Q&A: Sidang Kemuncak Presiden antara Amerika Syarikat dan Korea Utara

Soalan:

Satu sidang kemuncak presiden telah diadakan antara kedua-dua presiden Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara, Trump dan Kim pada 12/6/2018 di Singapura. Mereka telah menandatangani dokumen bersama pada akhir sidang kemuncak itu. Perjanjian itu telah berlaku begitu cepat, dengan menyedari ketegangan antara kedua belah pihak telah sampai kemuncaknya pada tahun lepas apabila masing-masing mengancam untuk menyerang satu sama lain dengan senjata nuklear. Persoalannya, bagaimanakah perjanjian ini boleh terjadi begitu pantas?  Apakah isi kandungan dan keputusan perjanjian tersebut?


Jawapan:

Untuk memahami kebenaran perkara tersebut, kita perlu mengkaji beberapa perkara seperti berikut:

1- AS telah mencuba berulang kali dengan meningkatkan ancaman untuk memaksa Korea Utara bersetuju melucutkan senjata nuklearnya, namun ancaman ini tidak berhasil. Korea Utara tidak menyerah serta tidak mahu memberhentikan program dan senjata nuklearnya. AS kemudiannya terpaksa menggunakan kaedah lain, termasuk kaedah politik dan diplomatik serta tekanan ekonomi. Salah satu kaedah tersebut ialah usaha AS untuk memaksa China memberikan tekanan terhadap Korea Utara. Kami telah menyebut tentang hal ini dalam soal-jawab bertarikh 23/4/2017: “Disebabkan hal tersebut, AS tidak bersedia untuk berperang di Korea Utara sekarang, dan tidak mempunyai penyelesaian lain yang sesuai. AS sedang menunggu China memberikan tekanan terhadap Korea Utara. AS berusaha mempercepatkan proses tersebut seolah-olah mengugut China agar wajib berpihak kepada AS dan terlibat dalam usaha menekan Pyonyang supaya melucutkan senjata nuklear mereka. Amerika mengumumkan melalui Penolong Setiausaha Negara Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Susan Thornton, yang menyatakan bahawa AS ingin menyelesaikan masalah ini dengan Korea Utara melalui perlucutan senjata nuklear secara damai di Semenanjung Korea (Russia Today, 17/4/2017). Maka bermulalah hubungan diplomatik antara kedua-dua belah pihak melalui perantaraan dan tekanan China. Tekanan telah dilakukan melalui sekatan ekonomi dan embargo politik dengan cara untuk mengisolasi Korea Utara diperingkat antarabangsa dan meningkatkan propaganda terhadapnya sebagai langkah memaksa mereka agar tunduk dan bersedia untuk melucutkan senjata nuklearnya. Hal itu ditambah dengan godaan janji-janji ekonomi yang berkembang pesat secara langsung dan melalui Korea Selatan yang telah mula mendekati Korea Utara secara terbuka di peringkat antarabangsa.

2- Hubungan diplomatik secara rahsia mula dilakukan menerusi China, apabila bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Tillerson telah berhubung dengan Korea Utara melalui China pada bulan Julai 2017. Tillerson menunjukkan penentangannya terhadap pendekatan melulu Trump yang mahu mengancam untuk menghapuskan Korea Utara daripada muka bumi, sementara pada masa yang sama Tillerson secara rahsia bercakap dengan Korea Utara di China! Apabila orang Korea Utara mendengar ancaman-ancaman Trump, mereka meninggalkan perbicaraan serta keluar dari China untuk pulang ke Korea Utara. Tillerson kemudiannya menjadi marah dan menyifatkan Presidennya sebagai seorang yang bodoh pada 20/7/2017 sepertimana yang didedahkan di saluran NBC Amerika pada 4/10/2017 ketika  memetik hal itu daripada tiga pegawai AS. Trump menulis di halaman tweetnya di Twitter sehari selepas Tillerson mengumumkan bahawa Amerika mempunyai saluran komunikasi langsung dengan Korea Utara: “Saya memberitahu Rex Tillerson, Setiausaha Negara kita yang hebat, bahawa dia sedang membazirkan masanya untuk berunding dengan ‘little roketman’”. 

