PRN Melaka: Peratusan mengundi merosot, apa petanda baiknya?

Pilihan raya negeri (PRN) Melaka telah pun berakhir dengan keputusan memihak kepada BN. Parti gabungan UMNO, MCA dan MIC itu memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, dengan UMNO membolot 18 kerusi, MCA 2 kerusi dan MIC satu kerusi.

Pakatan Harapan (PH) menang 5 kerusi, 4 daripadanya ialah DAP dan 1 Amanah. Perikatan Nasional (PN) pula hanya menang 2 kerusi, kedua-duanya Bersatu, manakala PAS dan Gerakan gagal memenangi mana-mana kerusi.

Pelbagai mesej dan tafsiran yang boleh diberikan dengan kemenangan besar BN dalam PRN Melaka ini. Namun hakikat yang perlu diperhitungkan ialah peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu sebanyak 65.85% sahaja, sebagaimana yang diumumkan oleh Pengerusi SPR.

Hal ini sebenarnya merupakan satu “tamparan” kepada calon dan parti-parti yang bertanding secara khusus, dan kepada seluruh ahli politik dalam demokrasi secara umum.

Mengulas peratus keluar mengundi yang rendah, Ustaz Abdul Hakim Othman dalam rancangan Live malam tadi “PRN Melaka: Satu Penilaian” berkata, ia merupakan satu mesej daripada rakyat kepada kesemua calon dan parti yang bertanding bahawa ramai dalam kalangan rakyat sudah meluat dan bosan dengan situasi politik yang melanda negara dan negeri Melaka.

Live tersebut diadakan sempena penutup kempen #BoikotPRNMelaka yang dilancarkan oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) sejak 8 November.

Ditanya mengenai apakah peratusan keluar mengundi yang rendah tersebut merupakan kejayaan kempen yang dijalankan oleh HTM, Ustaz Umar Hussein yang menjadi panel bersama, menjelaskan bahawa apa yang penting ialah kesedaran yang kita timbulkan melalui kempen ini, tanpa menafikan kemungkinan akan kejayaan kempen telah sedikit sebanyak menurunkan peratusan mengundi dalam PRN Melaka tersebut.

Kedua-dua panel bersetuju bahawa rendahnya peratusan keluar mengundi menunjukkan satu petanda baik bahawa penduduk Melaka telah semakin sedar akan hakikat pilihan raya yang tidak akan merubah apa-apa, malah terdapat kemungkinan yang keadaan menjadi lebih buruk akibat ketamakan kuasa seperti sebelum-sebelum ini.

Dalam mesej penutupnya sempena kempen ini, Umar mengharapkan yang umat Islam semakin sedar bahawa punca utama kerosakan yang berlaku sekarang ialah sistem demokrasi itu sendiri, sebagai sebuah sistem kufur yang datangnya dari Barat, dan direka oleh Barat bagi memastikan umat Islam tidak akan kembali menerapkan Islam.

Manakala Abdul Hakim mengingatkan kepada penduduk Melaka secara khusus dan umat Islam secara umumnya bahawa setiap undi yang kita berikan kepada siapa sahaja atau parti mana pun akan pasti dipersoalkan oleh Allah (swt) di akhirat. Justeru setiap Muslim seharusnya melihat setiap tindakannya sama ada berkesesuaian dengan hukum syarak atau tidak.

Setiap dari kita sudah pasti menginginkan perubahan pada setiap kali pilihan raya, dan perubahan yang hakiki itu ialah apabila sistem dan undang-undang sekular ini berubah kepada sistem dan undang-undang Islam. Persoalannya, apakah perubahan hakiki tersebut berlaku melalui pilihanraya, soal Jurucakap HTM itu.

Atas dasar itu, HTM menyeru seluruh kaum Muslimin agar berusaha untuk menegakkan Khilafah, yang dengan tegaknya Negara Islam ini sahajalah perubahan hakikat akan dapat direalisasikan.