Perlu Bergantung Kepada Siapa Jika Tidak Kepada Barat?
SEPANG 10 Jan. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru media tempatan agar tidak terlalu bergantung kepada maklumat yang disalurkan media Barat khususnya yang berkaitan dengan keadaan semasa di Genting Gaza.
Bekas Perdana Menteri berkata, ini kerana semua media Barat terbabit dikuasai oleh golongan yang mempunyai kaitan yang amat rapat dengan Israel. ”Kita tidak akan mendapat lebih daripada apa yang mereka salurkan itu. Jadi, kita mesti berbangga dengan nilai kita sendiri dan tidak mengatakan dengan mengikuti nilai-nilai Barat, maka kita akan jadi lebih bertamadun dan mempunyai nilai moral tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan sembilan rakyat Malaysia yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan terbesar untuk rakyat Palestin, Viva Palestina, di sini, hari ini. Konvoi tersebut terdiri daripada 450 individu mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NG0) dari 17 buah negara termasuk Malaysia. Bantuan yang dibawa termasuklah makanan, ubat-ubatan, peralatan perubatan, bahan bacaan dan barangan mainan untuk kanak-kanak yang kesemuanya bernilai RM3.4 juta. Perjalanan Viva Palestina dari London pada 6 Disember tahun lalu itu merentasi 10 buah negara dan bandar raya di Eropah sebelum sampai di Turki, Syria dan Jordan. Sehubungan itu, Dr. Mahathir berkata, adalah penting bagi masyarakat kita untuk melihat sendiri tentang apa yang sebenarnya berlaku di Genting Gaza. ”Salah seorang daripada rakyat kita yang menyertai konvoi itu memberitahu, Gaza masih dihujani dengan serangan bom setiap hari sedangkan saya ingat sudah wujud keamanan di kawasan itu. ”Mereka (media Barat) bercakap tentang isu-isu kecil tetapi Gaza yang secara konsistennya diserang oleh Israel tidak ada berita langsung tentang itu termasuk di media-media kita dan saya sendiri tidak pernah baca tentang pengeboman itu. ”Saya rasa Barry Wain (penulis buku Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times) perlu menulis biografi tentang pemimpin Israel dan saya pasti beliau akan menemui banyak perkara ‘baik’ tentang mereka,” katanya. Sementara itu, salah seorang rakyat Malaysia yang menyertai konvoi itu, Matthias Chang berkata, walaupun pada mulanya konvoi itu dihalang oleh pihak berkuasa Mesir untuk memasuki Genting Gaza tetapi ia tidak pernah mematahkan semangat mereka. ”Ini kerana matlamat utama kami adalah untuk memastikan bantuan kemanusiaan itu sampai ke Gaza dan sebab itulah, kami mengambil keputusan tidak akan pulang selagi bantuan itu gagal memasuki Gaza,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia 11/01/10
Perlu Bergantung Kepada Siapa Jika Tidak Kepada Barat?
Nampaknya Mahathir terus menjadikan pihak Barat sebagai sasaran kritikannya. Kali ini, pihak media Barat yang dilihat oleh beliau dikuasai oleh golongan yang mempunyai kaitan yang amat rapat dengan Israel. Apakah kritikan beliau itu ada kena mengena dengan buku tulisan Barry Wain (penulis buku Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times) yang tidak berpihak kepadanya baru-baru ini? Ya, media sebagai saluran propaganda bagi mana-mana kuasa dan kerajaaan yang ada pada hari ini sememangnya akan memastikan agenda pihak yang menguasai mereka akan dapat disebarkan kepada sasarannya. Ini juga sebenarnya telah berlaku ketika Mahathir pernah berkuasa di Malaysia selama 22 tahun. Apakah beliau dapat menafikannya?
Berita-berita yang disiarkan dalam media pihak berkuasa akan dipastikan agar berpihak kepada mereka. Contoh yang cukup mudah ialah bagaimana ketika ini kita dapat melihat umat Islam di mana-mana jua, terutamanya kelompok-kelompok Islam yang bergerak untuk memperjuangkan kembali Islam sebagai suatu cara hidup dilabelkan sebagai pengganas. Kuasa Kapitalisme seperti Amerika dan Britain termasuklah juga Israel yang secara terang-terangan membunuh umat Islam di seluruh dunia saat ini tidak pula dilabelkan sebagai pengganas. Hakikatnya untuk memastikan sumber informasi yang berlegar di dunia ini adil, telus dan benar maka sudah pastinya pihak yang mengumpul, memproses dan yang menyebarkan berita itu mestilah merupakan golongan yang bertakwa. Dalam erti kata lain, umat Islam saat ini mestilah menguasai dunia dengan jalan menegakkan kembali Daulah Khilafah bagi menghadapi propaganda pihak Barat terhadap Islam. Firman Allah SWT: ”dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; ” [TMQ An Nisaa’ (4) : 83].
Maka dengan itu sudah selayaknya Mahathir menyeru agar Daulah Islam ditegakkan bagi menyaingi kebobrokan yang dibawa oleh media Barat yang dikuasai oleh negara-negara Kapitalis dunia saat ini. Persoalannya ialah apakah idea ini ada dalam benak Tun Mahathir? Sebenarnya masa masih ada masa untuk beliau sama-sama meraih kemuliaan ini. Cuma, apakah beliau sudah bersedia?