HTM buat sidang media khas perjelas isu fatwa

Gambar 01BANDAR BARU BANGI  4 Disember – Sehubungan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Selangor bertarikh 17 September 2015 ke atas Hizbut Tahrir dan disiarkan oleh beberapa media tempatan, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengadakan satu sidang media khas di pejabatnya di Seksyen 7.

Dalam sidang media tersebut, Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman menjelaskan tentang fatwa tersebut yang dipenuhi dengan fitnah dan kekeliruan ke atas Hizbut Tahrir.

“Kami kesal dengan Jabatan Mufti Selangor dan juga agensi penguatkuasanya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang bertindak mengeluarkan dan menyebarluaskan fatwa ini, kerana kandungannya sarat dengan fitnah dan kekeliruan”, jelas Abdul Hakim.

“Institusi agama sepatutnya menjadi institusi yang dihormati oleh masyarakat dengan sikap professional dalam melakukan tindakan, apatah lagi bila menyentuh tentang pengeluaran sesuatu fatwa yang wajib dilakukan dengan tepat dan benar dan dengan fakta yang sahih melalui kajian yang mendalam,”  jelas Jurucakap HTM itu kepada wartawan yang hadir.

Menjawab kepada salah satu soalan daripada wartawan, Abdul Hakim menjelaskan, “Apabila fatwa yang dikeluarkan itu salah dari segi faktanya, apatah lagi berupa fitnah, kita khuatir institusi agama yang sepatutnya dihormati ini, akan hilang kehormatannya di mata masyarakat, apatah lagi kepada umat Islam yang sudah mengenali Hizbut Tahrir, yang sebenarnya tidak sepertimana disebut dalam fatwa”.

Gambar 02Jurucakap HTM itu juga mengingatkan Jabatan Mufti dan JAIS bahawa Hizbut Tahrir merupakan sebuah parti politik Islam antarabangsa yang mempunyai jutaan anggota dan pengikut di seluruh dunia yang memiliki fikrah dan pemikiran yang sama dalam banyak hal, khususnya yang menjadi tabanni parti. Jadi, usaha mengharamkan dan memfitnah Hizbut Tahrir seumpama itu, merupakan fitnah kepada seluruh anggota dan pengikut Hizbut Tahrir, termasuklah kepada seluruh alim ulama yang menyokong perjuangan Hizbut Tahrir di seluruh dunia. Ini (fatwa tersebut) sesuatu yang tidak masuk akal, jelasnya.

“Atas sebab itu, kami menggesa agar fatwa ini ditarik balik dan menasihati Jabatan Mufti dan JAIS agar bertaubat dari kesalahan fitnah ini”, ujar Abdul Hakim. Kata Jurucakap HTM itu lagi, “Kalau kita tidak sependapat sekalipun, kita boleh berbincang, bermuzakarah, malah berdebat sekalipun, asalkan menurut lunas-lunas Islam dan hal ini merupakan penyelesaian yang baik dan sepatutnya berbanding memfitnah dalam bentuk fatwa dan disiarkan pula di media.”

“Kita umat Islam mempunyai banyak isu yang perlu ditangani bersama, baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia. Lihatlah bagaimana orang-orang kafir memperlakukan saudara-saudara kita di Palestin, Myanmar, Syria dan lain-lain, kalau kita asyik berbalah sesama sendiri, mengkafirkan sesama sendiri, menyesatkan orang itu dan orang ini, memfitnah dan sebagainya, hal ini selain bertentangan dengan ajaran Islam, ia sungguh memalukan dan melemahkan umat Islam itu sendiri.

Sebaik sahaja selesai menjawab soalan tetapi sidang media masih lagi belum ditutup, tiba-tiba premis HTM itu diserbu oleh sekumpulan anggota penguatkuasa JAIS dan mereka terus menahan Jurucakap serta 3 lagi anggota HTM serta merampas beberapa barang di premis tersebut. Kesemua mereka dibawa ke Kompleks Islam Daerah Hulu Langat untuk siasatan lanjut.