AS & Korea Utara : Minyak dan Air Tidak Mungkin Dapat Disatukan

Pyongyang ingin damai dengan AS

SEOUL 1 Jan. – Korea Utara hari ini menggesa supaya permusuhannya dengan Amerika Syarikat (AS) ditamatkan dan berikrar untuk berusaha ke arah memastikan Semenanjung Korea bebas daripada senjata nuklear, tujuh bulan selepas ujian nuklear terakhir Pyongyang membangkitkan kemarahan masyarakat antarabangsa.

Seruan tersebut disuarakan dalam satu lidah pengarang bersama di semua akhbar kerajaan di negara komunis itu.

Lidah pengarang sempena Tahun Baru yang menetapkan dasar itu mesti dipelajari dan dihafal oleh rakyat Korea Utara kerana ia dianggap sebagai panduan ideologi bagi tempoh setahun akan datang.
“Tugas utama bagi memastikan keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea dan di seluruh Asia adalah untuk menamatkan hubungan permusuhan antara DPRK (Korea Utara) dengan AS,” menurut lidah pengarang itu.

DPRK mengambil pendirian konsisten untuk mewujudkan sistem keamanan berkekalan di Semenanjung Korea dan menjadikannya bebas nuklear menerusi dialog dan rundingan, jelas lidah pengarang yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Pyongyang, KCNA.

Korea Utara meninggalkan rundingan enam pihak mengenai pelucutan senjata nuklear pada April tahun lepas sebagai membantah kecaman antarabangsa terhadapnya kerana melancarkan sebuah roket jarak jauh.
Pada Mei berikutnya, Pyongyang menjalankan ujian nuklear keduanya sejak 2006.

Utusan AS, Stephen Bosworth melawat negara komunis itu bulan lepas dan mencapai ‘persefahaman bersama’ mengenai keperluan untuk menyambung semula rundingan melibatkan kedua-dua Korea, Jepun, China, Rusia dan AS, tetapi tarikhnya belum ditetapkan.

Di Washington, seorang pegawai Jabatan Negara AS berkata, Korea Utara perlu membuktikan kejujurannya dengan kembali ke rundingan enam pihak.

Penganalisis berkata, langkah Korea Utara menggunakan lidah pengarang bersama sempena Tahun Baru itu dilihat signifikan. – AFP

Sumber : Utusan Malaysia 02/01/2010

AS & Korea Utara : Minyak dan Air Tidak Mungkin Dapat Disatukan

Mungkin ini merupakan adegan pembuka lembaran baru politik dunia bagi tahun 2010. Pyongyang yang sebelum ini banyak melakukan provokasi dengan pelbagai kenyataan serta ujian senjata, tiba-tiba melahirkan hasrat untuk “menamatkan” persengketaan mereka dengan AS. AS merupakan ketua kerajaan Kapitalis sekarang ini manakala Korea Utara memang sudah dikenali dengan ideologi Sosialis mereka. AS memang banyak melakukan kecaman malah pernah mengambil tindakan agresif terhadap negara sosialis ini. Uslub (teknik) mereka ini memang berpadanan dengan perancangan politik (al-khiththat al siyasiyyah) untuk mewujudkan salah satu tujuan yang dituntut oleh penyebaran ideologi Kapitalis mereka.

Label yang diberikan oleh AS terhadap Korea Utara – “Negara Paksi Kejahatan” – semestinya menguntungkan AS di mata dunia. Dengan sengaja menakutkan dunia akan “ancaman” Korea Utara AS memberi justifikasi perlunya mereka berada di Semenanjung Korea, walhal AS bukan sahaja telah terbukti merupakan ancaman kepada dunia, malah telah banyak melakukan penaklukan dan kerosakan ke atas negara- negara lain. Kehadiran mereka di Semenanjung Korea pastinya akan sedikit sebanyak menyekat pengaruh China dan Rusia. Oleh itu, “justifikasi” untuk membenarkan kehadiran mereka di sana pastinya tidak akan dilenyapkan. Kedua-dua ideologi buatan manusia ini (Kapitalis & Sosialis) adalah mustahil untuk disatukan atau untuk didamaikan. Ini memang lumrah bagi mana-mana ideologi yang pastinya akan berusaha untuk memenangkan ideologi masing- masing.

Berlainan dengan ideologi yang berasal dari Allah, Islam telah mampu untuk menyatukan dunia serta membawa peradaban dunia ke puncak kejayaan. Semasa Daulah Khilafah masih gagah berdiri, berjuta- juta jiwa yang terdiri daripada beratus- ratus bangsa bernaung di bawahnya. Islam mampu menyatukan mereka dari segi perasaan, pemikiran, serta peraturan. Kesejahteraan yang dibawa oleh Islam merupakan salah satu bukti bahawa ideologi yang berasal dari Allah ini merupakan ideologi yang fitrah bagi umat manusia. Ideologi ini tidak perlu dihafal sebagaimana perlunya dasar ideologi sosialis yang dinyatakan oleh Lidah Pengarang Korea Utara sempena tahun baru ini. Ini kerana, ideologi Islam mampu meresap ke dalam jiwa setiap penganutnya dan memandu mereka dalam setiap amal perbuatan tanpa sebarang paksaan. Apabila Daulah Khilafah berdiri nanti, Islam akan dikembangkan ke seluruh pelusuk dunia dan penerapannya akan pasti membawa kesejahteraan dan penyatuan yang tiada tolok bandingannya.