Politik Wang Akan Hancurkan UMNO dan Negara

Politik wang akan hancurkan UMNO dan negara – Rafidah

KUANTAN 22 Mac – “Sekiranya kita undi orang berdasarkan berapa habuan yang kita dapat, akan hancurlah parti, hancurlah negara kerana UMNO itu tulang belakang BN dan BN adalah kerajaan yang mentadbir negara.”
Demikian kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung politik wang dalam UMNO. Malah katanya, amalan tidak bermoral itu yang berleluasa dalam UMNO akan hanya menjauhkan generasi muda daripada parti itu yang akhirnya akan merugikan UMNO.

“Anak-anak muda akan mengambil sikap berkecuali padahal kita boleh menggunakan kebijaksanaan dan kemahiran mereka. Tetapi kerana tidak mampu untuk membayar dalam pertandingan, mereka tidak mendapat tempat dan yang ruginya adalah kita sendiri.

“Saya adalah Ahli Majlis tertinggi (MT) yang akhir dari zaman Tun Abdul Razak. Maknanya saya lihat perjalanan budaya dalam politik kita sangat menyedihkan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dan memperkenalkan calon-calon Exco Wanita UMNO dengan Perwakilan Wanita Pahang di Dewan Kediaman Menteri Besar Pahang hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Rafidah berkata demikian ketika diminta mengulas gejala politik wang dalam UMNO dan keputusan Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan kepada beberapa pemimpin menjelang pemilihan, termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam
.
Beliau turut meminta ahli UMNO menghormati dan mematuhi keputusan Lembaga Disiplin parti yang bertindak mengenakan tindakan berdasarkan tatacara sedia ada.

Menurutnya, gejala politik wang termasuk dalam pergerakan Wanita UMNO akan hanya menghancurkan UMNO yang menjadi tulang belakang parti Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan.

“Jadi, lama kelamaan kalau politik wang menjadi budaya di negara ini, maka masa depan pemimpin Melayu akan pudar. Kita akan hanya dapat pemimpin yang kaya raya kerana ada duit dan ditaja oleh orang tertentu kerana hendakkan sesuatu,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia, 23 Mac 2009

ULASAN

Memang ada kebenarannya kata ketua pergerakan wanita UMNO ini. Semua ini adalah berpunca dari kesalahan mereka sejak awal lagi kerana menjadikan parti sebagai sarana untuk mencari pengaruh dan kekayaan. Inilah realiti kapitalis, mereka akan menggunakan apa sahaja saluran demi untuk mencapai keinginan dan cita-cita mereka untuk kepentingan perut mereka dan kroni-kroni yang membela dan menyokong mereka selama ini. Kesalahan mereka adalah tidak menjadikan keikhlasan dan matlamat yang jelas sebagai visi yang mesti diperjuangkan, menjadikan visi ini sebagai isu hidup atau mati. Jika visi ini tidak tercapai lebih baik mati dalam keadaan yang mulia dan jika visi ini dapat dicapai, berusaha lagi untuk menyebarkan visi ini keseluruh alam supaya seluruh alam menjadi aman dan selamat seterusnya mendapat Rahmat dan Ridha Ilahi.

Persoalannya apakah  visi itu? Adakah ”Ashobiyyah Melayu” atau ”Ideologi Islam” ?? Jika  visi yang pertama diambil sebagai asas perjuangan  maka memang layaklah parti dan negara akan terkubur tidak lama lagi dan memang selayaknya ia dikuburkan hidup-hidup kerana visi dan perjuangan ini akan mengakibatkan rakyat dan negara menjadi huru hara dan berpecah belah lalu akhirnya merana dan dipandang hina. Sebaliknya, jika visi yang kedua dijadikan asas perjuangan sesebuah parti dan gerakan, maka rakyat dan negara PASTI  menjadi mulia, bersatu padu dan dihormati serta akan terus berkembang dan menjadi negara super power dalam masa yang cukup pendek. Firman Allah yang bermaksud, ”dan kamulah yang paling tinggi jika sekiranya kamu benar-benar beriman.”

”Dan berpegang teguhlah kamu semua akan tali Allah (alQuran) dan jangan pula kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu yang mana suatu masa dulu kamu saling bermusuhan maka Allah telah menjinakkan hati-hati kamu dan kamu menjadi bersaudara dengan nikmatnya itu……” .

Jadi pilihan di tangan kita dan kita akan dipersoalkan kelak di atas pilihan tersebut. Oleh itu jangan salah pilih!