Perceraian kerana agama, siapa yang lebih berhak menjaga anak? (Siri 2/2)

 

Adapun apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari ‘Abd al-Hamid bin Ja‘far daripada bapanya daripada datuknya Rafi‘ bin Sinan bahawa:

أَنَّهُ أَسْلَمَ، وَأَبَتِ امْرَأَتُهُ أَنْ تُسْلِمَ، فَأَتَتِ النَّبِيَّ  فَقَالَتِ: ابْـنَتِي، وَهِيَ فَطِيمٌ أَوْ شَبَهُهُ، وَقَالَ رَافِعٌ: ابْـنَتِي، قَالَ لَهُ النَّبِيُّ : اقْعُدْ نَاحِيَةً، وَقَالَ لَهَا: اقْعُدِي نَاحِيَةً، قَالَ: وَأَقْعَدَ الصَّبِيَّةَ بَـيْـنَهُمَا، ثُمَّ قَالَ: ادْعُوَاهَا، فَمَالَتِ الصَّبِيَّةُ إِلَى أُمِّهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ : اللَّهُمَّ اهْدِهَا، فَمَالَتِ الصَّبِيَّةُ إِلَى أَبِيهَا فَأَخَذَهَا

“Sesungguhnya dia (Rafi’) telah masuk Islam, sedangkan isterinya menolak masuk Islam. Si isteri lalu datang kepada Nabi (saw) seraya berkata, ‘Ini adalah anak perempuanku. Dia telah berhenti menyusu atau seumpamanya. Rafi’ berkata, ‘Ini adalah anak perempuanku.’ Nabi (saw) lantas berkata kepada Rafi, ‘Duduklah di sebelah sana.’ Baginda juga berkata kepada sang isteri, ‘Duduklah di sebelah sana.’ Setelah itu, baginda meletakkan si anak di tengah-tengah di antara keduanya seraya berkata kepada keduanya, ‘Panggillah anak ini oleh kalian berdua.’ Si anak ternyata condong kepada ibunya. Nabi (saw) kemudian berdoa, ‘Ya Allah, berilah anak itu petunjuk.’ Anak itu kemudian condong kepada ayahnya, lalu ayahnya membawanya pergi.”

Riwayat ini disahihkan oleh al-Hakim, dan az-Zahabi sepakat dengannya, dan ad-Daruqutni menyebut bahawa nama anak perempuan itu ialah Umairah. Ahmad dan an-Nasa’i kedua-duanya meriwayatkan hadis ini dengan sanad yang berbeza. An-Nasa’i meriwayatkan daripada ‘Abd al-Hamid bin Ja’far al-Ansari daripada datuknya:

أَنَّهُ أَسْلَمَ، وَأَبَتِ امْرَأَتُهُ أَنْ تُسْلِمَ، فَجَاءَ ابْنٌ لَهُمَا صَغِيرٌ لَمْ يَبْلُغِ الْحُلُمَ، فَأَجْلَسَ النَّبِيُّ  الأَبَ هَا هُنَا وَالأُمَّ هَا هُنَا، ثُمَّ خَـيَّرَهُ فَقَالَ: اللَّهُمَّ اهْدِهِ، فَذَهَبَ إِلَى أَبِيهِ

“Bahawa datuknya memeluk Islam, sedangkan isterinya menolak (untuk masuk Islam). Kemudian anak lelaki mereka yang masih belum baligh datang. Nabi (saw) mendudukkan si bapa di satu tempat dan si ibu di tempat yang lain. Kemudian baginda memberi anak itu pilihan seraya berdoa, ‘Ya Allah berilah anak itu petunjuk’, lalu anak itu pergi kepada bapanya”.

Ibnu Jauzi menyatakan bahawa di antara dua riwayat tersebut, riwayat yang menyebut bahawa anak itu adalah lelaki adalah lebih sahih.

Sesungguhnya Rasulullah (saw) tidak senang dengan pilihan anak itu, maka baginda mendoakannya sehingga dia memilih bapanya yang Muslim. Dengan kata lain, anak itu diberikan kepada orang tuanya yang beragama Islam. [Tamat]

Beza Antara Hadhaanah dan Wilayah

Perlu difahami bahawa “pilihan” yang diberi oleh Rasulullah (saw) dalam hadis-hadis di atas adalah dalam keadaan di mana anak-anak tersebut telah mencapai usia yang dapat membezakan di antara kelakuan ibunya dan bapanya (ada fuqaha’ menyebutnya sebagai mumayyiz), dan pilihan tersebut juga adalah berhubung soal kafaalah (penjagaan) atau hadhaanah (pengasuhan), bukannya soal wilaayah (kewalian / guardianship).

