Protes ‘Yawmul Ghadap’ Meledak Di Mesir

yawmul-ghadabProtes ‘yawmul ghadap’ meledak di Mesir

KAHERAH: Polis rusuhan Mesir menembak peluru getah ke arah penunjuk perasaan yang menjanjikan ‘yawmul ghadab’ atau hari kemarahan di seluruh negara itu semalam bagi menuntut presiden Hosni Mubarak meletak jawatan selepas 30 tahun memerintah.
Ada laporan menyatakan penunjuk perasaan sudah sampai dekat Istana Presiden.Penunjuk perasaan berhimpun di beberapa kawasan di seluruh negara termasuk di sebuah kejiranan berhampiran istana presiden di Kaherah, memaksa polis menembak gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan mereka.

Puluhan ribu tunjuk perasaan yang mula berhimpun dan berarak selepas solat Jumaat membawa poster anti Mubarak sambil melaung ‘Undur, undur Hosni Mubarak.’

Kumpulan Vodafone berkata semua pengendali telefon selular di Mesir diarah menggantung perkhidmatan masing-masing di kawasan tertentu, bertujuan membendung penganjur bantahan daripada menghimpunkan penunjuk perasaan.

Bekas ketua agensi tenaga atom Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei, yang juga penerima anugerah keamanan Nobel yang turut menuntut Mubarak meletak jawatan, dihalang keluar dari sebuah masjid di kawasan Giza di Kaherah bagi memimpin kira-kira 2,000 jemaah untuk mengadakan tunjuk perasaan.
Jemaah itu dikepung polis ketika mengadakan solat Jumaat di sebuah medan di luar masjid di Giza itu.

“Rakyat mahu rejim Mubarak berkubur,” penunjuk perasaan didengar melaung selepas solat.

“Berambus, berambus Mubarak. Mubarak, pesawat menanti anda,” laung mereka lagi merujuk kepada bekas Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali yang terpaksa melarikan diri ke Arab Saudi pada 14 Januari lalu berikutan bantahan besar-besaran rakyat yang berterusan hingga hari ini.

Malah, bantahan di Tunisia menyaksikan protes meletus di negara Arab lain termasuk Algeria, Jordan dan Yaman. Di Jordan, tunjuk perasaan ketiga pada hari Jumaat berlangsung.

Rakyat Mesir mengadakan tunjuk perasaan sejak Selasa lalu dan lebih 1,000 sudah ditahan polis.

Ahli Ikhwanul Muslimim – kumpulan pembangkang yang diharamkan – turut ditahan polis selepas mengeluarkan kenyataan menyokong tunjuk perasaan itu.

Penunjuk perasaan yang rata-ratanya golongan muda mahu pemerintahan kuku besi Mubarak berakhir bagi menyelesaikan masalah pengangguran, inflasi dan rasuah.

Rungutan yang sama mengenai rasuah dan kemiskinan kedengaran di kalangan penunjuk perasaan di negara serantau Algeria dan Yaman yang turut mendapat inspirasi daripada revolusi di Tunisia yang menyaksikan berakhirnya pemerintahan kuku besi Ben Ali selama 23 tahun.

“Hanya tuhan yang tahu apa akan berlaku hari ini. Selepas Tunisia, apa saja boleh berlaku,” kata seorang penunjuk perasaan.

Selain perkhidmatan telefon selular, perkhidmatan internet melalui pelayan Mesir turut disekat di seluruh negara sejak malam kelmarin.

Laman web sosial Facebook sebelum ini digunakan oleh penganjur tunjuk perasaan untuk mengumumkan lokasi dan masa bantahan.– Reuters

Sumber: Berita Harian 29/01/11

Sistem Pemerintahan Perlu Ditukar Juga

Presiden Hosni Mubarak mengambil alih kekuasaan setelah Anwar Sadat terbunuh pada tahun 1981. Hakikatnya, tidak kiralah  samada Gamal Nasser,  Sadat mahupun  Mubarak yang menjadi pemimpin, ia tidak memberi erti kepada umat Islam sekiranya hanya pemimpin sahaja yang bertukar ganti tetapi sistem pemerintahannya tetap sama – masih berhukum dengan undang-undang buatan manusia yang begitu jelas telah mengakibatkan kerugian besar kepada umat Islam secara keseluruhannya.

Apa yang sedang berlalu di Tunisia dan Mesir sekarang boleh sahaja menjadi sama seperti yang berlaku di Pakistan satu ketika dulu apabila Pervez Musharraf merampas kuasa daripada Nawaz Sharif. Penuh dengan janji manis, Musharraf kemudiannya berhadapan dengan kemarahan rakyat Pakistan dan diganti oleh Zardari. Apa yang berlaku di Mesir adalah mirip kepada apa yang telah berlaku di Pakistan, di mana kemarahan rakyatnya terhadap para pemimpin akan mengakibatkan pemimpin terpaksa melepaskan jawatan dan digantikan dengan pemimpin baru namun sistem pemerintahan yang sama tetap berjalan.

Sekiranya umat Islam mahu memperbaiki kehidupan mereka, adalah tidak memadai sekiranya mereka hanya mengarahkan kemarahan mereka terhadap pemimpin yang berkuasa. Umat Islam juga haruslah mengarahkan kemarahan dan ketidakredhaan mereka terhadap sistem pemerintahan yang telah mengakibatkan kerugian kepada kaum Muslimin di seluruh negeri umat Islam. Sistem pemerintahan di seluruh dunia Islam haruslah ditukar kepada sistem yang menjalankan hukum Islam dan mengembalikan kehidupan Islam kepada umat Islam keseluruhannya.

Wa Allahu A’lam.