Presiden Pakistan tidak anggap India ancaman Pakistan
Asif juga mendedahkan bahawa Islamabad mempunyai “persefahaman” dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung serangan peluru berpandu AS ke atas kedudukan Al-Qaeda dan Taliban di kawasan kabilah Pakistan.
Pandangan Asif mengenai India dilihat bertentangan dengan pendirian tentera Pakistan, yang menganggap negara jirannya itu yang memiliki senjata nuklear sebagai ancaman berterusan sejak kewujudan kedua-dua negara selepas kemerdekaan pada 1947.
“India tidak pernah menjadi ancaman kepada Pakistan,” kata Asif dalam wawancara dengan akhbar Wall Street Journal (WSJ) semalam.
Menurut WSJ, Asif menyifatkan kumpulan pejuang Islam yang beroperasi di Kashmir India sebagai “pengganas”.
Seorang pegawai kanan India menyambut baik kenyataan Asif itu.
“Presiden Asif dan Pakistan patut mengotakan kata-kata itu dengan membendung keganasan,” kata Menteri Negara bagi Hal-Ehwal Luar, Anand Sharma.
Sharma berkata, kenyataan Asif yang mengecap pejuang militan Kashmir sebagai “pengganas” adalah yang pertama dibuat oleh seorang pemimpin tinggi Pakistan.
Kenyataan itu berlawanan dengan pendirian Pakistan sebelum ini yang menyifatkan pejuang Islam Kashmir sebagai mujahidin. – AFP
Sumber: Utusan Malaysia 06/10/08
Ulasan:
Duda bekas Perdana Menteri Pakistan ini memang telah dikenali ramai sebagai orang yang penuh dengan korupsi dan pecah amanah. Tidak cukup dengan gelaran Mr. 10% yang telah diraihnya sebelum ini, kini dia mula mengukir gelaran baru sebagai Mr. Yes Boss kepada tuannya iaitu Amerika dan mula melancarkan perang saraf ke atas kelompok Islam yang ikhlas berjuang menegakkan hak mereka di Kashmir.
Memang benarlah pepatah politik Kapitalis golongan sekularis sering menyatakan ”my enemy’s enemy is my friend” (musuh kepada musuh saya ialah sahabat saya). Itulah yang berlaku dengan kenyataan yang terbaru Presiden Pakistan ini bahawa mujahideen di Kashmir dan utara Pakistan merupakan golongan pengganas. Ini kerana, musuh kepada ”pengganas” ini ialah Amerika dan semestinya Amerika merupakan sahabat (dan Tuan) si Asif Ali ini. Mungkin ini merupakan salah satu tanda terima kasihnya kepada tuannya iaitu Amerika atas sokongan dan restu yang telah diberikan kepadanya sehingga dia berjaya mencapai misinya iaitu jawatan Presiden Pakistan dan menghumban kambing hitam yang sebelum ini ke dalam bakul sampah.
Semestinya umat Islam di Pakistan dan seluruh dunia amnya akan terus di dominasi pihak kuffar, selagi mana agen- agen kuffar seperti Zardari ini menguasai kaum Muslimin dan sistem Islam tidak diterapkan sepenuhnya ke atas mereka. Sekiranya umat Islam dipimpin oleh seorang Khalifah yang ikhlas berkhidmat untuk Islam dan menegakkan deen Allah ini, pastinya umat Islam akan berada dalam keadaan sebaik- baik umat dan mengatasi musuh- musuh Islam.