Perginya Seorang Pejuang Khilafah
Seluruh keluarga dan sahabat handai terkejut dengan berita kematian Sdr. Munawarul Rafiq Bin Muhammad, 31. Allahyarham yang berasal dari Sg Siput, Perak merupakan seorang programer di Juken Technology Sdn. Bhd. Sg. Buloh, Selangor, ditemui mati oleh adiknya seorang diri di rumah sewanya di Gombak. Adiknya bergegas ke rumah beliau selepas banyak kali panggilan telefon kepadanya tidak berjawab. Selepas menghubungi polis, jenazah Allahyarham beliau di bawa di Hospital Kuala Lumpur sekitar jam 11.28 malam dan dikategorikan sebagai kematian mengejut. Beliau meninggalkan seorang balu bersama sepasang anak kembar yang berusia lebih kurang 3 bulan.
Jenazahnya kemudian di bawa balik ke Sg. Siput dan selamat dikebumikan sekitar jam 11.00 pagi hari ini ( 1 Jun 2010). Programer lulusan German-Malaysian Institute (GMI) ini adalah seorang yang menyedari perlunya umat Islam hidup di bawah naungan Khilafah. Atas kesedaran itu, beliau bersungguh-sungguh mempelajari dan merealisasikan perjuangan untuk menegakkan Negara Khilafah bersama Hizbut Tahrir yang mula dikenalinya sejak 2008. Beliau dengan penuh komitmen senantiasa menghadiri kelas anjuran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dan turut melakukan sebaran risalah Sautun Nahdhah keluaran HTM setiap minggu. Hasil kepakaran dan berkat kesungguhan beliau, beberapa siri video dokumentari sekitar Khilafah dan kewajipannya hampir berjaya disiapkan sepenuhnya. Projek peribadi beliau ini telah bermula sejak tahun lepas lagi dan sempat ditayangkan kepada beberapa sahabatnya.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan para syuhada’ dan solihin…Amin ya Rabba ‘Alamin.