Pindaan Akta Sewa Beli: Adil di Mata Manusia, Haram Di Sisi Syarak

Pindaan terhadap Akta Sewa Beli yang telah diwartakan pada 30 Januari 2026 lalu akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2026 – lebih awal daripada tempoh peralihan (grace period) yang disasarkan sewaktu rang undang-undang ini dibentangkan di Parlimen. Pindaan tersebut antara lain memansuhkan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan Peraturan 78 yang dilihat tidak adil khasnya kepada peminjam yang menyelesaikan pinjaman lebih awal.
Di bawah kaedah lama, sebahagian besar bayaran ansuran awal digunakan untuk membayar faedah (baca: riba) dan sebahagian kecil sahaja digunakan untuk bayaran prinsipal. Kaedah ini menyebabkan peminjam yang membuat bayaran awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi.
Manakala pindaan yang dibuat telah memperkenal kaedah pengurangan baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate) bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap. Dengan kata lain, riba dikira berdasarkan baki pinjaman semasa dan ini dilihat lebih telus dan adil kepada peminjam yang membayar pinjaman lebih awal.
Ramai yang menyambut baik pindaan akta tersebut dan melihatnya sebagai langkah di landasan yang benar ke arah reformasi kewangan dan mewujudkan ekosistem kredit yang telus serta berintegriti. Namun hakikatnya, kaedah lama mahupun baru, kedua-duanya tetap menjerumus peminjam kepada kancah keharaman kerana adanya unsur riba. Tiada istilah adil dalam keharaman dan kemaksiatan.
Keharaman riba termasuk dalam kategori al-ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah (hukum yang diketahui umum dan tidak ada uzur untuk tidak mengetahuinya) berdasarkan nas-nas qathie. Sedangkan keadilan tidak akan sama sekali dapat tercapai dalam kemaksiatan.
Firman Allah (swt),
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَذَرُوا۟ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓا۟ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ * فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ فَأْذَنُوا۟ بِحَرْبٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu…” [Al-Baqarah (2): 278-279]
Inilah satu-satunya dosa yang diancam dengan pengisytiharan perang oleh Allah dan Rasul-Nya. Menganggap riba itu adil hanya kerana jumlahnya dikurangkan melalui penyelesaian awal adalah satu penyesatan yang sangat berbahaya. Islam tidak melihat kepada berapa banyak faedah (riba) yang dikenakan, tetapi Islam melihat kepada hakikat riba itu sendiri. Rasulullah (saw) melaknat bukan sahaja pemakan riba, malah pemberi, penulis, dan dua orang saksinya, seraya bersabda: “Mereka itu semuanya sama (dalam dosa)” [HR Muslim].
Dalam sistem sekular demokrasi-kapitalis hari ini, riba bukan sahaja telah ‘dijenamakan’ sebagai ‘faedah’ atau ‘bunga’, bahkan dibenarkan untuk diamalkan secara berleluasa, malah dipantau pengaturannya oleh negara. Sedangkan Islam telah pun hadir dengan aturan yang menyejahterakan, namun malang sekali hukumnya tidak didaulatkan. Dampak penerapan sistem kufur yang bercanggah dengan syariat ini begitu jelas sehingga manusia dihimpit kesengsaraan dan kesempitan hidup di bawah sistem yang rosak ini. Benarlah firman-Nya,
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةًۭ ضَنكًۭا
“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit…” [Taha (20): 124].
Kesempitan hidup yang kita rasakan sekarang, daripada beban ekonomi yang menghimpit hingga kepada ketidakadilan hukum yang nyata, adalah natijah akibat ditinggalkannya aturan Ilahi. Demikianlah apabila keharaman telah dinormalisasi dan dihalalkan oleh negara.