Perang terhadap keganasan: Senjata terpenting Barat sebelum mereka terkubur

Isu keganasan atau terorisme menjadi antara agenda utama yang mencorak dasar luar Amerika Syarikat (AS) dan Barat selepas peristiwa 11 September 2001. AS yang merupakan suatu kuasa besar dunia sangat terdesak untuk memainkan isu ini dalam rangka menjayakan agenda mereka untuk menghapuskan Islam. Atas dasar itu, serangan yang berlaku pada 11 September itu dengan pantas ditujukan kepada umat Islam sebagai penyebabnya, dan dengan secepat kilat penyerangnya dicap sebagai pengganas. Sudah tentu kita mengingati kata-kata ini – “Either you are with us or with the terrorist” yang telah diucapkan oleh George W. Bush sebagai kata-kata pembuka langkah untuk memulakan kempen jahatnya memerangi Islam dan umat Islam.

Ramai pemimpin dunia, termasuklah para pemimpin dunia Islam, terus meng”amin”kan apa yang diucap oleh Bush tanpa sebarang persoalan. Apa yang terjadi sesudahnya ialah, pelbagai program dan agenda bermunculan selepas itu demi membuktikan kepada AS bahawa mereka bersama dengan AS dalam kempen tersebut. Dengan kata lain, mereka turut bersama AS dalam memerangi Islam dan umatnya, musuh utama AS yang kini dicap sebagai teroris.

Sedangkan hakikatnya seperti yang dinyatakan oleh Noam Chomsky dari Massachussetts Institute of Technology, bahawa AS telah memanfaatkan isu terrorisme ini sebagai alat bagi menundukkan atau menindas lawan-lawannya terutamanya dalam kalangan umat Islam. Pastinya kita tidak akan dapat melupakan penipuan kewujudan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang dijaja semata-mata bagi menjustifikasikan penjajahan mereka ke atas Iraq. Begitulah juga dengan peristiwa 9/11 ini yang sehingga ke hari ini, seluruh dunia sudah mengetahui pembohongan AS dan siapakah “dalang” sebenar di sebalik peristiwa tersebut.

Menurut Chomsky lagi dalam beberapa penulisannya yang dilakukan sejak awal 1990-an, isu perang melawan keganasan ini telah bermula jauh sebelum tragedi 9/11 mahupun pelbagai insiden pengeboman di dunia Islam. Perang terhadap keganasan ini sebenarnya ditujukan untuk kepentingan yang sangat besar, iaitu perang terhadap Islam. Presiden AS, George W Bush sejak awal lagi telah menyebut bahawa perang melawan pengganas ini adalah suatu crusade (Perang Salib). Tanpa berselindung sedikit pun, Bush dalam ucapannya di depan The National Endowment for Democracy (September 2003) mengaitkan ideologi teroris dengan Islam, dengan menyatakan ‘the murderous ideology of the Islamic radical’ (“ideologi Islam radikal yang membunuh”) dan presiden AS itu menyamakan perangnya melawan keganasan sama dengan perang melawan Komunisme.

Seiring dengan waktu, Barat terutamanya Amerika berusaha meluaskan sasaran kempen War on Terrorism mereka. Ini kerana, mereka telah mula melihat bahawa kempen mereka tidak memberi kesan ke atas umat Islam, walaupun para penguasa umat Islam bersama Barat dalam menjayakan kempen ini. Apa yang berlaku ialah sebaliknya, umat Islam semakin sedar permusuhan Amerika dengan Islam, dan umat Islam juga semakin sedar bahawa para penguasa mereka hanyalah penguasa boneka yang menjaga kepentingan Barat, dan tunduk patuh kepada Barat sebagai tuannya.

Umat Islam justeru semakin teguh dengan Islam dan semakin membenci Barat. Apatah lagi semakin banyak bukti bahawa perang melawan keganasan sebenarnya adalah perang melawan Islam. Barat juga semakin menyerlahkan hipokrasi dan double standard mereka apabila tindakan keganasan yang telah terbukti dilakukan oleh kaum mereka, tidak dicop sebagai keganasan. Semua ini menjadikan umat Islam sedar akan agenda dan kejahatan Barat. Lalu Barat terpaksa mengubahsuai dan membesarkan lagi cakupan kempen mereka kepada kempen ‘Global War on Radicalism’.

