Perlukah ucapan takziah buat Perancis?
Sejurus selepas peristiwa pengeboman Paris, tumpuan dunia terus tertumpu pada Perancis dengan segunung simpati dan takziah diucapkan kepada negara kuasa Eropah itu. Malaysia turut tidak terkecuali, malah pimpinan utama parti politik Islam mahupun sekular melakukan kunjungan ke Kedutaan Perancis bagi melahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada mereka.
Kita semua tahu bahawa tudingan terus dibuat kepada umat Islam sebaik sahaja berlakunya serangan Paris. Malah kita boleh agak di mana sahaja berlaku pengeboman di negara-negara kafir, sudah pasti umat Islam menjadi pesalah! Bukan sahaja umat Islam, malah “agama Islam” itu sendiri turut dimasukkan ke kandang salah kerana bagi mereka, agama Islamlah yang menjadi pencetus kepada umatnya menjadi “pengganas”.
Kerana itu tidak hairanlah kenapa Robert Chardon, Datuk Bandar Venelle, salah sebuah kota di selatan Perancis, berkali-kali menyeru agar agama Islam diharamkan di negara tersebut. Inilah sikap sebenar Perancis yang terus menyalahkan agama Islam dan umatnya setiap kali berlaku insiden seperti ini, yang jelas menunjukkan bahawa bagi mereka, setiap umat Islam adalah salah dan agama Islam juga salah.
Susulan serangan di Paris, Presiden Perancis telah dengan serta merta mengarahkan penutupan sebahagian masjid di negaranya dan tanpa lengah terus melancarkan serangan balas ke Syria yang kononnya ditujukan kepada IS yang mengaku bertanggungjawab di atas peristiwa tersebut.
Umum mengetahui bahawa Perancis adalah salah sebuah negara kafir yang jelas-jelas menentang Islam. Masih segar dalam ingatan kita akan penghinaan yang dilakukan oleh majalah Charlie Hebdo ke atas Rasulullah SAW dan perbuatan keji tersebut mendapat sokongan daripada Presiden Perancis, Francois Hollande atas alasan kebebasan bersuara yang diamalkan di negaranya. Inilah kebebasan jijik yang diamalkan Perancis yang membolehkan penghinaan ke atas Nabi dan agama Islam. Walhal dalam masa yang sama, mereka melarang Muslimah memakai burqa (penutup muka), malah mereka memperlecehkan mana-mana Muslimah yang berbuat demikian dan mengenakan denda atas mereka. Kebebasan apakah yang mereka amalkan?
Kita juga tidak lupa akan kejahatan lainnya yang dilakukan Perancis ke atas Islam dan umatnya seperi bersekutu dengan ketua pengganas, Amerika Syarikat dalam peperangan mereka ke atas Iraq, Afghanistan, Mali, Libya dan banyak lagi. Itu belum mengambil kira kejahatan tanpa batas Perancis ke atas umat Islam dalam perang Salib dan penjajahannya ke atas Algeria selama lebih 130 tahun.
Walaupun kita tidak bersetuju dengan apa jua serangan yang disasarkan ke atas orang awam, namun wajarkah dunia amnya dan umat Islam khasnya memberikan penghormatan dan ucapan takziah kepada Perancis, setelah apa yang mereka lakukan terhadap umat Islam selama ini?
Wajarkah umat Islam, apatah lagi parti Islam, menunjukkan simpati kepada Perancis walhal tangan Perancis masih berlumuran dengan darah umat Islam? Dengan kata lain, wajarkah kita mengucapkan takziah kepada pembunuh saudara-saudara kita ini?
Apakah tujuan parti Islam berbuat demikian? Adakah kerana ingin sampaikan mesej kepada Perancis bahawa tidak semua umat Islam merupakan “pengganas” dan agama Islam adalah agama yang damai? Walhal Perancis tidak peduli sedikit pun, malah mereka terus menindas, mendiskriminasi dan menzalimi siapa sahaja yang bergelar “Muslim” yang tinggal di negaranya dan mahu mengharamkan Islam di negara mereka. Kerana bagi mereka, Muslim itu sama sahaja dan Islam itu sama sahaja, semuanya mesti diperangi. Inilah pendirian Perancis yang sebenar.