Pesta Tanglung : Acara Tahunan Sekular 1Malaysia

altPesta Tanglung 1Malaysia akan dijadikan acara tahunan

KUALA LUMPUR: Pesta Tanglung 1Malaysia Kuala Lumpur akan dijadikan acara tahunan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.  Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan RM250,000 kepada Kementerian Pelancongan untuk membantu badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menganjurkan pesta tersebut.  Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pesta Tanglung 1Malaysia Kuala Lumpur 2009 di Pasar Seni di sini pada malam Sabtu.  “Saya berharap acara ini akan dilihat sebagai satu lagi jambatan yang boleh memperkukuhkan konsep 1Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmian Pesta Tanglung 1Malaysia.   

Jelasnya, beliau mahu melihat lebih banyak produk pelancongan di Malaysia yang lain akan turut dikenali selepas ini.   “Kita menawarkan budaya,adat, kecantikan semula jadi dan hospitaliti kita yang mesra di mana Malaysia terkenal kerananya.  “Acara hari ini merupakan permulaan siri baru acara pelancongan,” katanya.   Najib berkata, festival itu juga boleh dijadikan sebagai warisan kepada negara serta menjadi kekuatan dan aset utama untuk melonjakkan negata ke peringkat yang lebih tinggi di masa hadapan.   “Festival ini dilihat sebagai satu lagi produk pelancongan kerana ia pasti dapat menarik lebih ramai pelancong,” katanya.   Pada majlis itu, Najib turut menyertai perarakan tanglung bermula dari Jalan Hang Kasturi, Jalan Sultan, Jalan Tun Tan Cheng Lok, Jalan Hang Lekir dan Jalan Petaling.  Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan.   Sambutan Pesta Tanglung tersebut berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat.   Perdana Menteri turut memotong kuih bulan berbentuk 1Malaysia seberat 80 kilogram selepas upacara perasmian berlangsung.   Majlis itu dianjurkan Kementerian Pelancongan melalui Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama 100 badan bukan kerajaan.   Kemeriahan pesta tanglung yang diadakan buat pertama kali itu itu diserikan dengan tanglung gergasi setinggi 3.05 meter berbentuk logo 1Malaysia yang dinyalakan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dengan tarian serta pukulan gendang pelbagai kaum.   Ng ketika berucap pada majlis itu berkata sambutan pesta tanglung itu merupakan tanda komitmen semangat perpaduan gagasan 1Malaysia yang ditunjukkan Perdana Menteri terhadap kaum Tionghua.   Beliau berkata pesta seperti itu mampu menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia.   Lima jalan di ibu negara, Jalan Hang Lekir, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Sultan, Jalan Hang Kasturi dan Jalan Petaling turut ditutup bagi membolehkan perarakan pesta tanglung berjalan lancar.   Tanglung dan kuih bulan merupakan perayaan tradisi bagi meraikan festival tahunan kuih bulan yang disambut pada 3 Oktober ini.

Sumber: mStar Online 26/09/09

Dalil 1Malaysia Digunapakai Untuk Kembali Kepada Fitrah Sekular

Baru seminggu umat Islam melaungkan takbir, tahmid, tahlil dan segala bentuk ucapan pengagungan kepada Allah SWT,tiba-tiba Najib menggunakan “dalil” 1Malaysia nya untuk sama-sama merayakan upacara Pesta Tanglung 1Malaysia Kuala Lumpur. Rupa-rupanya para pemimpin sekular in bukannya kembali kepada fitrah Islam tetapi sebaliknya mereka kembali kepada fitrah sekular.

Wahai Najib! Wahai umat Islam! Pesta Tanglung itu adalah satu bentuk hadharah yang terkait dengan akidah kufur dan tidak selayaknya kita sebagai seorang Muslim bersama merayakannya apatah lagi mempromosikannya. SubhanaAllah! Ketahuilah bahawa umat Islam hanya diperbolehkan untuk bekerjasama dan bergaul dengan umat agama lain dalam isu yang berhubungan dengan masalah keduniaan, itupun dengan syarat ianya dilakukan dalam aturan yang dibenarkan oleh syara’. Ini adala berdasarkan al-Quran surah al-Hujurat ayat 13:

“Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” [TMQ. al-Hujurat (49): 13)

Juga berdasar al-Quran surah Mumtahanah ayat 8:

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” [TMQ. Mumtahanah (60): 8).

Ketahuilah bahawa umat Islam tidak boleh mencampuradukkan aqidah dan peribadatan agamanya dengan aqidah dan peribadatan agama lain, berdasarkan firman Allah SWT :

“Katakanlah: “Hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah agamaku.” [TMQ. al-Kafirun (109): 1-6]

Juga berdasar al-Quran surah al-Baqarah ayat 42:

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.” [TMQ. al-Baqarah (2): 42].

Justeru itu, wahai umat Islam! Tuntutan wajibnya menegakkan Daulah Islam saat ini adalah sesuatu yang amat mendesak kerana dengan berdirinya Khilafah itu maka warganegara Islam mahupun yang bukan Islam akan diatur dengan peraturan Islam yang mulia.  Di dalam Daulah Islam inilah negara akan memperjelaskan kepada orang-orang kafir akan kedudukan mereka sebagai warganegara zimmi yang perlu terikat dengan peraturan negara. Islam tidak menghalang kafir zimmi untuk mengamalkan dan meraikan perayaan agama mereka dalam batasan yang dibenarkan oleh syara’. Berbeza dengan apa yang kita lihat hari ini, hanya dengan “dalil” 1Malaysia maka umat Islam kembali semula kepada fitrah sekular.

Wahai Najib kemuliaan kamu hanya akan terserlah apabila kamu kembali fitrah Islam!