Projek Memburuk-burukan Negara Islam Berterusan
Begitulah komentar portal berita Malaysian Insider (MI) susulan tersebarnya klip pembunuhan James Foley, seorang wartawan warga AS. Pembunuh James Foley mendakwa bahawa ia mewakili negara Islam hasil daripada pengisytiharan oleh ketua ISIS, Abu Bakar al-Baghdadi di mana dia telah dibai’ah menjadi Amirul Mukminin oleh puak militan ISIS.
Sejak daripada itu, media-media barat dilihat seakan-akan telah mengiktiraf ‘Negara Islam’ yang dibentuk oleh ISIS. Beberapa siri kekejaman yang dilakukan oleh ‘Negara Islam’ ISIS itu sentiasa mendapat tempat dan liputan dalam pelbagai media barat. ‘Negara Islam’ ini digambarkan sebagai sebuah entiti yang bersifat kejam terhadap mana-mana pihak minoriti yang tidak seiring dengan fahaman kelompok mereka.
Segala siri kekejaman yang dilakukan oleh ‘Negara Islam’ ISIS sebelum ini tidak begitu mendapat perhatian daripada mana-mana pemimpin umat Islam, sehinggalah terjadinya pembunuhan seorang warga Amerika yang bernama James Foley. Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) menyatakan bahawa tindakan ISIS itu sebagai sesuatu yang amat memalukan umat Islam. SBY menegaskan bahawa Indonesia bukanlah sebagai sebuah negara Islam, sebaliknya ia adalah negara ketuhanan yang menghormati semua agama. Veteran politik yang masih lantang bersuara di Malaysia, Tun Dr Mahathir juga tidak ketinggalan untuk mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh kelompok ISIS.
Uniknya ISIS berbanding kelompok-kelompok militan yang lain, walaupun mereka hanyalah sekadar suatu kumpulan organisasi militan, tetapi setiap tindakan yang terpesong yang mereka lakukan telah dijadikan sebagai manifestasi sebagai sebuah ‘Negara Islam’ dan tindakan ini diterima dan diiktiraf oleh barat. Walhal, ia tidak pernah wujud sebagai sebuah negara pun.
Aspirasi untuk mewujudkan negara Islam sentiasa wujud dalam jiwa setiap umat Islam. Syariah Islam dilihat sebagai satu-satunya sistem yang terbaik berbanding sistem demokrasi yang sudah terbukti lebih banyak mendatangkan masalah dan kemudaratan berbanding sebagai penyelesaian dalam kehidupan. Ramai para pemimpin umat Islam sedar tentang perkara ini dan mereka tidak berani untuk memperlekehkan aspirasi umat Islam ini, tetapi mereka akan sentiasa cuba untuk mengalihkan pandangan umat agar tidak berjuang ke arah tersebut.
Walaubagaimanapun, karenah buruk kumpulan ISIS ini telah dan sedang digunakan sehabis-habisnya oleh media-media barat untuk menggambarkan bahawa ‘Negara Islam’ itu jauh lebih buruk dan zalim berbanding negara yang bersistemkan demokrasi. Pemimpin-pemimpin umat Islam yang sebelum ini sentiasa menahan diri mereka daripada memperlekeh aspirasi Negara Islam dan sistemnya kini telah memperoleh justifikasi yang kukuh untuk meluahkan kebencian yang terpendam dalam hati mereka terhadap aspirasi mulia umat Islam yang hendakkan sebuah negara Islam.
Apakah ISIS = Negara Islam?
ISIS hanyalah sebuah kumpulan organisasi militan dan mereka sekali-kali tidak mewakili sebuah entiti negara dalam apapun jua bentuk. Berdasarkan hukum syarak, bai’ah yang diberikan kepada Abu Bakar al-Baghdadi tidak menjadikannya sebagai seorang Amirul Mukminin. Justeru, tindakannya dan juga kumpulannya tidak mewakili umat Islam sebagai sebuah negara.
Bai’ah merupakan kaedah yang syar’ie dalam proses pengangkatan seorang Khalifah. Bai’ah merupakan akad antara dua pihak iaitu calon Khalifah dan juga umat Islam, di mana umat mewakilkan pengaturan urusan mereka kepada Khalifah yang dilantik untuk menerapkan hukum syarak di tengah-tengah umat dan sebagai balasannya umat Islam wajib untuk mentaatinya dengan sepenuh ketaatan. Bai’ah perlu berlaku dalam keadaan rela hati oleh kedua-dua belah pihak.
Sebaliknya, Abu Bakar al-Baghdadi hanya dibai’ah oleh kumpulan-kumpulan militan tertentu yang memasuki ke wilayah Tikrit dan tiada bai’ah yang diambil daripada seluruh penduduk yang mendiami wilayah Tikrit. Malah, ramai penduduk Tikrit yang telah lari keluar dari wilayah Tikrit kerana penolakan mereka terhadap kumpulan militan ISIS.
Secara hakikatnya, apa jua jenis negara yang ingin ditegakkan akan menemui kegagalan jika sekiranya sesuatu ideologi itu dipaksakan ke atas rakyat tanpa sebarang pemahaman. Begitu juga dengan ideologi Islam. Pemikiran Islam perlu diterima oleh rakyat dan pandangan umum (public opinion) yang Islami perlu menjadi dominan dalam kehidupan mereka. Hukum-hakam Islam perlu menjadi satu-satunya rujukan dan kayu ukur dalam penilaian hidup mereka dan mereka menerimanya dengan sepenuh hati. Bertitik tolak dari sinilah negara Islam itu dapat dibentuk.
Perkara-perkara yang disebutkan ini tidak dilakukan oleh ISIS. Pemikiran dan perasaan umat masih tidak berubah dan dalam keadaan sebegitu, ISIS kemudiannya telah memaksa agar pandangan salah mereka dan tindakan keji mereka dapat diterima oleh warga Tikrit khususnya serta umat Islam umumnya. Kesilapan ini akhirnya telah memalitkan imej buruk yang sangat dahsyat terhadap aspirasi negara Islam yang diidam-idamkan bagi mereka yang masih kabur melihat realitinya. Wallahua’lam.