Secara mafhumnya, hadis di atas memberi pengertian bahawa jika si anak masih lagi menyusu atau belum mencapai usia yang mampu membezakan perilaku ayah atau ibunya, maka anak tersebut tidak diberi pilihan melainkan mesti diserahkan kepada ibunya yang memiliki hak hadhaanah ke atasnya, biar pun si ibu adalah seorang kafir.

Ini kerana, Islam telah menetapkan bahawa si ibu lebih berhak dalam pengasuhan anak, dan tidak ada nas yang melarang seorang ibu, walaupun kafir, daripada mengasuh anaknya yang masih kecil. Perlu difahami bahawa maksud hadhaanah adalah menyusukan, menyuap makan, memandikan, membasuh berak/kencing, membelai, merawat atau memberi pelayanan yang baik kepada anak, yang mana semua ini merupakan tugas seorang ibu.

Perlu difahami seterusnya bahawa hadhaanah/kafaalah adalah berbeza dengan wilaayah. Kedua-duanya tidak sama, dan tidak boleh disamakan. Malah kedua-duanya membawa implikasi hukum yang berbeza antara satu sama lain. Ibu yang kafir memiliki hak hadhaanah/kafaalah terhadap anaknya, tetapi sama sekali tidak memiliki hak wilaayah, kerana hak wilaayah hanya dimilik oleh bapa/pasangan yang Muslim sahaja.

Kesimpulannya, bagi anak yang masih memerlukan hadhaanah, maka si ibu, walaupun kafir, berhak untuk mengasuhnya. Apabila si anak tersebut telah mencapai usia yang tidak lagi memerlukan hadhaanah, atau dengan kata lain sudah mencapai ‘usia mampu’ sebagaimana dibincangkan di atas, maka dengan kemampuannya itu, hilanglah illat hadhaanah-nya. Apabila illatnya hilang, maka hilanglah pula hukumnya, iaitu kewajipan mengasuhnya.

Dalam keadaan ini, perlu diperhatikan hal berikut dengan sebaiknya – Jika orang yang berhak mengasuh (contohnya ibu) adalah seorang kafir, maka si anak wajib diambil daripada ibu yang kafir tersebut dan diserahkan kepada bapanya yang Muslim atau kepada orang yang memiliki hak wilaayah (kewalian) ke atas anak itu.

Perlu difahami bahawa apabila anak itu telah mencapai usia mampu, maka fakta yang ada telah berubah menjadi persoalan wilaayah, bukan lagi persoalan hadhanah/kafaalah. Anak itu mesti diserahkan kepada pasangan yang Muslim kerana kewalian tidak boleh sama sekali diserahkan kepada orang kafir. Ini berdasarkan firman Allah (swt) yang telah disebut di atas:

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

“Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman” [An-Nisa’ (4): 141].

Juga berdasarkan sabda Rasulullah (saw):

الإِسْلاَمُ يَعْلُو وَلاَ يُعْلَى

“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya” [HR ad-Daruqutni daripada ‘Aiz Al-Mazni dengan sanad hasan]

Adapun jika perceraian itu melibatkan pasangan suami-isteri yang kedua-duanya beragama Islam, dan si anak sudah pun mencapai usia mampu, maka dalam keadaan ini si anak diberi hak pilih samada untuk tinggal bersama ibu atau bapanya, sebagaimana hadis-hadis yang telah dibincangkan di atas.

Undang-undang Sekular Mengancam Akidah

Berdasarkan apa yang telah dibincangkan, sangat jelas bahawa sekiranya kes Loh Siew Hong ini dibicarakan di mahkamah dalam sebuah Negara Islam (Khilafah) yang berhukum dengan hukum Islam, maka kesemua anaknya akan diserahkan kepada si bapa kerana hak kewalian ada pada bapa (Muslim), ditambah dengan fakta bahawa ketiga-tiga anak mereka sudah pun melepasi usia hadhaanah/kafaalah. Apabila negara berhukum dengan hukum Islam, Insya Allah akidah anak-anak tersebut dapat diselamatkan.

Malangnya di Malaysia yang mengamalkan sistem sekular pada hari ini, anak-anak telah diserahkan kepada si ibu yang kafir, dan lebih malang lagi apabila pengIslaman anak-anak tersebut diputuskan sebagai tidak sah disebabkan oleh unilateral conversion (pengIslaman sepihak).

Kes Indira Ghandi yang dijadikan rujukan oleh Mahkamah Rayuan telah menafsirkan perkataan “parent” yang terdapat dalam Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan sebagai bermaksud “ibu dan bapa” yang memberi kesan undang-undang bahawa pengIslaman anak-anak di bawah umur 18 tahun hanya sah apabila kedua-dua orang tua mereka bersetuju.