Perkara yang sama turut berlaku, iaitu penggunaan ancaman semasa perbincangan ketika Naib Presiden AS, Mike Pence yang cuba bertemu dengan Korea Utara di Korea Selatan semasa kunjungannya ke sana dengan alasan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk. Dia telah bersedia akan hal itu sepertimana dalam ucapannya pada 7/2/2018, di hadapan pasukan tentera negaranya yang ada di pangkalan udara Yokota, Jepun. Pence menyatakan bahawa “negaranya akan sentiasa berusaha mencari pendamaian dan kami akan bekerja lebih dari masa sebelumnya untuk masa depan yang lebih baik…” (Reuters, 7/2/2018). Pence berkata demikian ketika sedang bersiap sedia untuk berlepas ke Korea Selatan dalam usaha untuk bertemu dengan pegawai-pegawai Korea Utara atas nama menghadiri pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeong Chang, kira-kira 80 km dari sempadan Korea Utara.

Namun tiga hari kemudian pada 10/2/2018, Pence berkata: “Ia merupakan satu keperluan untuk terus mengasingkan Korea Utara secara ekonomi dan diplomatic sehingga mereka meninggalkan program nuklear dan peluru berpandu balistiknya (Al Arabiya, 10/2/2018).

Ini mendorong Korea Utara untuk membatalkan pertemuan dengan Pence. Semua ini menunjukkan bahawa kaedah politik Amerika yang diambil oleh Trump adalah dengan menggunakan ancaman untuk menekan lawannya semasa perbincangan dan hubungan diplomatik. Ini dilakukan supaya lawannya tunduk kepada apa yang diinginkan oleh Amerika. Hal ini disahkan oleh Mike Pompeo semasa memegang jawatan sebagai ketua CIA: “Presiden Trump ingin menumpukan perhatian kepada penyelesaian diplomatik terhadap krisis dengan Korea Utara, namun pada masa yang sama, CIA menyediakan pelbagai pilihan lainnya kepada Presiden Trump untuk mencapai hasratnya,” (Reuters, 23/1/2018). Dengan demikian, AS menggabungkan penyelesaian diplomatic dengan pilihan lain yang menunjukkan ancaman. Nampaknya kaedah ini, iaitu membuat ancaman semasa persidangan diplomatik tidak menggembirakan Tillerson kerana memalukannya sebagai Setiausaha Negara, lalu Trump memecatnya…

3- Begitulah apa yang terjadi, dan kaedah ini tidak berfungsi dengan Korea Utara. Mereka akan menghentikan rundingan sekiranya terdapat sebarang ancaman. Dengan demikian, jika China tidak campur tangan, sidang kemuncak itu tidak akan diadakan, Inilah sebabnya mengapa Trump sejurus selepas sidang kemuncak bersama Kim, dalam sidang akhbarnya di Singapura, “Dia mengucapkan terima kasih kepada Presiden China Xi Jinping, atas usahanya dalam beberapa bulan ini untuk memudahkan urusan sidang kemuncak bersejarah ini(AFP, 12/6/2018). China telah memberi tekanan ke atas Korea Utara untuk membuat konsesi. Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan pada 28 Mac, bahawa “Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un telah membuat lawatan tidak rasmi ke China dari Ahad (25/3/2018) hingga Rabu (28/3/2018). Mereka berdua (Xi Jinping dan Kim Jong-un) telah membincangkan secara menyeluruh keadaan dunia dan juga Semenanjung Korea. Presiden China Xi Jinping rakan sejawatannya dari Korea Utara itu bahawa China berkomitmen dengan tujuan pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea dan ingin menjamin wujudnya keamanan dan kestabilan, serta penyelesaian masalah melalui dialog dan rundingan”.

Sementara itu, Pejabat berita Korea Utara melaporkan bahawa “pemimpinnya, Kim Jong-un melawat China untuk mengucapkan tahniah secara peribadi kepada Xi Jinping sempena pemilihan semula beliau sebagai Presiden China sejajar dengan tradisi mesra antara kedua negara…” dan “dia menyatakan harapannya agar lawatan pertamanya ke China ini akan menyumbang kepada penubuhan keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea, lalu mengumumkan kesediaannya untuk mengadakan dialog dengan AS dan Korea Selatan serta mengadakan pertemuan dengan pemimpin mereka”. Kim Jong-un turut menambah “pelucutan senjata nuklear di Korea mungkin berlaku sekiranya Washington dan Seoul mengambil tindakan bersama dan bersatu untuk mencapai keamanan”. Inilah sebabnya Trump mengumumkan dalam akaun Twitternya pada 28/3/2018 bahawa dia gembira tentang apa yang dicapai daripada lawatan Kim Jong-un ke China itu, “Semalam saya menerima mesej daripada Presiden China Xi Jinping bahawa pertemuannya dengan Kim Jong-un berjalan dengan sangat baik dan kelihatan Kim menantikan pertemuan dengan saya”

