Politik demokrasi sememangnya menatijahkan rasisme dan perpecahan
Sistem demokrasi akan melahirkan ketidakstabilan yang berpanjangan di mana sahaja ia diamalkan. Malahan keadaan ini semakin parah apabila mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi itu, didiami oleh pelbagai bangsa dan setiap bangsa dibenarkan mendirikan parti atas dasar bangsa masing-masing. Keadaan di Malaysia hari ini menjadi suatu bukti yang cukup nyata untuk membenarkan hakikat ini.
Sejak merdeka pada tahun 1957 dari tangan British, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi, sesuai dengan ajaran yang ditinggalkan oleh penjajah kuffar itu. Sistem Westminsters yang diamalkan oleh British yang terdiri dari House of Lords dan House of Commons dijadikan acuan untuk negara ini. Maka terhasillah sistem Parlimen yang juga mempunyai dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Perlembagaan yang digubal di bawah autoriti dan pengawasan Suruhanjaya Reid menjadi undang-undang tertinggi negara mengatasi ketinggian Al-Quran dan Al-Sunnah. Apa sahaja undang-undang Islam tidak boleh diterapkan sekiranya bertentangan dengan Perlembagaan. Malah jika tidak bertentangan dengan Perlembagaan sekalipun, undang-undang Islam tersebut memerlukan kelulusan majoriti ahli Parlimen (termasuk ahli Parlimen non-Muslim) sebelum boleh diterapkan.
Perlembagaan Malaysia menetapkan yang pilihan raya umum hendaklah dijalankan dalam tempoh maksimum 5 tahun sekali. Perlembagaan juga menetapkan yang Perdana Menteri, selaku orang yang paling berkuasa di Malaysia, hendaklah merupakan orang yang memegang keyakinan majoriti ahli Parlimen. Justeru, hampir mustahil untuk mana-mana individu yang tidak mewakili parti politik untuk menjadi Perdana Menteri.
Atas dasar untuk meraih kekuasaan melalui jalan pilihan raya dan hukum majoriti, maka wujudlah parti-parti politik yang menawarkan calon-calon mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang diadakan. Semakin ramai calon yang mereka letakkan, maka semakin cerahlah peluang mereka untuk ke jinjang kekuasaan, bergantung kepada kekuatan parti masing-masing dari segi diterima oleh rakyat atau tidak.
Dalam negara yang berbilang bangsa seperti Malaysia, bukanlah suatu yang mudah untuk menyatukan penduduk ke dalam sesebuah parti politik. Jadi, cara termudah ialah dengan membentuk parti yang berasaskan bangsa dan menjadikan bangsa sebagai teras perjuangan. Logiknya, perjuangan bangsa akan mempersatukan bangsa tersebut yang sekaligus akan meramaikan ahli dan menguatkan parti.
Kerana itulah, parti yang ditubuhkan atas dasar bangsa, apatah lagi jika bangsa tersebut merupakan majoriti dan parti tersebut lebih awal ditubuhkan berbanding parti lain, maka parti ini menjadi lebih kuat berbanding parti-parti lain. Bagi memastikan parti seperti ini terus relevan dan diterima oleh ahli-ahlinya, maka sentimen dan perjuangan bangsa hendaklah sentiasa dimainkan dan diapi-apikan. Jika tidak, kekuatan parti akan semakin melemah, apatah lagi apabila ramai ahli semakin sedar bahawa mereka sebenarnya hanya “ditipu” oleh pimpinan parti yang sebenarnya memperjuangkan agenda peribadi, bukannya perjuangan bangsa.
Atas dasar itulah, kita dapat saksikan di Malaysia dalam setiap kali pilihan raya, isu perkauman sentiasa dimainkan. Bahkan isu perkauman boleh dikatakan sebagai suatu yang tidak boleh dielakkan dan menjadi senjata utama dalam kempen pilihan raya. Sering kali isu perkauman dijadikan modal untuk menakut-nakutkan pengundi agar tidak mengundi pihak lawan. Bahkan sentimen kebencian atas dasar perkauman sering kali kedengaran dalam banyak pilihan raya.
Dalam masa yang sama, kita dapat saksikan juga bagaimana dua buah parti yang berbeza nama, tetapi berasaskan bangsa yang sama, mendakwa bahawa merekalah kononnya pembela nasib bangsa mereka yang lebih baik daripada parti satu lagi. Masing-masing cuba menonjolkan diri sebagai hero pembela bangsa dan menghentam parti lawan walaupun daripada bangsa yang sama. Semua isu ini dimainkan dalam rangka meraih undi untuk membolehkan mereka menang dan menuju kekuasaan.
Hakikat dari rasisme yang wujud dalam politik ini, menyebabkan timbulnya persepsi bahawa ‘politik’ menjadi punca kepada rasisme. Sekali imbas, memang ada kebenarannya, tetapi apabila diperhalusi, ternyata “politik” yang menjadi punca kepada rasisme ialah “politik demokrasi”. Perlu difahami bahawa politik dalam sistem demokrasi berbeza sama sekali dengan politik dalam sistem Islam. Ada pun politik yang mendominasi percaturan di Malaysia sekarang adalah politik demokrasi dan bukannya politik Islam. Sistem demokrasi itu sendiri merupakan suatu sistem kufur yang pastinya mengandungi pelbagai keburukan dan kerosakan.
Sesungguhnya kewujudan pelbagai parti politik yang berasaskan bangsa seperti di Malaysia adalah suatu yang diharamkan oleh Islam. Politik menurut Islam sama sekali tidak mengizinkan keberadaan kelompok ataupun parti yang berasaskan bangsa atau yang menyeru kepada perjuangan bangsa/perkauman.
Sistem pemerintahan Islam hanya akan membenarkan parti politik yang berasaskan Islam sahaja untuk wujud di dalam Negara Islam (Khilafah). Hal ini kerana asas berdirinya sebuah parti politik dalam Islam adalah berdasarkan “izin” yang diberikan oleh Allah SWT, yang fungsi dan tugasnya hanya boleh dipikul oleh parti Islam sahaja, bukan yang lain;
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat (jamaah) yang menyeru kepada kebajikan (Islam) dan menyuruh berbuat makruf (kebaikan) serta melarang daripada kemungkaran (buruk dan keji). Dan merekalah orang-orang yang beruntung” [TMQ Ali Imran (3):104].
Manakala dalam sudut pemerintahan, Islam tidak membenarkan urusan pemerintahan dipegang oleh orang-orang kafir. Tetapi dalam masa yang sama, Islam tidak menafikan kedudukan non-Muslim sebagai warga negara. Islam telah memperuntukkan hak-hak dan tanggungjawab yang jelas untuk non-Muslim (zimmi) dalam negara.
Justeru, dalam sistem pemerintahan dan politik Islam, tidak ada tempat untuk munculnya rasisme kerana apa sahaja unsur ke arah rasisme yang haram itu, sudah dibendung lebih awal kewujudannya. Rasulullah SAW telah menunjukkan bagaimana politik yang diasaskan kepada akidah Islam yang diamalkan dalam Daulah Islam di Madinah, telah berjaya menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin dan memupuk keharmonian antara warganya yang berbilang bangsa dan agama.
Wallahu a’lam.