Pejuang Khilafah Itu Telah Dipanggil Rabbnya

INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN. Sekalung takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham RAHIM BIN SALLEH dari Kg. Wang Besar, Bintong, Perlis. Rahim,  56 atau lebih mesra dengan panggilan Ba’in di kalangan rakan-rakan dan jiran telah kembali ke rahmatullah pada 29 Mac 2010 yang lalu kerana serangan jantung. Beliau mengadu sesak nafas pada tengahari tersebut dan sejurus selepas itu terus dikejarkan ke hospital Tengku Fauziah, Kangar dengan ambulan. Beliau dimasukkan ke wad kecemasan dan disahkan menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar jam 4.00 petang. Beliau meninggalkan seorang isteri dan 3 orang anak. 

Di sebalik personalitinya yang berprofail rendah, Rahim adalah seorang yang senang didekati dan mudah mesra serta sentiasa melemparkan senyuman kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya. Beliau mula bergiat aktif dengan Hizbut Tahrir sejak tahun 2000 dan tidak pernah ketinggalan mengikuti setiap aktiviti Hizb khususnya di Perlis. Beliau adalah seorang yang aktif mengedarkan risalah Sautun Nahdhah di sekitar masjid di Perlis walaupun keadaan kesihatannya sentiasa tidak stabil. Sehingga ke malam terakhir sebelum beliau dipanggil Rabbnya beliau masih terus mengikuti majlis ilmu anjuran Hizbut Tahrir walaupun dalam keadaan yang amat lemah.

Hizbut Tahrir Malaysia sangat terasa kehilangan seorang ahlinya ini namun menerima qadha’ yang Allah telah tetapkan ke atasnya. Sesungguhnya beliau merupakan salah seorang pejuang Khilafah yang tidak pernah mengenal penat lelah hinggalah beliau kembali ke pangkuan Rabbnya. Semoga beliau ditempatkan di kalangan para syuhada’ dan solihun. Amin ya Rabbal Alamin.