China mempersembahkan Korea Utara kepada Amerika sebagai pengorbanan untuk kepentingannya sendiri. China meletakkan tekanan pada Korea Utara sehingga membuatkan presidennya bersedia untuk melakukan konsesi dan mengadakan pertemuan dengan Trump yang sombong. Sejak China terlibat dalam tekanan politik dan mengambil keputusan dalam Majlis Keselamatan untuk mengenakan sekatan terhadap Korea Utara, maka semua ini merupakan faktor penting yang membuatkan Korea Utara bersedia untuk membuat konsesi mengenai program nuklearnya. Korea Utara percaya, jika mereka kehilangan sokongan dan bantuan daripada China, serta China berperanan untuk membendung dan menyekatnya, maka Korea Utara akan merasai dua kesulitan sekaligus! Oleh sebab itulah Korea Utara perlu membuat konsesi!

Kementerian Luar China mendedahkan peranannya yang berpengaruh dalam keputusan Korea Utara dan mengumumkan bahawa “Beijing telah memainkan peranan yang positif di Semenanjung Korea” (Reuters, AFP, 23/5/2018). China telah menunjukkan bahawa ia berminat untuk mencapai kepentingan perdagangannya dengan Amerika lebih daripada sekutunya. Semua ini disebabkan China melihat ia tidak memperoleh keuntungan komersil daripada sekutunya dan bahkan mungkin juga membahayakannya secara perdagangan disebabkan sekutunya itu, walaupun sekutunya merupakan rakan komunis sendiri.

Dapat dilihat dengan jelas di sini bahawa segala perhitungan negara besar komunis ini ialah keuntungan perdagangan dan bukannya perlindungan terhadap negara-negara komunis lain yang bersekutu dengannya! Hal ini menunjukkan seolah-olah China tidak menyedari bahawa AS, yang sedang cuba untuk melucutkan senjata Korea Utara, menggunakan isu ini untuk mengepung China dan mencegah kawalannya di kawasan Laut China Timur dan Laut China Selatan!

4– Perkara ini disahkan oleh pengumuman China yang mengalu-alukan sidang kemuncak itu dan mengisytiharkan sekutunya, Korea Utara telah melucutkan senjata nuklearnya untuk Amerika. Diplomat Tertinggi dan Pegawai Negeri China, Wang Yi berkata selepas sidang kemuncak itu: “Beijing mengalu-alukan sidang kemuncak antara Presiden Amerika, Trump dan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un. Beijing menyokong dan berharap kedua-dua negara (Korea Utara dan Amerika Syarikat) akan mencapai persetujuan asas ke arah pelucutan senjata nuklear”. Tambahnya lagi, “Pada masa yang sama, satu mekanisme perdamaian diperlukan di Semenanjung Korea untuk meredakan kebimbangan keselamatan Korea Utara yang munasabah” (Reuters, 12/6/201).

Seandainya China mempunyai kesedaran politik yang matang dan kesungguhan politik (political will) yang kuat, sudah tentu ia tidak akan menekan sekutunya iaitu Korea Utara dengan cara seperti ini! Namun, ini sekaligus membuktikan bahawa pandangan dan kesedaran politik China terhadap politik antarabangsa masih sempit dan kesungguhan politiknya masih lemah. Jadi bagi China, memastikan hubungan perdagangan mereka dengan Amerika dapat memberikan pulangan yang baik sudah cukup sebagai balasan menundukkan Korea Utara kepada Amerika, tanpa melihat dengan lebih jauh tentang bagaimana hal ini dapat memberikan kesan di masa hadapan.

Dalam hal ini, tidak ditolak kemungkinan bahawa AS berusaha untuk menambat Korea Utara sehingga menjadikannya lebih dekat kepada AS daripada China. AS akan berusaha untuk mencari kesatuan dan persekutuan antara dua Korea (Korea Selatan dan Korea Utara) supaya Korea Baharu ini nanti dapat menjadi satu kekuatan yang terpisah daripada pengaruh China. Contoh paling dekat ialah Vietnam yang menjadi seteru China setelah AS menyatukan Vietnam Selatan dan Vietnam Utara di Persidangan Paris pada tahun 1975!

