Perkataan Yang Paling Baik

Dakwah merupakan amal yang paling utama. Melalui dakwah, Islam dapat tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Melalui dakwah juga, Islam dapat diwariskan daripada satu generasi ke generasi yang lain dan menjadikannya hidup di sepanjang masa. Islam juga dapat ditegakkan secara kaffah di tengah-tengah kehidupan lantaran aktiviti-aktiviti dakwah. Terdapat banyak dalil yang memerintahkan agar kaum Muslimin untuk sentiasa berdakwah. Ganjaran pahala yang disediakan bagi para pendakwah juga amat besar. Antara dalil yang menjelaskan tentang keutamaan dakwah adalah sepertimana firmanNya:
 
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَآ إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَـلِحاً وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ الْمُسْلِمِينَ
 

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘Sesugguhnya aku adalah daripada kalangan orang Muslim (yang berserah diri)?” [TMQ Fussilat (41): 33]

Secara zahirnya, sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Alusi, seruan dakwah yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah melalui lisan. Manakala perkataan ilal-Lâh (kepada Allah SWT) di sini bermaksud mengajak kepada tauhid Allah dan taat kepadaNya. Asy-Syaukani dan Al-Jazairi dalam tafsir mereka tidak jauh berbeza dengan pendapat Abu Hayyan Al-Andalusi yang mengatakan bahawa al-du’â ilal-Lâh adalah dengan menyeru kepada Islam, berjihad melawan kaum kafir dan menghentikan perbuatan orang-orang yang zalim. Ini dari sudut seruan ayat tersebut.

Dari sudut pelaku atau orang yang menyeru kepada dakwah pula, ada yang menafsirkan bahawa orang yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada Rasulullah SAW. Ada pula yang menyatakan bahawa ayat ini turun berkenaan muazin (orang yang melaungkan azan). Jika dilihat pada lafaznya, kata “man” dalam ayat ini adalah isim al-istifhâm (kata soal). Kata tersebut memberikan makna yang umum. Oleh kerana ia memberi makna yang umum, maka selagimana tidak ada dalil yang mengkhususkannya untuk sesuatu, maka ia tetap kekal dengan makna yang umum. Oleh itu, kebanyakkan mufassir (ahli tafsir) seperti Al-Hasan, Mujahid, Ibnu Katsir, Asy-Syaukani, Al-Alusi dan lain-lain memilih kesimpulan bahawa ayat ini bermaksud umum yang melibatkan semua orang yang menyeru kepada Allah SWT.

Walaupun kalimat “man” dalam ayat ini adalah isim al-istifhâm, menurut Al-Alusi, istifhâm tersebut membawa makna al-nafiyy (penegasan). Ertinya, tidak ada perkataan yang disampaikan oleh seseorang yang lebih baik daripada orang yang menyeru kepada Allah SWT. Menurut Fakhruddin Al-Razi, ini menunjukkan bahawa berdakwah kepada Allah lebih baik daripada  perkara-perkara yang lain.

Semua manusia maklum bahawa yang dihasilkan oleh lisan adalah ucapan atau perkataan. Sebagaimana anggota badan yang lain, apa sahaja yang dilakukan oleh lisan adalah wajib untuk terikat dan sejajar dengan hukum syara’. Rasulullah SAW bersabda:

Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata khair (yang baik-baik) atau diam”. (HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmidzi daripada Abu Hurairah).

Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Fathul Bari menyatakan bahawa perkara termasuk dalam cakupan “al-khair” adalah apa sahaja ucapan atau perkataan yang dituntut (oleh Islam, pent), sama ada yang difardhukan mahupun yang disunatkan. Adapun maksud kata “syarr” adalah apa sahaja yang mengakibatkan keburukan, maka diperintahkan untuk diam.

Perkataan yang mengandungi seruan dakwah kepada Allah dan kepada agamaNya adalah perkataan yang paling baik. Ini adalah kerana, ucapan tersebut bukan sahaja menampilkan kesempurnaan dirinya, tetapi ia juga dapat menyempurnakan orang lain. Pahala yang diberikan kepada orang-orang yang melakukan aktiviti tersebut juga sangat besar. Rasulullah SAW bersabda:

Demi Allah, sesungguhnya satu orang yang diberikan petunjuk (oleh Allah) melalui perantaraanmu (pendakwah), maka itu lebih baik daripada unta merah” (HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Nasa’i).

Apabila dakwahnya diterima, pahala yang diberikan kepadanya pun terus mengalir. Rasulullah SAW juga bersabda: “Barangsiapa yang menunjukkan/mengajarkan suatu kebaikan, maka dia mendapat pahala yang sama sepertimana orang yang melakukannya (mengikutinya)”. (HR Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ahmad).

