Pulau Batu Putih: Dengan berhukum kepada hukum kufur, umat Islam akan kehilangan

Isu Batu Putih: Johor akan iktiraf keputusan ICJ

JOHOR BAHRU 13 Mei – Kerajaan Johor dan rakyatnya bersedia mengiktiraf apa jua keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tuntutan bertindih antara Malaysia dan Singapura ke atas Pulau Batu Putih pada 23 Mei ini. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, walaupun isu tuntutan tersebut amat dekat di hati rakyat negeri ini namun tidak timbul soal tidak boleh menerima keputusan itu jika ia tidak menyebelahi Malaysia. “Apabila kedua-dua negara memilih ICJ sebagai tempat rujukan maka setiap keputusan akan diterima oleh kerajaan negeri dan rakyatnya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Bersama antara Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dengan Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan MSC Cyberport Sdn. Bhd. di Menara MSC Cyberport di sini hari ini. Mahkamah tersebut dijangka mengeluarkan keputusan tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge di antara Malaysia dan Singapura pada 23 Mei ini. Keputusan tersebut akan menamatkan pertikaian berhubung tuntutan pulau tersebut setelah enam bulan pendengaran lisan dikemukakan oleh pasukan kedua-dua negara di The Hague, Belanda sejak tahun lalu.

Abdul Ghani memberitahu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dijadual menghadap Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail pada Khamis ini bagi menjelaskan isu-isu berkaitan tuntutan tersebut sebelum keputusannya diperoleh 23 Mei ini. Beliau berkata, kerajaan negeri yang diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Abdul Latiff Yusof dan pegawai-pegawai daripada pejabat tanah negeri akan berlepas ke Belanda bagi mendengar keputusan itu. Kedua-dua negara berjiran tersebut mengemukakan tuntutan terhadap kedaulatan pulau kecil yang menjadi rebutan sejak 1980 kepada ICJ pada Februari 2003. Pendengaran lisan terhadap tuntutan itu bermula pada 6 November lalu dan kedua-dua negara berikrar untuk mematuhi keputusan ICJ.

Pasukan Malaysia dan Singapura yang terdiri daripada peguam dan diplomat melakukan pendengaran lisan berhubung tuntutan berkenaan di Belanda dari 6 hingga 23 November tahun lalu. Isu tuntutan bertindih ke atas pulau itu timbul apabila Singapura mula mempertikaikan kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Putih pada 1980, 25 tahun selepas berpisah dengan Malaysia. Wisma Putra telah berusaha menyelesaikan pertikaian itu sejak lebih sedekad lalu dengan perbincangan dua hala yang pertama diadakan pada 1993 dan kedua pada 1994. Kedua-dua perbincangan itu bagaimanapun tidak berjaya menyelesaikan pertikaian tersebut. Sehubungan itu, satu perjanjian khas telah ditandatangani pada 6 Februari 2003 oleh kedua-dua negara untuk membawa isu tersebut ke ICJ bagi menyelesaikan pertikaian mengenainya. Dengan termeterainya perjanjian itu, keputusan berhubung kedaulatan pulau tersebut serta dua lagi pulau batu berhampirannya akan ditentukan oleh mahkamah berkenaan. – Utusan

Sumber: Utusan Malaysia

Ulasan:

15 Mei 1948 merupakan satu lagi sejarah hitam umat Islam. Tidak cukup dengan keruntuhan Khilafah pada 1924, umat Islam telah kehilangan tanah suci mereka yang ketiga iaitu Baitul Muqaddis dengan berdirinya negara haram Zionis Yahudi pada tarikh tersebut. Minggu ini entiti Yahudi menyambut ulang tahun ke 60nya sementara umat Islam Palestin mengenang peristiwa pengusiran mereka dari tanah mereka sendiri sebagai suatu ’Nakba’ (malapetaka besar).

Melalui perancangan Deklarasi Balfour dan tipu muslihat, Inggeris telah mempergunakan orang orang Arab untuk memerangi Daulah Uthmaniyyah dan ‘membalas’ jasa mereka dengan mendirikan negara Yahudi Zionis di atas tanah kaum Muslimin. Palestin yang berada di bawah jajahan British (British mandate) sebelum tahun 1948, telah diserahkan kepada kaum Yahudi untuk mendirikan sebuah negara Yahudi Zionis di tengah-tengah tanah kaum Muslimin. Akibatnya terjadi kebanjiran penduduk Yahudi dari Eropah Timur ke tanah kaum Muslimin di Palestin, setelah kekalahan negara-negara Arab di tangan Yahudi pada tahun 1948. Presiden Amerika Syarikat (AS), Truman tanpa berlengah mengiktiraf kewujudan “Israel” sebagai negara yang sah. PBB pula telah menerima masuk “Israel” ke dalam pertubuhannya. Sejak dari detik itu, maka bermulalah hubungan akrab di antara AS dan “Israel”. Dengan masuknya entiti Yahudi ke dalam pertubuhan tersebut, maka sahlah PBB tidak memandang “Israel” sebagai sebuah negara yang haram.

Kini, umat Islam terpaksa berdepan dengan satu lagi cabaran, iaitu isu Pulau Batu Putih di selatan Johor, yang menjadi rebutan di antara Malaysia dan Singapura. Walau apapun keputusan mahkamah antarabangsa di The Hague tentang isu Pulau Batu Putih tersebut, hakikatnya, umat Islam tidaklah perlu lagi mengharapkan pengadilan kaum kuffar dan hukum-hukum kufur ke atas perkara yang melibatkan kepentingan umat Islam.

Di Johor, diberitakan bahawa umat Islam di masjid-masjid dan surau-surau telah diseru agar menunaikan solat hajat supaya pengadilan Mahkamah Antarabangsa itu memihak kepada Malaysia. Kenapakah kita masih mengharapkan undang-undang kufur yang dicipta oleh kaum kuffar, yang sudah jelas selama ini hanya menzalimi umat Islam, agar menyebelahi kita? Kenapakah umat Islam di Johor tidak diseru supaya menunaikan solat hajat agar Khilafah berdiri semula untuk membela nasib umat Islam yang telah lama tertindas oleh hukum-hukum kufur?

Masih ingatkah kita kepada peristiwa di Srebrenica tahun 1995, di mana 8,000 nyawa umat Islam melayang apabila tentera pengaman PBB membenarkan tentera Serbia memasuki Srebrenica yang kononnya diisytiharkan sebagai zon keselamatan oleh tentera pengaman PBB? Akibat dari menyerahkan pengadilan kepada kaum kuffar dan hukum-hukum kufur, telah banyak kezaliman dan kerosakan telah berlaku. Bilakah masanya kaum Muslimin akan bangkit dari bius hukum-hukum kufur ini dan bergerak untuk mendirikan semula Khilafah yang kan membela umat Islam?