5- China telah memainkan peranan utama dalam membuatkan Korea Utara bersetuju mengadakan pertemuan sidang kemuncak dan melucutkan senjata nuklear di meja rundingan tanpa membincangkan tentang pelucutan senjata nuklear AS. Walhal AS merupakan satu-satunya negara yang pernah menggunakan senjata nuklear dan menyebarkan kerosakan di muka bumi, namun tekanan China telah memberikan impak yang sangat berkesan!

Dengan demikian berlangsunglah sidang kemuncak itu. Sidang kemuncak itu dijangka berlangsung selama dua hari tetapi telah dipendekkan kepada satu hari dan satu rangka kerja yang komprehensif telah dipersetujui. Ini menunjukkan bagaimana cepatnya respons  Korea Utara terhadap apa yang dikehendaki oleh Amerika. Korea Utara telah memusnahkan tapak ujian nuklear bagi membuktikan kesediaannya untuk melucutkan program nuklearnya, serta membebaskan tiga rakyat Amerika yang ditahan di Korea Utara. Trump menyatakan kegembiraan terhadap apa yang dicapainya: “Pertemuan itu sangat luar biasa dan mencapai kemajuan yang besar”. Sementara itu, Kim menganggap ini merupakan peristiwa bersejarah dan berkata, “dunia akan melihat perubahan yang besar” (Reuters, 12/6/2018).

Mereka berdua telah menandatangani satu kenyataan bersama yang mengandungi empat perkara; pertama: kedua-dua pihak komited untuk menjalin hubungan yang baik sesuai dengan aspirasi kedua-dua negara untuk mencapai keamanan dan kemakmuran; kedua: kedua-dua pihak akan berusaha membentuk dan mempromosikan keamanan yang berkekalan dan stabil di Semenanjung Korea; ketiga: Korea Utara komited untuk mengambil langkah-langkah pelucutan senjata sepenuhnya di Semenanjung Korea. Manakala perkara keempat pula berkait aspek kemanusiaan dengan janji untuk mengembalikan saki baki rakyat Amerika yang hilang dan dipenjarakan sejak Perang Korea-Amerika (1950-1953).

Trump menggambarkan perjanjian itu sebagai “komprehensif dan sangat penting”. Manakala Kim Jong-un berjanji dalam pernyataannya ke arah “perlucutan senjata sepenuhnya di Semenanjung Korea” (BBC, 12/6/2018). Kenyataan ini menunjukkan bahawa terdapat perjanjian rangka kerja, dan bukanlah perjanjian mengenai perkara-perkara yang menentukan apa yang telah dipersetujui sebagaimana cara melaksanakan pelucutan senjata nuklear, mekanisme dan waktu serta pengawasan pelaksanaannya, dan hal-hal lain yang diperlukan oleh perjanjian yang dapat dilaksanakan segera seperti dalam perjanjian nuklear dengan Iran, yang semua ini ditulis dalam rincian perjanjian.

6- Oleh itu, dijangkakan bahwa Amerika Syarikat akan mengendalikan rundingan dan perbincangan panjang dengan Korea Utara yang boleh dilanjutkan selama bertahun-tahun. Nampaknya Trump ingin menyelesaikan perjanjian awal dengan cepat dan menyelesaikan masalah dengan Korea Utara, setelah dia membuat pelbagai ancaman dan tidak boleh berundur daripada hal tersebut melainkan dengan mencapai sesuatu yang menunjukkan bahawa Trump berjaya menundukkan Korea Utara.

Seperti yang telah kami katakan, tanpa tekanan daripada China maka ancaman-ancaman Trump tidak akan dapat menghasilkan Sidang Kemuncak ini dan pengumuman Korea Utara tentang kesediaannya untuk melucutkan senjata nuklear dan menandatanganinya. Dengan demikian, Trump mencatatkan kemenangan bersejarah untuk dirinya, yang boleh memudahkannya berjaya dalam penggal kedua pemilihan Presiden Amerika yang akan berlansung dalam dua setengah tahun lagi. Hal ini sekaligus dapat menutup segala skandal yang dilemparkan terhadapnya yang masih belum berhenti sehingga kini serta menutup segala segala tuduhan tentang kegagalannya dan kritikan orang lain terhadap kesombongan dan kebodohannya.

