PM turun padang tapi kos hidup tetap tak turun, kenapa agaknya?
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan tinjauan rasmi ke pasar MyFarm Outlet Kasih di Presint 7, Putrajaya pada Khamis 17 Mac lalu. Najib yang tiba pada pukul 6 petang meluangkan masa hampir sejam beramah mesra dengan pengunjung serta 29 usahawan di pasar berkenaan. Beliau turut membeli barangan berupa dua ekor ayam kampung dan madu.
Dalam perkembangan berkaitan Najib berkata, sepuluh MyFarm Outlet akan dibuka menjelang November tahun ini di seluruh negara dalam usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti yang diumumkan beliau dalam Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari lalu, menurut laporan akhbar tempatan pada Jumaat 18 Mac lepas.
Sama ada realiti atau lakonan, itulah yang dilakukan oleh PM Malaysia yang turun padang dalam usaha menyelami kehidupan masyarakat dan “menyelesaikan” persoalan kos sara hidup rakyat. Reaksi segera dari media berkenaan tinjauan ini ialah pemimpin negara berpuas hati dengan harga barangan yang berpatutan dan mampu milik oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini.
Semua laporan umumnya menggambarkan yang PM berpuas hati dengan kehidupan rakyat yang sejahtera di bawah pemerintahannya. Ya, itulah peranan PM dan media di bawahnya yakni melaporkan segala yang baik tentang PM dan apa yang PM lakukan, walaupun realiti adalah sebaliknya.
Hakikatnya kini ekonomi negara dalam keadaan muram dan perkara ini telah berlanjutan agak lama. Keadaan ekonomi negara dan rakyat memburuk setelah kerajaan dengan zalimnya melaksanakan GST yang menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan mencanak naik dan kos sara hidup masyarakat juga turut naik bersamanya. Nilai mata wang negara menyusut teruk walau dibandingkan dengan Baht Thailand sekali pun, satu keadaan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
Harga minyak yang turun, malah lebih murah berbanding sebotol air mineral 1 liter, langsung tidak memberi kesan terhadap harga barangan dan perkhidmatan mutakhir ini, sedangkan sewaktu harga minyak naik, boleh dikatakan hampir kesemua barangan dan perkhidmatan turut naik.
Memang tidak ada istilah harga siling dalam Islam, kerana harga barangan dan perkhidmatan diserahkan kepada pasaran. Namun, tatkala kos sara hidup meningkat sehingga menjejaskan kestabilan ekonomi rakyat, pemerintah wajib melakukan sesuatu bagi mengembalikan kestabilan dan bukannya menambahkan penderitaan rakyat dengan pengenaan pelbagai bentuk cukai atau menaikkan segala kemudahan yang wajib disediakan kerajaan secara percuma seperti elektrik, air, yuran pendidikan dan sebagainya.
Kesalahan dan birokrasi dalam pengagihan zakat, sistem ribawi yang dipraktikkan dalam ekonomi, penyalahgunaan dana rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan dan banyak lagi penyelewengan lainnya yang dilakukan oleh pemerintah, semua ini menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat. Pendek kata, kenaikan kos sara hidup rakyat adalah terkait rapat dengan sistem ekonomi yang diterapkan yakni Kapitalisme dan ketamakan pemerintah yang hanya tahu menghisap darah rakyat!
Justeru, berapa kerap sekalipun pemerintah “turun padang” kononnya untuk menyelami masalah rakyat, realitinya tidak pernah dan tidak akan pernah menyelesaikan masalah rakyat kerana siapa pun yang melihat sudah pasti boleh membaca niat turunnya pemimpin ke padang, apatah lagi apabila “diiringi” oleh ribuan wartawan dan jurugambar!