Perceraian kerana agama, siapa yang lebih berhak menjaga anak? (Siri 1/2)
Nampaknya kes-kes yang melibatkan ancaman kepada akidah umat Islam tidak pernah habis di Malaysia. Terbaru, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes yang melibatkan penukaran agama tiga orang anak Loh Siew Hong. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa penukaran agama secara unilateral ketiga-tiga orang anak tersebut kepada Islam adalah tidak sah, kerana penukaran agama secara unilateral yang dilakukan oleh bekas suami Loh adalah menyalahi undang-undang.
Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, berhubung isu penukaran agama secara unilateral, mahkamah terikat dengan keputusan kes Indira Gandhi yang menetapkan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa mesti diperoleh sebelum kanak-kanak di bawah umur ditukar agama. Atas dasar itu, ketiga-tiga anak terbabit diputuskan oleh Mahkamah sebagai kekal beragama Hindu yang merupakan agama ketika mereka dilahirkan.
Walaupun kes ini kemungkinan besar akan dirayu ke peringkat Mahkamah Persekutuan, namun setakat ini begitulah kedudukan undang-undang di Malaysia, dan begitulah “legal status” ketiga-tiga orang anak terbabit yang telah pun meningkat remaja dengan masing-masing berumur 16 tahun (kembar perempuan) dan 13 tahun (lelaki).
Ketepikan dahulu keputusan mahkamah yang sekular ini, isu yang mesti difahami oleh setiap Muslim ialah, apakah kedudukan kes ini dalam Islam – iaitu apabila salah satu pasangan (suami) memeluk Islam sementara si isteri kekal dalam agama asal (Hindu), dan si suami telah mengIslamkan ketiga-tiga anak mereka yang pada waktu itu belum mencapai usia baligh? Adakah pengIslaman anak-anak tersebut sah, dan siapakah yang berhak menjaga ketiga-tiga anak tersebut setelah salah seorang pasangan memeluk Islam?
Di dalam kitab Muqaddimah ad-Dustur Au al-Asbab al-Mujibah Lahu, dan juga kitab an-Nidzam al-Ijtima’ie Fi al-Islam, Hizbut Tahrir telah pun menjawab isu ini berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Berikut ialah penjelasan daripada Fasal 122 Muqaddimah ad-Dustur:
Fasal 122: Kafaalah (كفالة) (penjagaan / custody) anak adalah hak dan kewajipan atas ibu, tidak kira sama ada si ibu beragama Islam atau tidak, selama mana anak itu memerlukan penjagaan. Sekiranya anak itu sudah tidak lagi memerlukan penjagaan, maka keadaan ini dilihat – Jika kedua-dua orang tua yang mengasuhnya dan walinya (الحاضنه و الولي) beragama Islam, maka anak itu (baik lelaki atau perempuan) diberi hak pilih untuk tinggal dengan siapa yang dia mahu. Siapa pun yang dia pilih, maka dia akan tinggal bersama orang itu, baik orang itu lelaki / bapa atau wanita / ibu. Jika salah seorang daripada keduanya adalah non-Muslim, maka si anak tidak diberi hak pilih, kecuali mesti tinggal bersama dengan yang Muslim.
Dalilnya ialah apa yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr bin al-‘As:
أَنَّ امْرَأَةً قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً، وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً، وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً، وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَـنْـتَزِعَهُ مِنِّي، فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَـنْكِحِي
“Seorang wanita berkata: ‘Wahai Rasulullah! Anakku ini, perutkulah yang menjadi tempat tinggalnya (ketika mengandung), tetekkulah yang menjadi tempat minumnya, dan pangkuankulah yang menjadi tempat bernaungnya. Akan tetapi ayahnya telah menceraikanku dan ingin mengambilnya dariku.’ Lalu Rasulullah (saw) bersabda, ‘Engkau lebih berhak ke atasnya selama engkau belum menikah lagi” [HR Abu Daud, disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh az-Zahabi]
Ini menunjukkan bahawa si ibu lebih berhak terhadap anak-anak selama anak-anak masih memerlukan hadhaanah (pengasuhan), kerana Rasulullah (saw) memerintahkan si ibu untuk terus mengasuh anaknya selama dia tidak menikah lagi. Rasulullah (saw) juga tidak memberi pilihan kepada anak tersebut, yang sekali gus menunjukkan bahawa anak itu masih memerlukan hadhaanah. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah daripada Umar (ra) dengan sanad yang sahih yang mana semua periwayatnya adalah tsiqah (terpercaya) bahawa dia (Umar) menceraikan Ummu ‘Asim, lalu dia mendatangi bekas isterinya (Ummu ‘Asim) sementara anaknya (‘Asim) berada di pangkuan bekas isterinya itu, dan (Umar) ingin mengambil anaknya itu. Kedua-dua mereka bertengkar dan berlaku tarik-menarik sehingga anak mereka mula menangis. Lalu mereka mendatangi Abu Bakar as-Siddiq (ra), yang kemudian berkata:
“Sentuhannya (Ummu ‘Asim), pangkuannya dan baunya adalah lebih baik bagi anak itu daripadamu (Umar), sehinggalah anak itu membesar dan boleh membuat pilihan sendiri.”