Ini terbukti dengan kata-kata Trump sendiri: “Kim Jong-un memberitahu saya bahawa negaranya sudah memusnahkan kemudahan ujian peluru berpandu…  Kami akan mengangkat sekatan ketika kami mengambil langkah-langkah penting mengenai isu perlucutan senjata nuklear… Kami tidak melepaskan apa-apa perkara pun semasa rundingan… Kami juga akan menghentikan gerakan tentera yang mensasarkan Korea Utara. Saya akan mengundang Kim Jong-un ke Rumah Putih pada masa yang sesuai”. Trump menambah bahawa dia dan Kim Jong-un  telah menandatangani perjanjian pelucutan senjata nuklear. “Saya rasa bahawa kami mempunyai kerangka kerja untuk mempersiapkan pelucutan senjata nuklear untuk Korea Utara” (Al -Jazeera, 12/6/2018). Oleh itu, Trump mahu mengakhiri fail ketegangan dengan Korea Utara untuk menunjukkan bahawa dia telah mencapai kemenangan yang besar.

7- Penamatan isu ketegangan dengan Korea Utara atau menenangkannya dapat membantu Trump untuk menumpukan perhatiannya kepada perang perdagangan dengan sekutu dan musuh-musuhnya! Hubungan Trump dengan sekutu-sekutunya tegang apabila dia mengumumkan untuk mengenakan cukai kastam yang tinggi terhadap eksport keluli dan aluminium ke negaranya (AS), berdasarkan pertimbangan bahawa perjanjian perdagangan sebelumnya dengan mereka (sekutu AS) tidak adil. Trump telah menulis di Twitter pada 8/6/2018 ketika menuju ke Sidang Kemuncak G7 di Quebec, Kanada, “Saya mengharapkan penilaian ke atas pelbagai perjanjian perdagangan yang tidak adil dengan negara-negara G-7. Sekiranya perkara ini tidak terjadi, maka kami akan keluar pada keadaan yang lebih baik untuk kami”. Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan Presiden Perancis Macron menolak langkah-langkah tersebut dalam sidang akhbar bersama dengan menyatakan bahawa “mereka tidak bersedia menerima segala-galanya untuk mengeluarkan kenyataan bersama dengan Amerika,” (AFP, 6/6/2018). Trump menuduh Perancis dan Kanada mengenakan bayaran tinggi terhadap barangan AS dan menuduh Perdana Menteri Kanada Trudeau sebagai “pemarah”.

Pegawai Kanada menyatakan kepada wartawan pada petang 7/6/2018, “terdapat beberapa perbezaan besar dalam banyak isu,” (Reuters, 8/6/2018). Malah Presiden Perancis Macron, yang berusaha untuk membangun hubungan persahabatan Perancis-Amerika, tidak dapat menahan emosinya dan cuba mengikuti kehendak AS secara tidak langsung serta berputar-putar secara tidak menentu (untuk sembunyikan penentangannya). Kemahiran seperti ini tidak dimiliki oleh Perancis sepertimana yang dimiliki oleh British. Macron menyatakan “Enam anggota G-7 yang lain boleh membentuk kumpulan mereka sendiri jika perlu,”. Dia menambah sebagai bentuk kritikan terhadap Trump, “Tidak ada pemimpin yang kekal selama-lamanya” (Reuters, 8/6/2018).

Kelicikan pihak Inggeris muncul ketika Britain ingin menunjukkan bahawa ia tidak menerima respon ini untuk mengekalkan hubungannya dengan AS sambil menghasut pihak lain untuk menentangnya (AS). Perdana Menteri Mei memberitahu wartawan bahawa “dia mahu EU berkomitmen mengawal diri daripada tindak balas terhadap tarif Amerika, dan jika mereka ingin bertindak balas maka hal sedemikian perlu seimbang dan sah” (Reuters, 8/6/2018). Canselor Jerman berkata dalam satu wawancara dengan televisyen Jerman ARD pada 10/6/2018 mengenai keputusan Trump untuk menarik balik tandatangannya: “Perkara ini sangat menyedihkan, ia mengecewakan harapan kali ini, namun begitu ia bukanlah penamat”. Menteri Luar Jerman Heiko Maas dalam tweetnya di Twitter sebagai respon terhadap  tweet Trump mengatakan, “tweet Trump telah memusnahkan keyakinan yang sangat besar”. Ketegangan yang berlaku dalam Sidang Kemuncak G7 di Kanada ini memuncak dengan adanya serangan terhadap Trump oleh para pemimpin negara lain yang mengambil bahagian dalam sidang kemuncak tersebut.