Malah, Nabi SAW juga mengatakan bahawa dakwah yang disampaikan kepada penguasa yang zalim disebut sebagai afdhal al-jihâd, yakni jihad yang paling utama (rujuk HR Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad). Jika ia mati dibunuh oleh penguasa yang didakwahkan tersebut, maka ia dianggap sebagai sayyid al-syuhadâ`, iaitu pemimpin para syuhada` (rujuk HR Al-Hakim dan Al-Mustadrak). Ini semua menunjukkan bahawa dakwah kepada Islam merupakan perkataan yang paling baik.

Mempraktikkan Perkataannya

Di samping menyampaikan dakwah kepada Allah, mereka (pendakwah) juga wajib mengamalkan apa yang telah didakwahkannya. Allah SWT berfirman: “wa ‘amilas sâlihan” (mengerjakan amal yang soleh), sepertimana yang dijelaskan oleh Asy-Syaukani, mengerjakan amal soleh adalah menunaikan apa yang diwajibkan oleh Allah dan menjauhi apa yang diharamkan kepadanya. Menurut Fakhruddin Al-Razi, amal soleh meliputi ‘amal al-qulûb (aktiviti hati), yakni ma’rifah dan ‘amal al-jawârih (aktiviti zahir, anggota badan) yakni seluruh ketaatan. Pendek kata, sesuatu amal dapat dikategorikan sebagai amal soleh apabila ia sejajar dengan ketentuan syara’. Apabila ia bertentangan dengan syara’, amal tersebut merupakan suatu kemungkaran dan kemaksiatan yang tidak dapat dikategorikan sebagai amal soleh.

Di samping itu, amal tersebut perlu juga berlandaskan kepada keikhlasan terhadap Allah SWT semata-mata dan hanya mengharapkan kepada keredhaanNya, sepertimana Allah sebutkan dalam surah Al-Insan [76]: 9-10 surah Al-Lail [92]: 19-20). Amal soleh dalam ayat ini menunjukkan bahawa orang yang menyampaikan dakwah kepada Islam wajib untuk mengamalkan apa yang disampaikannya. Perkataan dan perbuatannya perlulah seiring. Bahkan orang yang menyampaikan itulah yang sepatutnya lebih taat terhadap perkara yang didakwahkannya.

Allah SWT mencela orang-orang yang hanya tahu menyeru kepada orang lain untuk berbuat kebaikan padahal dirinya sendiri mengabaikan apa yang disampaikan. Allah SWT berfirman:

Mengapakah kamu menyuruh orang lain untuk (mengerjakan) kebajikan sedangkan kamu melupakan (kewajiban) dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab”. [TMQ Al-Baqarah (22): 44].

Juga dalam firmanNya yang lain: “Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”. [TMQ As-Saff (61): 2-3].

Menunjukkan Jati diri

Kemudian, di akhir ayat 33 surah Al-Fussilat Allah berfirman: “wa qâla innanî min al-Muslimîn” (‘dan berkata “Sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang Muslim (yang berserah diri)”). Imam At-Thabari menafsirkan ayat ini dengan ungkapan: Dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk orang yang tunduk kepada Allah dengan ketaatan, merendahkan diri  kepadaNya dengan penghambaan dan berserah diri kepadaNya dengan mengimani keesaanNya.”

Menurut An-Nasafi, ini menunjukkan bahawa kebanggaan mereka terhadap Islam atau kepercayaan mereka terhadapnya. Selain itu, menurut Al-Baidhawi adalah menjadikan Islam sebagai agama dan mazhabnya. Ini adalah ibarat mengatakan: ‘Ini adalah pendapat Fulan untuk mazhabku. Atau ringkasnya sebagaimana yang disimpulkan Al-Razi bahawa ini adalah ikrar dengan lisan.

Inilah perkataan yang terbaik, iaitu perkataan yang mengajak kepada Islam, disampaikan oleh orang yang taat terhadap syariah dan tanpa ragu-ragu malah dengan bangga menunjukkan jati dirinya sebagai kaum Muslimin. Sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan kemuliaan, darjat, martabat yang tinggi di sisiNya dan kebahagiaan yang hakiki, maka ketiga-tiga sifat yang telah disebutkan ini perlu dimiliki. Semoga kita termasuk di dalam golongan tersebut.

Kesimpulan:
1. Perkataan terbaik adalah perkataan yang berisi dakwah kepada Islam.
2. Amal soleh adalah amal yang: (1) sejajar dengan syara’ dan; (2) berlandaskan sikap ikhlas
3. Tidak boleh ragu-ragu menunjukkan jati dirinya sebagai seorang Muslim.