PM umum 11 berita gembira

 

KUALA LUMPUR 11 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 11 berita gembira untuk rakyat Malaysia sempena 100 hari pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri. 11 perkara tersebut ialah:-

  1. Kadar tol diberi diskaun 20 peratus untuk pengguna yang berulang alik ke tempat kerja menggunakan lebuh raya bertol. 
  2. 44,000 rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan akan dijual kepada penyewanya.
  3. Diskaun 50 peratus untuk pembaharuan lesen peniaga kecil di Wilayah Persekutuan.
  4. Lesen untuk pemandu teksi, 7,000 permit teksi individu dan 3,000 lagi akan diluluskan dalam tempoh tiga bulan akan datang
  5. Langkah drastik kurangkan jenayah dan perangi rasuah.
  6. Pendaftaran kelahiran dipermudahkan terutama di Sabah dan Sarawak.
  7. 7. 34,000 permohonan kewarganegaraan 46 peratus selesai dan bakinya hujung tahun ini
  8. Kemudahan jalan dipertingkatkan di Sabah dan Sarawak.
  9. Bekalan air Sabah dan Sarawak diperluaskan.
  10. Amanah Saham 1Malaysia dengan 10 bilion unit ditawarkan.
  11. Peruntukan untuk Tekun ditambah RM150 juta dan RM15 juta untuk usahawan muda kaum India
 
Rakyat Akan Gembira? Redha Dan Murka Allah SWT Pula Bagaimana?

Apakah hebat dan menariknya 11 perkara yang dijanjikan oleh PM kepada rakyat sempena 100 hari pemerintahan beliau hari ini?  Hakikatnya tidak ada yang istimewa bahkan ianya adalah seperti gula-gula racun yang dibalut dengan pembalut yang dihias dengan gula-gula madu. Manis di luar racun di dalam. Yang pastinya Najib sebagai seorang pemimpin muslim masih tetap menerapkan sistem kufur Kapitalisme dan terus membakul sampahkan sistem Islam sebagaimana PM-PM yang terdahulu. Sedangkan adalah menjadi kewajiban baginya sebagai seorang muslim yang berkuasa dan yang memegang kekuasaan untuk menerapkan Islam di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara, untuk menjalankan hukum Allah.

Lihatlah sahaja, kutipan tol masih terus dikenakan kepada pengguna lebuhraya sedangkan pihak PLUS dan yang seangkatan dengannya telah menghisap dan mengaut keuntungan berbillion-billion ringit dari poket rakyat. Bagi Islam, isunya bukan menurunkan mahupun memberikan diskaun kepada bayaran tol meskipun sehingga 99 peratus namun isunya di sini adalah kutipan tol itu sendiri yang jelas haram. Ya, Najib boleh menjanjikan untuk mengurangkan jenayah dan rasuah secara drastik. Semua orang boleh memberikan janji yang sama hatta petani yang membanting tulang empat keratnya juga boleh menjanjikan perkara yang sama seperti apa yang diperkatakan oleh Najib. Persoalannya ialah dengan sistem dan kaedah apakah yang akan digunakan oleh Najib untuk menyelesaikan jenayah dan rasuah yang semakin membarah itu? Apakah masih dengan sistem kufur Kapitalisme sedangkan telah terbukti sistem ini telah gagal menyelesaikan persoalan kehidupan manusia?  Buktinya,  perlembagaan yang dihadiahkan oleh Britain kepada negara kita hari ini masih terus digunapakai dan sistem kufur inilah juga yang terus dilaksanakan oleh Najib di sepanjang 100 hari pemerintahannya. Dengan sistem ini, Eropah mencatatkan kadar jenayah tertinggi iaitu 2 kes setiap  minit dan ini membuktikan kepada kita bahawa sistem ciptaan manusia ini adalah sistem yang telah dan akan terus gagal untuk menjaga kehidupan dan keselamatan manusia.

Najib boleh menyenaraikan 1001 satu macam janji atau apa sahaja berita yang dikatakan berita gembira buat rakyat tetapi selagi beliau tidak menerapkan Islam maka  yakinlah bahawa Allah SWT yang memberikan sedikit kuasa sebagai ujian baginya tidak akan redha dengan apa yang dilakukannya sehinggalah beliau menerapkan Islam secara keseluruhannya. Peringatan kepada Najib sempena 100 hari pemerintahannya :

“dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir” . [TMQ Al Maa-idah (5) :44].

“dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. [TMQ Al Maa-idah (5) :45].

“dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”. [TMQ Al Maa-idah (5) :47].

Cukuplah peringatan ini kepada beliau yang wajib menerapkan sistem Islam di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Tidak cukup hanya sekadar rakyat sahaja yang ingin digembirakan oleh Najib tanpa beliau memperhatikan keredhaan dan kemurkaan Allah SWT.