Perjuangan atas dasar maslahat hanyalah perjuangan sementara

Pelajar Kuis bantah yuran mahal- Kenaikan lebih 50% sejak 2007 didakwa bebankan ibu bapa

altBANGI: Lebih 2,000 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) yang menggelarkan diri mereka Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) mengadakan demonstrasi di pekarangan kolej itu semalam, bagi membantah kenaikan yuran pengajian yang dikenakan ke atas mereka.

Kumpulan pelajar terbabit berarak membawa poster, membantah tindakan Kuis menaikkan yurannya secara beperingkat bermula pada 2006 dan lebih 50 peratus pada 2007. Pelajar terbabit turut menyerahkan memorandum kepada pengurusan Kuis menuntut supaya yuran mereka dikaji semula. Presiden GMS, Ahmad Syafiq Akmal Ahmad Kamil, berkata selain memohon supaya yuran pengajian diturunkan, memorandum juga mengandungi cadangan supaya Kuis mewujudkan skim pinjaman dalaman. Selain itu mereka turut meminta Kuis memohon Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meningkatkan kadar pinjaman mereka. Memorandum itu adalah bantahan pelajar yang tidak berpuas hati dengan yuran tinggi yang tidak setimpal dengan kemudahan ditawarkan kolej, selain membebankan pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin.

“Kami harap kolej mempertimbangkan menurunkan yuran bagi pengajian diploma sehingga 15 peratus manakala pengajian sarjana muda 10 peratus,” katanya.

Ahmad Syafiq, berkata memorandum itu dibuat hasil kaji selidik perbandingan yuran antara institusi pengajian tinggi swasta dan maklum balas daripada pelajar Kuis. Memorandum itu diserahkan Ahmad Syafiq kepada Pegawai Khas Rektor Kuis, Mohd Azmi Abdul Hamid. Ahmad Syafiq mendakwa bantahan diadakan selepas rundingan yang diadakan pengurusan kolej sejak 2006 menemui jalan buntu.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Kuis, Nasrul Izad Mohd Isa, menegaskan MPM tidak terbabit dengan tuntutan dan penyerahan memorandum itu. Timbalan Rektor Korporat dan Antarabangsa Kuis, Mohd Shah Abdullah, berkata yuran pengajian ditentukan selepas merujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

“Struktur yuran kolej juga mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), selaku pemilik kolej.

“Bagaimanapun, kolej bersedia mempertimbangkan memorandum itu walaupun kesal dan kecewa dengan cara GMS berkumpul dan berdemonstrasi,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online 6/11/09

Bantahan yang disuarakan oleh mahasiswa Kuis semalam adalah satu perkembangan positif yang menunjukkan mahasiswa di Malaysia kian berani untuk menzahirkan ketidakpuasan hati  mereka terhadap pimpinan tertinggi kolej/universiti ataupun terhadap pihak kerajaan walaupun golongan mahasiswa di Malaysia terus dikekang dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU) dan akta-akta zalim yang lain. Sebenarnya isu ini sudah menjadi lumrah bagi mereka yang bergelar mahasiswa, cuma kita sebagai muslim perlu mencermati isu ini dari perspektif yang tepat dan mencari penyelesaian yang tuntas menurut Islam. Sememangnya dalam sistem kapitalis yang mendominasi dunia kini, negara/pemerintah secara rasminya bertindak sebagai “pemeras ugut duit rakyat yang terhormat”, maka pastinya rakyat secara separuh sedar akan diperas ugut dengan “cara yang  berhemah” dan mengikut prosedur yang tersusun rapi. Rakyat yang perlu meneruskan kehidupan dengan mendapatkan pendidikan yang sempurna terpaksa mengeluarkan bayaran untuk mendapatkan keperluan asas tersebut sedangkan ia sewajibnya disediakan oleh negara/pemerintah secara percuma kepada rakyat. Contoh lain yang jelas adalah “kemudahan” tandas awam yang disediakan tetap juga dikenakan “caj perkhidmatan” oleh pihak kerajaan tempatan. Rakyat/orang awam tiada pilihan melainkan terpaksa membayar untuk mendapatkan “kemudahan” tersebut walaupun dengan perasaan tidak puas hati. Namun kesabaran mereka ada batasnya. Sudah barang  pasti semua orang akan melenting marah seandainya “caj perkhidmatan” yang dikenakan untuk memasuki tandas awam meningkat 2 atau 3 kali ganda. 

Begitulah juga yang berlaku terhadap mahasiswa Kuis dan “mangsa-mangsa” yang lain. Sayangnya, perjuangan yang disandarkan atas asas seperti ini hanya bersifat sementara kerana mereka hanya menuntut supaya yuran pengajian dikurangkan. Seandainya yuran pengajian yang tinggi kembali diturunkan pastilah mereka akan berasa lega dan kembali tenang untuk meninggalkan perjuangan yang berapi-api itu. Sebaliknya jika yuran pengajian yang  tinggi tetap tidak berubah, maka biasanya mereka tiada pilihan lain kecuali tetap meneruskan pengajian dalam keadaan tertindas. Akhirnya, setelah mereka lulus dari pengajian, api perjuangan yang lalu telahpun lama luntur dan mereka kembali menjalankan kehidupan sebagai ‘orang bekerja’, berpuas hati dengan apa yang mereka ada dan hidup tanpa semangat untuk mengubah arus kehidupan ‘biasa’ yang penuh dengan perangkap dan duri-duri berbisa.

Persoalan utama yang seharusnya diperdebatkan adalah bukan ukuran samada yuran pengajian adalah murah atau mahal, tetapi ukuran syari’at  Islam yang tidak pernah pernah menghalalkan pemerintah menuntut bayaran kepada rakyatnya dalam urusan menuntut ilmu (Rujuk SN108-PEMBIAYAAN PENDIDIKAN : TANGGUNGJAWAB SIAPA?).  Alangkah kelirunya pemikiran umat Islam (terutamanya golongan mahasiswa dan cerdik pandai) apabila tidak dapat menilai kezaliman yang dilakukan pemerintah dengan ukuran hukum Allah SWT, sebaliknya menilai segalanya dengan ukuran emosi dan kepentingan(maslahat) yang sementara. Walhal penilaian Islam-lah yang paling penting dalam menghadapi pelbagai isu dan masalah yang timbul.  Sekiranya asas perjuangan sesuatu kelompok adalah atas dasar emosi kerana maslahat mereka terhalang, maka mereka pasti  akan menamatkan perjuangan tersebut setelah maslahat mereka itu diperolehi. Ini berbeza dengan perjuangan untuk menegakkan syari’at Allah dengan jalan dakwah yang ditunjukkan para sahabat r.a . Perjuangan seperti ini sekali-kali tidak akan pernah selesai sehingga kiamat walaupun setelah dunia dipimpin oleh seorang Khalifah yang adil. Umat Islam perlu diingatkan di sini bahawa perjuangan atas dasar maslahat bukanlah perjuangan yang benar untuk membangkitkan umat, apatah lagi membangkitkan golongan mahasiswa. Perjuangan yang benar hanyalah perjuangan yang diusahakan atas dasar dorongan aqidah Islam, dari keyakinan yang teguh akan firman Allah SWT sebagaiman yang termaktub pada Surah Ali Imran: Ayat 104

وَلْتَكُن مِّنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan(iaitu Islam), menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; dan mereka itulah orang-orang yang menang”.