Persidangan OIC: Persidangan Khianat
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dilaporkan akan mengadakan mesyuarat tergempar secara maya pada 16 Mei 2021. Mesyuarat tersebut akan membincangkan tindakan keganasan oleh entiti Yahudi ke atas Palestin yang sedang berlangsung.
Semenjak dari penubuhan OIC pada tahun 1969, persidangan demi persidangan telah berlangsung bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan umat Islam seluruh dunia khususnya isu Palestin. Persidangan tergempar sering diadakan setiap kali Gaza diserang, namun masalah Palestin tidak pernah selesai. Kenapa? Kerana betapa besar pun persidangan, ia hanya menghasilkan resolusi kosong yang penuh pengkhianatan ke atas Tanah Yang Diberkati itu. Resolusi yang paling hebat yang boleh dikeluarkan oleh para pengkhianat yang bersidang ialah “kecaman” atas apa yang dilakukan oleh entiti Yahudi, tidak lebih dari itu!
Sedangkan setiap negara OIC mempunyai angkatan tentera dan persenjataan yang besar, jika mereka bergabung untuk menyerang entiti haram Yahudi tersebut. Namun, kita mengetahui bahawa mereka tidak akan berbuat demikian. Tentera hanya akan dilepaskan untuk berkhidmat di bawah panji dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di bawah telunjuk dan arahan badan kufur tersebut.
Dalam masa yang sama, negara seperti Arab Saudi sanggup mengerahkan tentera dan segala kekuatan ketenteraan mereka untuk menyerang saudara seIslam di Yemen. Senjata dan bom mereka yang hebat hanya ditujukan kepada saudara-saudara mereka, bukannya kepada musuh-musuh mereka. Manakala kebanyakan negara-negara OIC yang lain pula hanya akan melepaskan tentera dan mempamerkan segala kekuatan persenjataan mereka pada perbarisan hari kemerdekaan negara masing-masing.
Inilah wajah munafik dan pengkhianatan nyata oleh rejim-rejim yang ada di negara kaum Muslimin. Ramai dalam kalangan mereka yang tampil menjadi hero yang penuh retorik, yang mana Turki adalah rajanya, kononnya merekalah pemimpin yang paling membela Palestin. Sedangkan dalam masa yang sama, mereka terus menjalin hubungan diplomatik, hubungan dagang dan hubungan baik dengan entiti Yahudi laknatullah. Sungguh, betapa khianatnya para pemimpin ini, yang sudah tidak malu kepada Allah, Rasul-Nya dan kaum Mukminin.
Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya tidak ada akal yang waras yang tidak mengetahui bahawa satu-satunya solusi tuntas untuk masalah Palestin ialah dengan seruan jihad fi sabilillah. Malangnya, para pemimpin umat Islam hanya mahu bersidang dan bersidang dan terus bersidang tatkala nyawa dan darah umat Islam terus tertumpah di bumi Palestin, dengan harapan mereka dapat memperbodohkan umat Islam dengan apa yang mereka lakukan.
Lebih memburukkan keadaan, tidak ada seorang mufti pun yang berani mengeluarkan fatwa bahawa jihad wajib dilancarkan ke Palestin bagi menyelamatkan saudara seakidah kita dan sekaligus membebaskan Palestin dari cengkaman Yahudi. Apakah para mufti ini tidak pernah membaca ayat-ayat jihad dalam al-Quran, dan tidak pernah menjumpai hadis-hadis mengenai jihad? Apakah para mufti ini tidak pernah menjumpai hadis bahawa gugurnya setitik darah kaum Muslimin itu lebih ringan di sisi Allah berbanding robohnya Ka’bah?
Apakah para mufti ini merasakan yang dengan solat hajat, doa dan qunut nazilah sahaja sudah mencukupi untuk mengalahkan Yahudi dan membebaskan Masjid al-Aqsa? Apakah para mufti ini tidak pernah tahu bahawa Rasulullah (saw) berdoa dan dalam masa yang sama berjihad untuk mengalahkan musuh dan melakukan futuhat? Apakah para mufti ini tidak pernah membaca sejarah Sallahuddin al-Ayubi dan Muhammad al-Fatih yang membebaskan Palestin dan Konstantinople – apakah kedua mereka hanya berdoa dan bersolat hajat kepada Allah sahaja, tanpa melakukan jihad?
Wahai para penguasa umat Islam! Sesungguhnya kalian telah lama lena dengan pangkat, harta dan gaji yang besar sehingga panggilan jihad daripada saudara kalian di Palestin, tidak diendah sedikit pun oleh kalian. Kalian telah lama melutut di hadapan kuffar Barat dan melayani kehendak serta kepentingan badan kufur PBB. Kalian telah lama merantai tentera kalian, menipu dan memperbodohkan rakyat kalian dengan isu Palestin. Kalian telah lama mempertahankan sempadan assabiyyah yang telah diberikan oleh kuffar Barat kepada kalian. Kalian telah lama mengkhianati bumi yang diberkati (Palestin), mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan kaum Mukminin. Kalian lupa bahawa kalian tidak akan lama hidup di dunia ini, dan akan menghadap Dzat yang kalian khianati pada bila-bila masa sahaja. Selagi ada masa, bertaubatlah kalian!
Wahai para tentera umat Islam! Cukuplah alasan yang kalian berikan selama ini, khususnya bahawa kaki dan tangan kalian dirantai oleh para penguasa kalian. Tidakkah kalian tahu bahawa kalian mampu memutuskan rantai tersebut, dan ia adalah cukup mudah untuk kalian memutuskannya! Sedarlah bahawa tanpa menggerakkan kalian, sebaliknya melakukan persidangan demi persidangan, para penguasa kalian hakikatnya telah melakukan pengkhianatan yang cukup besar kepada Allah. Berpalinglah daripada mereka, dan bergeraklah menuju panggilan Allah (jihad), nescaya kalian akan memperoleh kemenangan dan kemuliaan baik di dunia mahupun di akhirat.
Hizbut Tahrir menyeru kalian untuk kalian menunaikan kewajipan kalian (jihad). Bergeraklah demi Allah dan Rasul-Nya. Bukankah itu (syahid) yang kalian cari apabila kalian telah memutuskan untuk menjadi tentera kaum Muslimin! Sesungguhnya apa yang kalian cari itu ada di Palestin sekarang ini. Bergeraklah, nescaya para malaikat Allah akan bergerak bersama kalian.
Di samping menyeru kalian, Hizbut Tahrir sebagai sebuah parti politik terus berjuang untuk menegakkan Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah, yang mana apabila Allah memberikan kemenangannya kepada Hizbut Tahrir, Hizbut Tahrir tidak akan bersidang untuk menyelesaikan masalah Palestin, sebaliknya akan terus menghantar tentera kaum Muslimin, yang kepalanya sudah sampai di Palestin, tetapi ekornya masih di Malaysia.