Trump menarik balik tandatangannya dalam pernyataan bersama Sidang Kemuncak G7 itu dan menuduh Perdana Menteri Kanada yang mengetuai sidang kemuncak itu sebagai “tidak jujur ​​dan lemah” (AFP, 10/6/2018). Trump tiba lewat pada sidang kemuncak itu dan balik sebelum sidang kemuncak itu berakhir. Atas dasar ini, jelas bahawa perang perdagangan telah meletus. Trump telah mengisytiharkannya pada 2/3/2018 dalam kenyataan tweetnya: “Apabila sebuah negara (AS) kehilangan berbilion ringgit dalam perdagangan dengan hampir setiap negara yang ia berurus niaga, maka itu baik untuk perang perdagangan, dan mudah untuk menang”. Semua ini menunjukkan bahawa langkah perang perdagangan sangat penting bagi AS. AS masih merasai derita akibat krisis kewangan yang meletus pada tahun 2008 dengan jumlah hutang lebih daripada $20 trilion dolar. Presiden Trump yang mempunyai mentality seorang ahli perniagaan berusaha untuk menyelamatkan ekonomi Amerika dengan slogan “Amerika Didahulukan (America first)”.

Hal ini mengancam perpecahan institusi-institusi antarabangsa yang telah lama digunakan oleh Amerika untuk mengenakan pengaruhnya secara global, dan seterusnya perpecahan sistem global serta kemunculan kedudukan antarabangsa yang baru, iaitu Amerika tidak lagi akan berkorban untuk tetap menjadi negara yang memimpin dunia dengan bantuan dari negara-negara lain dan bertolak ansur dengan membuat keseimbangan perdagangan supaya condong ke pihaknya. Namun begitu, AS kini hanya peduli tentang kedaulatan dengan keuntungan perdagangannya tanpa bantuan daripada sekutu-sekutunya. Ini dilakukan supaya sekutu-sekutunya itu tetap berada di bawah payungnya dan bergerak di belakangnya.

8- Amerika Syarikat tidak ingin terikat dalam sebarang perjanjian apa pun. AS akan segera membatalkannya atau berlepas diri daripada sebarang perjanjian sekiranya ia melihat kepentingannya memerlukannya untuk menarik balik dan melanggar perjanjian. AS telah melakukan perkara yang sama dengan Korea Utara pada tahun 2003 pada masa George W. Bush (Bush Junior). AS juga pernah membatalkan perjanjian dengan Korea Utara pada tahun 1994 ketika zaman Presiden Bill Clinton. Manakala presidennya sekarang, Trump yang menandatangani satu kenyataan bersama dengan sekutunya di Sidang Kemuncak G7 di Kanada, namun sehari selepasnya dia membatalkan perjanjian dan menarik balik tandatangannya. Trump juga telah membatalkan perjanjian nuklear Iran yang ditandatangani oleh Obama pada tahun 2015. Maka, perjanjian terbaru dengan Korea Utara juga tidak akan terjamin. Amerika akan mengancam untuk membatalkan perjanjian tersebut dengan tujuan menekan Korea Utara untuk melaksanakannya ketika AS ingin memulakan rundingan berkaitan hal tersebut, pada bila-bila masa AS ingin menentang atau menolak salah satu dari perkara yang ada dalam perjanjiannya! Melanggar perjanjian, keangkuhan, sikap acuh tak acuh kepada pihak lain dan memeras ugut mereka menjadi ciri-ciri yang sudah melekat pada AS. Semua perkara ini termasuk faktor-faktor yang lambat laun menyumbang kepada kejatuhannya.

Daulah Khilafah Rashidah akan kembali sebagai kedudukan negara adikuasa yang utama, dengan izin Allah untuk menegakkan keadilan, menjaga perjanjian, menyebarkan petunjuk, melaksanakan kebenaran dan membuang kepalsuan agar semua manusia dapat merasai kebahagiaan dan ketenangan dalam keamanan dan keselamatan di semua urusan kehidupan. Rasulullah SAW telah memberikan khabar gembira tentang kembalinya Khilafah, setelah berakhirnya zaman pemerintahan diktator ketika ini;

«ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ»، رواه أحمد عن حذيفة رضي الله عنه

 “Maka akan kembali Khilafah di atas manhaj kenabian”, [HR Ahmad dan Huzaifah].

Sesungguhnya Allah Maha Perkasa atas perkara itu.

2 Shawwal 1439 AH

16/6/2018 CE