Melalui penjenamaan semula ini, Amerika mencanangkan kepada dunia bahawa radikalisme dianggap sebagai benih kepada terorisme sehingga benih-benih ini perlu dicabut sejak dari awal. Mana-mana gerakan Islam dan individu Muslim yang tidak sejalan dengan Barat dicap sebagai radikal, bagi memberikan imej buruk kepada mereka, dan tindakan boleh diambil ke atas mereka. Kempen keji ini terus diubah menurut peredaran masa apabila Barat mendapatinya tidak berkesan. Kemudian muncul pula kempen ‘combating violent extremism’ yang diharap oleh Barat akan dapat memburukkan Islam dan gerakan Islam yang dilihat semakin bangkit untuk mengalahkan Barat.

Setelah dua dekad berlalu, kempen ini masih dilanjutkan meski pun Presiden AS telah bersilih ganti. Selain meneruskan kempen jahat yang sama, tangan-tangan setiap presiden AS terus berlumuran dengan darah kaum Muslimin samada melalui perang secara langsung oleh mereka di Iraq dan Afghanistan yang masih belum tamat, atau perang proksi yang dilakukan mereka di Syria.  Presiden terbaru AS yang ke-46, Joe Biden juga tidak lepas daripada mempunyai rekod membunuh umat Islam sewaktu dia menjadi orang nombor dua ketika pentadbiran Obama.

Hakikatnya projek memerangi keganasan tajaan AS tersebut ditujukan untuk mencegah atau memperlambat bangkitnya Islam. Pelbagai cara dilakukan agar umat Islam tidak kembali pada agamanya dengan cara yang benar, dan yang lebih penting, tidak kembali menegakkan Khilafah. Barat yang didominasi oleh AS sedar bahawa penerapan syariah secara kaffah dalam sebuah negara Khilafah sangat membahayakan kedudukan mereka, bukan hanya di negeri-negeri Islam, tetapi di seluruh dunia secara umumnya.

Untuk itu, Barat berusaha menjauhkan umat Islam daripada pemahaman agamanya yang hakiki. Barat melakukan pelbagai agenda dan tipu daya dengan mengatakan bahawa kelompok Islam yang ingin menegakkan Khilafah adalah berfahaman radikal dan membahayakan. Tipu daya inilah yang telah melahirkan Islamofobia di Barat dan seluruh dunia amnya. Pada saat yang sama Barat mendukung kumpulan yang mereka kategorikan sebagai Islam moderat. Istilah ini (Islam moderat) muncul dalam usaha Barat melawan apa yang mereka gelar sebagai Islam radikal. Ini adalah sebahagian daripada agenda, ‘branding’ dan strategi yang digunakan dan digerakkan oleh Barat dengan menggunakan orang Islam sendiri sebagai bidak-bidak catur di pentas percaturan dunia.

Perancis turut memainkan sentimen ini bagi menyekat kesedaran dan kebangkitan umat Islam yang berada di negara mereka daripada kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Dengan bersembunyi di sebalik kempen terhadap radikalisme dan Islam politik, presidennya, Macron telah mengambil langkah-langkah untuk menundukkan umat Islam sambil menjadikannya sebagai modal politik tatkala pilihanraya presiden di republik tersebut yang semakin hampir.

Sejarah telah mencatatkan bagaimana agenda global oleh British dan ejennya Kamal Ataturk suatu ketika dahulu telah berjaya menghancurkan institusi yang menerapkan Islam dalam kehidupan, iaitu Khilafah. Sejak itu, pelbagai usaha telah dikerahkan oleh Barat bagi menghalang kembalinya institusi tersebut yang menjadi teras kekuatan Islam dan umatnya. Barat tidak akan redha untuk syariah dan Khilafah tegak di muka bumi dan memimpin dunia untuk kali yang kedua. Kerana itu mereka berusaha keras untuk menghancurkan benih-benih kebangkitan Islam agar tidak bangkit sekali lagi dengan segala macam makar dan persekongkolan dengan ejen-ejen mereka dalam dunia Islam.

Inilah hakikat yang perlu difahami dan disedari oleh umat Islam agar mereka tidak terus menjadi mangsa percaturan Barat. Dalam pada itu, walaupun diperangi dan dicap dengan pelbagai label, umat Islam perlu sedar bahawa jalan menuju kebangkitan dan jalan menegakkan kembali Khilafah hendaklah dengan meneladani thariqah (jalan) yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw), iaitu melalui perjuangan politik secara intelektual tanpa kekerasan. Dengan tegaknya Khilafah sedikit masa lagi, mimpi ngeri Barat akan menjadi kenyataan, dan pada waktu itu sudah tidak ada tempat untuk mereka lari, kecuali ke perkuburan mereka. Itu pun jika mereka masih mempunyai tanah perkuburan.

Wallahu a’lam.

 

أقيموا_الخلافة#
#TegakkanKhilafah
#ReturnTheKhilafah