Pilhan raya merupakan jalan yang kurang mudarat?

Persoalan 4

Boikot pilihanraya tidak seharusnya dilakukan walau pun kesemua calon yang ada adalah buruk. Ini kerana berdasarkan kaedah fiqh, kita wajib memilih yang kurang mudarat (akhafu dhararain) di antara calon-calon yang bertanding. Tambahan lagi, jika kita tidak mengambil jalan pilihan raya untuk menukar kerajaan, kita terpaksa mengambil jalan jihad yang jauh lebih mudarat.

Jawapan:

Keharaman pilihan raya dalam sistem demokrasi antaranya adalah terletak kepada calon. Calon mana pun, jika ia bertanding dengan tujuan untuk pergi ke parlimen atau DUN untuk membuat undang-undang, maka hukumnya adalah haram, kerana hak membuat hukum hanya terletak pada Allah (swt). Justeru, jika ada seorang calon yang baik akhlaknya, tidak pernah meninggalkan solat, selalu membantu orang, selalu bersedekah, malah jika ia seorang yang dikenali sebagai ulama sekali pun, sekiranya ia bertanding untuk tujuan tersebut, maka hukumnya tetap haram.

Berbeza jika calon tersebut telah dengan jelas menyatakan hasratnya untuk bertanding ialah untuk pergi ke parlimen/DUN untuk melakukan amar makruf nahi mungkar, dan beliau sama sekali tidak akan terlibat dalam pembuatan undang-undang atau lain-lain keharaman, maka calon seperti ini boleh dipilih. Persoalannya, wujudkah calon seperti ini?

Justeru, tidak timbul isu “memilih calon yang kurang mudarat dalam pilihan raya” jika calon-calon tersebut bertanding dengan tujuan untuk pergi ke parlimen/DUN untuk membuat undang-undang, kerana tujuan seperti ini adalah haram, yang sekali gus bermaksud mengundi mereka juga haram. Ini berdasarkan kaedah al-wasilatu ila al-haram haram (jalan menuju kepada yang haram adalah haram).

Kaedah akhafu dhararain (mengambil yang lebih ringan di antara dua kemudaratan) atau dikenali juga dengan kaedah ahwanu asy-syarrain (mengambil yang lebih ringan dari dua keburukan) untuk membenarkan pilihanraya dalam sistem demokrasi, ternyata berada di luar konteks. Ini kerana kaedah ini hanya terbatas pada keadaan di mana seseorang itu tidak dapat menghindari keharaman kecuali melakukan salah satu daripadanya, dan tidak mungkin pula untuk dia meninggalkan kedua-duanya secara bersamaan (tidak ada pilihan ketiga).

Dalam keadaan seseorang itu ada pilihan, maka dia wajib mengambil pilihan yang halal, bukannya sengaja memilih untuk melakukan yang haram. Dalam konteks mengundi dalam pilihan raya, seseorang itu masih mempunyai pilihan ketiga iaitu tidak pergi mengundi atau merosakkan undi, yang mana boleh mengelak dirinya daripada melakukan keharaman.

Kaedah ini tidak boleh dipakai untuk menghalalkan suatu yang haram. Sebagai contoh jika kita pergi ke rumah orang kafir, lalu dihidangkan arak dan babi untuk dimakan, kita tidak boleh menyatakan bahawa kita mesti memilih yang kurang mudarat di antara keduanya. Ini kerana terdapat pilihan ketiga iaitu untuk meninggalkan kedua-duanya.

Begitu juga kerajaan yang tidak boleh melaksanakan sistem cukai GST bagi menggantikan SST atas alasan akhafu dhararain atau alasan “lebih baik” untuk rakyat. Ini kerana semua bentuk cukai adalah haram, tidak kira GST, SST atau cukai-cukai lainnya. Kerajaan mempunyai pilihan (malah wajib) untuk tidak mengenakan cukai ke atas rakyat, kerana semua bentuk cukai adalah haram.

Sama sebagaimana kerajaan tidak boleh mendirikan pusat pelacuran atas alasan mengelakkan kemudaratan yang lebih besar seperti meningkatnya kes zina dan rogol dalam masyarakat. Kerajaan juga tidak boleh membina pusat judi atas alasan mengelakkan kemudaratan yang lebih besar seperti meningkatnya kes perjudian tidak berlesen di tengah-tengah masyarakat. Apa yang wajib dilakukan oleh kerajaan ialah meninggalkan atau menghapuskan segala yang haram, bukan sebaliknya melakukan keharaman atas alasan akhafu dhararain.

Dalam konteks sistem demokrasi dan pilihan raya, kerajaan juga sebenarnya mempunyai pilihan untuk mencampakkan sistem kufur demokrasi yang haram ini, dan menerapkan Islam secara kaffah. Jika Islam diterapkan, maka tidak ada lagi pilihan raya yang bertujuan menjadikan manusia sebagai Musyarri’ (pembuat hukum). Pilihan ini terbuka luas kepada kerajaan kerana kuasa ada di tangan mereka. Malangnya kerajaan memilih untuk melakukan keharaman dengan menerapkan sistem demokrasi dan mengambil hak Allah sebagai Musyarri’.

Manakala hujah yang menyatakan bahawa kita mesti mengambil jalan pilihan raya untuk menukar kerajaan kerana jika tidak, kita terpaksa mengambil jalan jihad yang lebih besar mudaratnya, hujah ini juga ternyata sangat jauh dari kebenaran dan diambil di luar konteks. Ini kerana:

  • Kenapa dihadkan kepada dua jalan sahaja (pilihan raya dan jihad), sedangkan terdapat banyak lagi jalan lain untuk menukar kerajaan? Malah kita wajib mengambil jalan yang syarie sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw), yang bukannya pilihan raya, dan bukan juga jihad [Sila rujuk Persoalan 3].
  • Membandingkan antara pilihan raya dan jihad merupakan sebuah kesalahan fatal, kerana jihad bermaksud memerangi orang-orang kafir yang merupakan musuh Islam dengan tujuan meninggikan kalimah Allah. Jihad sama sekali tidak boleh (haram) dilakukan di negara kaum Muslimin untuk memerangi sesama Muslim. Jadi, cubaan untuk mengaitkan jihad dengan menukar kerajaan di negara kaum Muslimin merupakan perbincangan yang out of context, di samping haram jika dilakukan.
  • Jika jihad (dalam konteksnya yang sebenar) dilakukan yakni memerangi orang-orang kafir musuh Allah, maka tidak ada kemudaratannya sedikit pun di dalamnya, kerana jihad merupakan puncak kepada ibadah yang mana pahalanya sangat besar, dan siapa sahaja yang mati tatkala jihad di jalan Allah, akan dimasukkan oleh Allah ke syurga-Nya tanpa hisab.

Realitinya, pilihan raya dalam sistem demokrasi-lah yang telah membawa banyak kemudaratan kepada umat Islam. Dalam pilihan raya-lah berlakunya fitnah-memfitnah, caci-maki, hasad dengki, permusuhan, persengketaan, hilangnya ukhuwwah, penipuan, penyelewengan kuasa, pembaziran yang sangat besar, perpecahan dan lain-lain keharaman yang semua ini merupakan kemudaratan ke atas umat Islam.

Justeru, memboikot pilihan raya itulah yang sebenarnya lebih banyak mendatangkan kebaikan kepada umat Islam. Namun, tidak seharusnya terhenti setakat boikot, tetapi wajib berusaha untuk menegakkan Islam dengan jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).