Pro Komunis VS Pro Sekular Kapitalisme. Kedua-duanya Batil
KUALA LUMPUR 25 Nov. – Chin Peng tidak layak dijadikan idola oleh sesiapa pun kerana selain dosa kekejaman yang tidak terampun, bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu diyakini masih tegar menjunjung fahaman komunisme. Sebaliknya Chin Peng perlu dilayan seperti penjenayah perang Nazi yang terus diburu dan dihadap ke mahkamah perang antarabangsa apabila berjaya ditangkap. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihak yang menjadikan Chin Peng sebagai idola perlu menyorot sejarah keganasan komunis membunuh ramai anggota keselamatan termasuk bekas Ketua Polis Perak dan ribuan lagi yang cacat anggota. Selain itu, jelasnya, nyawa orang awam juga menjadi korban angkara keganasan PKM selain banyak wang negara dibazirkan untuk menghalang keganasan mereka.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran memaafkan pemimpin komunis itu kerana rekod keganasan PKM lalu dan pendirian Chin Peng sekarang meyakinkan beliau bahawa dia masih berfahaman komunis. “Saya berani kata demikian (Chin Peng masih berfahaman komunisme) setelah membaca buku tulisan pengasas Rejimen Ke-10 PKM, Abdullah C.D, yang tidak menyesal dengan perjuangan komunis, malah menganggap perjuangan bersenjata sebagai perjuangan kemerdekaan. “Pada saya dia tetap berpendirian bahawa fahaman komunis adalah betul. Saya yakin Chin Peng mempunyai pandangan sama dan tidak membuang fahaman komunisnya,” katanya dalam blognya, puadzarkashii.blogspot.com. Mohd. Puad mengulas kenyataan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran yang memuji dan seolah-olah menggambarkan Chin Peng sebagai ‘idolanya’ dengan berkata, musuh negara itu mempunyai tahap intelektual sangat tinggi dan seorang tokoh berfikiran jauh. Wakil rakyat DAP itu berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 dan Usul Anggaran Pembangunan 2010 Peringkat Jawatankuasa pada Sidang Dewan Rakyat, Khamis lalu. Malah, Kulasegaran yang mendakwa menemui Chin Peng sebulan lalu memberitahu Dewan Rakyat bahawa sejak kecil beliau meminati pemimpin PKM itu kerana pernah bersekolah dan lahir di pekan sama iaitu Sitiawan, Perak. Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata, bukan sukar untuk mentafsir sikap wakil rakyat DAP itu yang sebenarnya ingin meraih ‘dividen’ politik agar dilihat sebagai hero masyarakat India.
“Mengetahui gelagat Kulasegaran, saya tidak perlu mengulas sama ada dia ikhlas apabila menyatakan Chin Peng ‘idolanya’ sebab itulah politik beliau. “Dia harap mereka yang bersimpati dengan Chin Peng menyokong DAP. Dengan kata lain, sama ada penjenayah, pengganas komunis atau apa saja, kalau ada ‘dividen’ politik, beliau akan mempolitikkannya. “Tetapi apakah sebenarnya pendirian Kulasegaran jika salah seorang anggota keluarganya dibunuh PKM. Adakah Chin Peng tetap ‘idolanya’? Melihat gelagat DAP, saya tidak hairan beliau sanggup mempertahankan pendiriannya itu,” jelasnya. Sambil mempersoalkan tindakan Kulasegaran, Mohd. Puad berkata, PKM berjuang bukan menuntut kemerdekaan sebaliknya menjadikan Malaysia negara komunis yang hanya akan menjadi boneka kepada Republik China . Ini kerana, dakwanya, dari segi latihan ketenteraan, persenjataan serta bantuan logistik semuanya diperoleh dari China, selain Chin Peng dan beberapa bekas pemimpin kanan PKM seperti Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh pernah tinggal untuk tempoh yang lama di Beijing.
Sumber: Utusan Malaysia 26/11/09
Pro Komunis VS Pro Sekular Kapitalisme. Kedua-duanya Batil
Isu Chin Peng kembali panas apabila ianya sekali lagi menjadi bahan perdebatan di antara Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran dengan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi apabila Ahli Parlimen DAP itu memuji dan seolah-olah menggambarkan Chin Peng sebagai ‘idolanya’ dengan berkata, musuh negara itu mempunyai tahap intelektual sangat tinggi dan merupakan seorang tokoh berfikiran jauh ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 dan Usul Anggaran Pembangunan 2010 Peringkat Jawatankuasa pada Sidang Dewan Rakyat, Khamis lalu. Kenyataan beliau itu telah disanggah oleh Puad dalam laman blognya.
Jika kita perhatikan persoalan yang timbul dalam isu ini, ianya berkaitan dengan kecenderungan politik yang berbeza antara kedua-dua ahli politik tersebut. Umum mengetahui bahawa DAP adalah sebuah parti politik yang cenderung kepada ideologi sosialisme. Oleh itu, tidak hairanlah wakil DAP itu memuji Chin Peng. Kelantangan ahli DAP tersebut dalam memperjuangkan idea ini selaras dengan sosialisme sebagai itu saingan Kapitalisme sebelum berakhirnya hayat ideologi sosialisme/komunisme pada awal tahun 1990-an. Komunisme melihat bahawa kapitalisme adalah ideologi yang gagal membawa kesejahteraan kepada dunia dan merupakan punca kerosakan yang mengsengsarakan dunia walaupun hakikatnya kedua-dua ideologi ini adalah ideologi ciptaan manusia yang batil.
Apa yang kita perlu kita perhatikan di sini ialah respon Puad Zarkashi terhadap kenyataan Kulasegaran. Responnya tidak lebih sekadar ingin mempertahankan sistem yang diterapkan oleh pemerintah hari ini yang masih menjadi pengikut dan pengekor kepada ideologi Kapaitalisme yang sudah berakar umbi semenjak penjajahan kuffar Barat British dari dulu lagi. Jika Puad mengatakan bahawa perjuangan PKM adalah bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara komunis yang akan menjadi boneka kepada Republik China, apa kurangnya dengan peranan parti–parti sekular ashobiyyah yang secara sedar mahupun tidak telah dipergunakan oleh British untuk menjadi kaki dan tangan kepada mereka untuk membantu membawa ideologi kapitalisme dan menanamkannya di dunia umat Islam termasuklah Malaysia. Kalau PKM membunuh rakyat Malaysia semasa mereka berjuang untuk membawa ideologi mereka dahulu maka apakah British yang pernah menjajah Malaysia tidak pernah membunuh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam yang menentang mereka? Amat malang apabila seorang Islam tidak memahami sejarah dan percaturan dan pertembungan politik antara komunisme dan kapitalisme di mana akhirnya umat Islam juga yang menjadi mangsa.