerika untuk Mengekalkan Kekuasaan

Baru-baru ini, China telah mendakwa Amerika Syarikat (AS) memulakan “perang perdagangan yang terbesar dalam sejarah”. Tindakan pentadbiran Trump mengenakan tarif sebanyak 25% telah memberikan kesan kepada lebih daripada 800 produk keluaran China seperti produk jentera, perubatan dan permotoran yang bernilai US 34 billion. Sehubungan itu, Beijing juga bertegas akan mengambil tindakan yang sama terhadap AS sebagai balasan. Adakah kita sedang menyaksikan suatu perang perdagangan besar-besaran atau sesuatu yang lebih dahsyat lagi?

Komentar:

Pertembungan terkini antara Washington dan Beijing bukanlah hanya disebabkan oleh isu perdagangan semata-mata. Bahkan terdapat beberapa pertembungan antara kedua-dua buah negara yang boleh menjurus kepada konflik yang lebih besar. Manipulasi matawang oleh Beijing, keengganan Korea Utara (KU) mematuhi tuntutan AS berhubung program nuklear, aspirasi Taiwan untuk merdeka, serta pertindihan tuntutan kawasan antara China dengan negara-negara jirannya dan ketegangan dengan angkatan tentera laut AS di Laut China Selatan adalah sebahagian daripada pertembungan melibatkan kedua-dua negara tersebut.

Walaupun terdapat pihak yang menolak kemungkinan terjadinya peperangan, terdapat juga pendapat lain mengatakan bahawa ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan merupakan sebahagian daripada lumrah kebangkitan dan kejatuhan negara-negara kuasa besar dunia. Pihak yang berpegang kepada pendapat kedua meletakkan asas penilaian mereka berdasarkan sebuah teori yang dikenali sebagai teori transisi. Pendukung teori ini menyatakan bahawa kemungkinan berlakunya peperangan adalah tinggi apabila sesebuah negara kuasa besar yang sedang naik mulai mempunyai kekuatan untuk mengugat kekuasaan kuasa besar sedia ada yang telah mendominasi dunia sejak sekian lama. Di Asia Pasifik, China adalah kuasa besar yang sedang berusaha untuk menyaingi AS yang sudah bertapak di kawasan tersebut.

Jika dilihat daripada sudut pandang ini, perang perdagangan antara China dan AS ini dilihat mempunyai dampak yang lebih besar dan sepertimana pertembungan-pertembungan lain, ia menunjukkan bahawa China telah beralih daripada sekadar kuasa serantau kepada kuasa besar yang mampu mengetepikan hegemoni AS di peringkat global. Secara ringkasnya, AS kini terpaksa bertungkus-lumus untuk menekan China agar tunduk kepada aturan antarabangsa, dan secara tidak langsung menunjukkan kemerosotan AS sebagai sebuah kuasa utama dunia.

Pentadbiran Trump menyedari kelemahan AS dan keterbatasan aturan antarabangsa dalam mengekang kebangkitan kuasa-kuasa besar seperti China, Rusia dan Eropah. Dalam keadaan dunia yang sedang menuju peralihan daripada penguasaan tunggal (unipolar) kepada penguasaan beberapa kuasa dunia (multipolar), tindakan mengubah peraturan antarabangsa adalah percaturan yang dilihat oleh pentadbiran Trump boleh memenuhi kepentingan AS. Sehubungan itu, Pentadbiran Trump memilih untuk tidak mempedulikan perjanjian perdagangan antarabangsa dan Pertubuhan Perdagangan Dunia. China boleh mengemukakan apa jua bantahan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia namun kesemuanya tidak sedikitpun akan dipedulikan oleh pentadbiran Trump.

Jika diperhatikan daripada sudut pandang ini juga, tidak menghairankan jika pentadbiran Trump cenderung untuk mewujudkan perdamaian dengan Rusia, selain daripada tercetusnya perselisihan antara AS dengan sekutu-sekutu tradisinya. Pentadbiran Trump percaya bahawa langkah perdamaian dengan Rusia boleh membantu AS dalam mendepani arus perubahan global, dan bertindak sebagai benteng bagi menghadapi kebangkitan China dan Eropah. Pendirian sebegini mendorong Trump untuk mengambil sikap melulu dalam hal perdagangan dengan China, di samping mempersoalkan keikhlasan Kesatuan Eropah dan kedudukan NATO. Kesemua ini menunjukkan bahawa Trump kini bersedia untuk mengakhiri perhubungan dengan sekutu lamanya dan menentukur semula perhubungan antarabangsanya.

Serangan-serangan awal dalam perang perdagangan AS terhadap China dan Kesatuan Eropah telah mencetuskan kemarahan negara-negara Eropah sehingga menyebabkan mereka mulai meneroka jalan untuk menjalin hubungan lebih erat dengan China. Pendirian Trump yang ingin meletakkan keutamaan kepada Amerika dalam polisi-polisinya (America First) ini telah menyedarkan banyak pihak di dunia untuk bertindak, namun tidak bagi negara-negara umat Islam.

Negara-negara umat Islam secara umumnya masih lagi tidak menyedari tentang kemerosotan AS daripada kedudukannya selaku negara adidaya, atau mengenai perubahan aturan antarabangsa dan rombakan hubungan dan jalinan kerjasama negara-negara di dunia. Para pemimpin negara umat Islam pada hari ini sentiasa tunduk patuh kepada kehendak kuasa-kuasa asing dan tidak berupaya untuk menyelamatkan umat daripada terus ditundukkan dan dieksploitasi. Keadaan ini akan terus berlaku sehinggalah umat ini bangkit dan bertindak untuk mengubah realiti yang terjadi hari ini. Sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [TMQ ar-Raad (13): 11].

Dterjemahkan daripada penulisan asal bertarikh 14 Julai 2018 oleh Abdul Majeed Bhatti di khilafah.com