Sedangkan di dalam Islam, oleh kerana hak wilaayah (kewalian / guardianship) berada di tangan bapa yang Muslim, maka apabila si bapa masuk Islam dan mengIslamkan anak-anaknya, pengIslaman tersebut adalah sah walaupun si ibu yang kafir tidak bersetuju atau tidak mengizinkannya. Ini kerana, si ibu tidak mempunyai hak kewalian tetapi hanya mempunyai hak hadhaanah/kafaalah sahaja ke atas anak-anaknya, itu pun hanya selama anak-anak tersebut masih memerlukan pengasuhan.

Diakui atau tidak, sangat jelas bahawa undang-undang sekular yang sedia ada ternyata mengancam akidah anak-anak, khususnya apabila melibatkan perceraian ibu bapa atas sebab keIslaman salah seorang daripada mereka. Walaupun keputusan ini tidaklah menghairankan kerana inilah sifat undang-undang sekular yang sememangnya bertentangan dengan Islam, namun kita tidak boleh memandang ringan kes ini kerana ia melibatkan persoalan akidah. Sesungguhnya akidah merupakan “harga mati” bagi seseorang Muslim. Tidak ada tawar-menawar, dan tidak boleh ada tawar-menawar dalam hal ini!

Apa Yang Boleh Dilakukan?

Dari satu sudut, sungguh aneh untuk dibayangkan bagaimana hakim-hakim dalam kes ini, yang kesemuanya adalah Muslim, namun keputusan mereka tidak berpihak kepada Islam, padahal isu akidah adalah penentu kepada syurga dan neraka seseorang. Namun dari sudut lain, kita dapat memahami inilah natijah daripada didikan dan cengkaman sistem sekular yang datangnya daripada penjajah, yang tidak memungkinkan mereka untuk berhukum dengan hukum Islam.

Melihat kepada kes-kes sebegini yang sudah begitu banyak, jadi bukannya mudah untuk memperbetulkan cara berfikir para hakim untuk kembali kepada Islam, sebagaimana susahnya untuk memperbetulkan cara berfikir para pemimpin yang telah lama sebati dengan sistem sekular. Pemikiran mereka telah lama terjajah dan setakat ini tidak nampak tanda-tanda mereka ingin keluar daripada kepompong pemikiran yang telah dibalut rapi oleh penjajah ini.

Sesungguhnya sudah tidak ada harapan, malah hampir mustahil untuk melihat pelaksanaan hukum Islam melalui tangan mereka yang berpemikiran sekular. Justeru, buat masa ini kita hanya mampu mendoakan agar anak-anak yang terlibat dalam kes ini diberi perlindungan oleh Allah (swt) dan terus dapat mempertahankan akidah Islam mereka. Jika keyakinan mereka kepada Allah (swt) tidak tergugat, maka mereka akan kekal dalam Islam insya Allah, walaupun keputusan mahkamah adalah sebaliknya. Sesungguhnya keIslaman mereka ada dalam dada mereka, dan bukannya berada dalam kad pengenalan atau apa-apa dokumen, atau pada keputusan mahkamah.

Berdasarkan umur, kedua-dua anak perempuan itu (16 tahun) tentunya telah baligh sekarang, manakala anak lelaki pula (13 tahun) mungkin akan baligh dalam masa setahun dua lagi berdasarkan hukum Islam. Setelah baligh, mereka sendirilah yang sebenarnya menentukan samada mereka Muslim atau tidak. Dengan tinggal bersama ibu mereka yang kafir sama sekali tidak akan menjadikan mereka kafir selagi akidah mereka masih benar, dan mereka tidak melakukan apa-apa kesyirikan kepada Allah (swt). Malah, kita mendoakan melalui tangan-tangan mereka, ibu mereka pula akan memeluk Islam satu hari nanti. Amiin Allahuma Amiin.

Khatimah

Sebuah negara sekular, yang mana mahkamahnya juga sekular sudah terbukti menjadi pengancam kepada akidah umat Islam. Kita sudah menyaksikan berapa banyak kes yang melibatkan perceraian ibu bapa kerana salah seorang memeluk Islam, akhirnya akidah anak-anak mereka terancam disebabkan oleh undang-undang sekular yang ada. Apa yang pasti, kita akan terus menyaksikan kes-kes seumpama ini selagi negara ini, dan mahkamah dalam negara ini terus mengamalkan sistem, perlembagaan dan undang-undang yang datangnya daripada kafir penjajah. Kita hanya akan dapat keluar daripada semua keburukan ini apabila berdirinya Negara Khilafah yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya secara kaffah insya Allah.

Wallahu a’lam.