Oleh itu, bagi anak kecil yang masih memerlukan hadhaanah, maka si ibulah yang lebih berhak dan berkewajipan ke atasnya. Begitulah kedudukannya – ibunya, dan kemudian neneknya, dan seterusnya setiap wanita dalam kalangan mereka yang mempunyai hak hadhaanah.
Apabila anak-anak semakin membesar sehingga telah melepasi usia yang memerlukan hadhaanah, yang diukur berdasarkan realiti kebolehan mereka – yang berbeza di antara seorang anak dengan anak yang lain bergantung kepada keadaan mereka – di mana seorang anak mungkin sahaja tidak memerlukan hadhaanah pada usia lima tahun sedangkan anak yang lain mungkin pada usia yang lebih muda atau lebih tua di mana semua ini hendaklah berdasarkan kepada pendapat pakar. Oleh itu, jika anak-anak tidak lagi bergantung kepada hadhaanah, maka mereka diberi pilihan untuk tinggal bersama ibu atau bapa. Abu Hurairah meriwayatkan:
أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ خَـيَّرَ غُلامًا بَـيْنَ أَبِيهِ وَأُمِّهِ
“Sesungguhnya Nabi (saw) memberikan pilihan terhadap seorang anak lelaki, untuk memilih antara ibu atau bapanya” [HR Ahmad, disahihkan oleh at-Tirmizi].
Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Hurairah, dan disahihkan oleh Ibn Hibban, beliau (Abu Hurairah) berkata:
أَنِّي سَمِعْتُ امْرَأَةً جَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ وَأَنَا قَاعِدٌ عِنْدَهُ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ زَوْجِي يُرِيدُ أَنْ يَذْهَبَ بِابْنِي وَقَدْ سَقَانِي مِنْ بِئْرِ أَبِي عِنَبَةَ وَقَدْ نَـفَعَنِي، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: … هَذَا أَبُوكَ وَهَذِهِ أُمُّكَ فَخُذْ بِيَدِ أَيـِّهِمَا شِئْتَ، فَأَخَذَ بِيَدِ أُمِّهِ فَانْطَلَقَتْ بِهِ
“Ketika aku sedang duduk bersama Nabi (saw), datanglah seorang wanita dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, suamiku ingin mengambil anakku, sedangkan anakku itu (membantu) membawakan kepadaku air dari telaga Abu ‘Inabah, dan dia sangat bermanfaat bagiku. Lalu Nabi (saw) berkata (kepada anak itu): …’ini ayahmu dan ini ibumu, maka peganglah tangan siapa di antara keduanya yang engkau mahu. Maka anak itu memegang tangan ibunya, lalu ibunya pun membawanya pergi.”
Dalil-dalil ini menunjukkan bahawa apabila anak-anak (tidak kira lelaki atau perempuan) telah mencapai umur al-fitham (bercerai susu) dan tidak lagi memerlukan hadhaanah (pengasuhan), maka mereka diberi pilihan antara ibu atau bapa mereka, tanpa mengira sama ada umur anak-anak itu tiga tahun atau lebih, asalkan mereka sudah tidak lagi memerlukan hadhaanah. Jika mereka masih memerlukan hadhaanah, maka hukumnya adalah diberikan kepada ibu, di mana anak itu tidak diberi sebarang pilihan.
Walau bagaimanapun, jika wanita itu (sebagai contoh ibunya) adalah seorang kafir, dan perlu mengasuh anaknya, jika anak itu masih dalam usia yang memerlukan hadhaanah iaitu masih belum bercerai susu, maka anak itu akan diberikan kepadanya, sama sebagaimana wanita Muslim – tidak ada perbezaan antara keduanya (Muslim atau kafir) berdasarkan keumuman riwayat:
أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَـنْكِحِي
“Engkau (si ibu) lebih berhak kepadanya selama engkau belum menikah lagi”
Adapun jika anak itu sudah melepasi usia yang memerlukan hadhaanah, sebagai contoh sudah bercerai susu (al-fitham), dan tidak lagi memerlukan hadhaanah, maka anak itu tidak diberi pilihan melainkan mesti diserahkan kepada ibu atau bapa yang beragama Islam. Jika si isteri adalah pihak yang Islam, maka anak itu akan diberikan kepadanya, manakala jika si suami adalah pihak yang Islam, maka anak itu akan diberikan kepadanya. Ini berdasarkan firman Allah (swt):
وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
“Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman” [An-Nisa’ (4): 141].
Hadhaanah akan memberi jalan kepada pengasuh (al-Hadhin) untuk menguasai seseorang Muslim. Sabda Rasulullah (saw):
الإِسْلاَمُ يَعْلُو وَلاَ يُعْلَى
“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya” [HR ad-Daruqutni daripada ‘Aiz Al-Mazni dengan sanad hasan].
Realitinya ialah kedudukan pengasuh itu lebih tinggi daripada yang diasuh. Jadi, meletakkan anak-anak di bawah pengasuhan (hadhaanah) orang kafir yang akan mendidik mereka dengan kekufuran adalah tidak dibenarkan. Atas dasar itu, anak-anak itu diambil daripada mereka.
bersambung…