Wanita dibenar mengundi: wajarkah Arab Saudi diberi pujian?

muslimah-undiSejak runtuhnya Khilafah pada tahun 1924, Arab Saudi mengamalkan sistem pemerintahan monarki mutlak yang sudah lari jauh dari Islam. Malah beberapa tahun sebelum kejatuhan Khilafah, usaha-usaha ke arah pemerintahan beraja itu telah pun dijalankan oleh beberapa orang pemimpin pengkhianat Arab yang memberontak terhadap Khilafah Uthmaniyyah dengan bantuan kuffar British, kerana termakan dengan janji bohong British untuk menjadikan mereka raja.

Namun demikian, niat dan agenda busuk mereka akhirnya berjaya juga dengan bantuan British setelah runtuhnya Khilafah di tangan pengkhianat Turki. Sejak itu, Arab Saudi tidak lagi mengenal dan mengamal sistem pemerintahan Islam dengan raja mengambil alih kekuaasaan secara mutlak dari satu generasi ke satu generasi, yang tidak ubahnya dengan pemerintahan diktator. Tiada parti politik dan tiada pilihanraya, itulah realiti pemerintahan monarki mutlak di negara yang kaya dengan minyak itu.

Selama itu juga, kedudukan wanita sangat terkongkong sehingga seolah-olah kaum hawa itu langsung tidak mempunyai hak dalam semua aspek, kecuali hak untuk bernafas sahaja.

Kini, setelah lebih 90 tahun, raja Saudi cuba membuka sedikit pintu untuk warga wanitanya terlibat dalam hal membuat pilihan. Buat pertama kalinya, wanita dibenarkan menjadi calon dan mengundi untuk kerusi majlis perbandaran di Arab Saudi dan sekali gus mencatat sejarah di negara iitu apabila tiga calon wanita memenangi kerusi yang dipertandingkan.

Walaupun ia hanya pilihan raya kecil bagi memilih perwakilan di majlis perbandaran, namun bagi banyak pihak, ia merupakan satu peristiwa yang sungguh besar dan penting, sehingga ramai yang memuji kerajaan Arab Saudi dengan perubahan baru ini. Pujian turut datang dari gerakan Islam yang memperjuangkan demokrasi kerana langkah Saudi ini dilihat telah memberi ruang kepada wanita untuk terlibat dalam politik di samping telah mengangkat martabat kaum Hawa itu.

Inilah kecelaruan berfikir yang ada pada sebahagian umat Islam dan gerakan Islam. Ini kerana, apa yang dilakukan oleh raja Saudi itu sungguh jauh panggang dari api. Apa yang kerajaan Arab Saudi perlu lakukan ialah mengembalikan semula sistem pemerintahan Islam (Khilafah) yang telah dirampasnya lebih kurang 100 tahun yang lalu, bukan hanya memberi hak kepada wanita untuk mengundi!

Sistem Khilafah bukanlah sistem beraja atau monarki mutlak sebagaimana yang diamalkan oleh Arab Saudi. Sistem Khilafah ialah sebuah sistem Islam yang mana Khalifah (ketua negara) adalah dipilih oleh umat berdasarkan baiah yang dilakukan secara sukarela dan hak memilih. Ia langsung tidak sama dengan sistem putera mahkota atau monarki yang menjadikan keturunan Saudi sebagai pemerintah mutlak negara Arab itu untuk selama-lamanya!

Justeru, langkah kerajaan Saudi memberi ruang selubang jarum untuk kaum wanita menjadi calon dan mengundi dalam pilihan raya majlis tempatan bukanlah satu langkah yang wajar dipuji, jauh sekali untuk dikatakan bahawa langkah tersebut telah mengangkat martabat kaum wanita.

Sesungguhnya Allah SWT mengutus Rasulullah SAW dengan Islam di waktu kaum wanita diperlakukan seperti haiwan oleh masyarakat Jahiliyah dan Rasulullah SAW telah mengangkat martabat wanita sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Martabat dan kemuliaan wanita ini dijaga pula oleh para Khulafa’ Rasyidin dan para Khalifah setelahnya sehingga lebih 1300 tahun lamanya. Setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924, raja Saudi-lah yang telah mengembalikan semula wanita ke zaman Jahiliiyah sehingga kaum Hawa itu langsung tidak dibenarkan bersuara.

Justeru, sedikit hak yang diberi kepada kaum wanita melalui pilihan raya majlis tempatan itu tiidak lebih daripada memberi sebiji gula-gula kepada kanak-kanak yang sedang meronta kelaparan.