Perlepasan Sekatan Ekonomi Syria: Helah AS Menyelamatkan Kedudukan Al-Sharaa

Perlepasan Sekatan Ekonomi Syria: Helah AS Menyelamatkan Kedudukan Al-Sharaa

oleh : Dr Ammar

Pada 13 Mei 2025, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengumumkan satu keputusan yang mengejutkan dunia: penamatan sepenuhnya semua sekatan ekonomi terhadap Syria. Dalam ucapannya, beliau menyatakan:

“Saya akan mengarahkan penamatan sekatan terhadap Syria untuk memberi mereka peluang mencapai keagungan… Semoga berjaya, Syria — tunjukkan sesuatu yang sangat istimewa.” [Aljazeera English : https://www.youtube.com/watch?v=n3ch7HPcrCE]

Bagi masyarakat awam, kenyataan ini mungkin kelihatan sebagai langkah kemanusiaan — satu inisiatif untuk membolehkan Syria membina semula negaranya setelah sekian lama dilanda perang saudara. Namun begitu, di sebalik retorik indah tersebut tersembunyi agenda licik Amerika Syarikat yang jauh lebih dalam dan berbahaya.

Agenda Terselindung: Menyelamatkan Boneka Amerika di Syria

Sehari selepas pengumuman tersebut, Trump telah mengadakan pertemuan dengan Presiden interim Syria, Ahmad Al-Sharaa, di Arab Saudi. Al-Sharaa ialah tokoh kontroversi yang mempunyai latar belakang sebagai bekas komander kumpulan bersenjata.

Menurut laporan rasmi White House, Trump telah mengemukakan empat tuntutan utama kepada Al-Sharaa:

  1. Menormalisasikan hubungan diplomatik dengan Israel menerusi penyertaan Syria dalam Abraham Accords.
  2. Mengusir warga Palestin dan pejuang asing dari wilayah Syria.
  3. Membantu Amerika Syarikat dalam usaha mengekang kebangkitan semula kumpulan ISIS.
  4. Mengambil alih kawalan pusat-pusat tahanan ISIS di Timur Laut Syria.  [RT News, 14 Mei 2025]

Jelaslah bahawa Amerika tidak menyokong Al-Sharaa demi rakyat Syria, tetapi demi menjamin kepentingan geopolitik mereka, keselamatan Israel, serta kesinambungan projek penjajahan mereka di Timur Tengah!

Mark Rubio Bongkar Niat Sebenar

Setiausaha Negara AS, Mark Rubio, semasa sesi bersama Jawatankuasa Senat pada 20 Mei 2025 dalam isu membabitkan Syria, telah membongkar kebimbangan sebenar Washington:

“Namun, sisi sebaliknya adalah, jika kita melibatkan mereka(kerajaan Al-Sharaa), mungkin akan berhasil [atau] mungkin tidak berhasil. Jika kita tidak melibatkan mereka, sudah pasti tidak akan berhasil. Faktanya, menurut penilaian kami, pihak berkuasa interim mungkin hanya tinggal beberapa minggu sahaja — bukannya beberapa bulan — daripada potensi keruntuhan dan perang saudara skala besar.”      

[PBS Newshour: https://www.youtube.com/watch?v=gO3ZbXIV1AA]

Kenyataan ini menjadi bukti kukuh bahawa penamatan sekatan ekonomi oleh AS bukanlah atas dasar kepentingan rakyat Syria, tetapi didorong oleh ketakutan Amerika bahawa tokoh dokongan mereka, Ahmad Al-Sharaa, bakal digulingkan oleh rakyat Syria sendiri. Maka, penamatan sekatan itu bertujuan untuk memberi nafas kepada rejim pro-Amerika agar dapat menerima bantuan antarabangsa dan pelaburan luar, sekali gus membeli sokongan rakyat demi mengekalkan kuasanya.

Sekiranya Ahmad Al-Sharaa dijatuhkan, maka keseluruhan pelan AS di Syria dan Timur Tengah akan hancur. Jelas sekali bahawa slogan dan kenyataan Trump yang kononnya menggambarkan kepedulian terhadap rakyat Syria hanyalah muslihat dan tipu daya semata-mata.

Perlu Wujud Kesedaran Politik dalam diri umat Islam

Umat Islam wajib menyedari strategi halus dan licik yang dirancang oleh Amerika Syarikat untuk terus mencengkam dunia Islam, khususnya Syria. Segala tindakan mereka bukanlah untuk kepentingan rakyat, tetapi untuk memastikan dominasi mereka kekal dan boneka-boneka mereka terus berkuasa.

Sebagai mukmin, kita tidak boleh terus tertipu dengan permainan licik musuh-musuh Islam. Rasulullah SAW telah mengingatkan:

لَا يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ

“Seorang mukmin tidak akan dipatuk dari satu lubang yang sama sebanyak dua kali.”
— Riwayat al-Bukhari (no. 6133) dan Muslim (no. 2998)

Satu-satunya jalan keluar bagi umat Islam daripada terjerat di dalam permainan musuh Islam ialah dengan menerapkan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, serta berusaha menegakkan semula Khilafah Islamiyyah yang akan menyatukan seluruh umat di bawah pimpinan seorang khalifah yang bertaqwa — satu kepimpinan yang benar-benar membela kepentingan umat, bukan menjadi alat kepada kuasa kuffar Barat.-