Qatar dikritik, Islam Diserang

Sebahagian besar tumpuan manusia kini beralih ke Qatar sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia ke-22 yang bermula secara rasmi pada 20 November sehingga 18 Disember 2022. Temasya yang gilang-gemilang ini menjadi satu acara yang dinanti-nantikan oleh banyak pihak untuk melihat pasukan negara mana yang paling hebat untuk menjadi juara pada kali ini. Ditambah lagi, pandemik Covid-19 yang selama ini telah ‘mengurung’ masyarakat dunia selama lebih kurang 2 tahun telah meningkatkan lagi sensasi dan keghairahan untuk kejohanan kali ini. Di dalam edisi kali ini, terdapat enam negara kaum muslimin yang mengambil bahagian iaitu Iran, Qatar, Arab Saudi, Maghribi, Senegal dan Tunisia. Umat Islam di Malaysia juga tidak terkecuali memberi ulasan di segenap media sosial menyatakan sokongan mereka kepada pasukan pujaan masing-masing.

Berdasarkan sejarah, temasya pertama Piala Dunia telah bermula pada tahun 1930 iaitu enam tahun selepas kejatuhan Khilafah Islam. Maksudnya, negara Khilafah tidak pernah terlibat dengan acara itu. Permainan ini sebenarnya telah mula diperkenalkan oleh British ke dalam Khilafah Uthmaniah sekitar 1850-an di Thessaloniki, Greece yang pada ketika itu masih di bawah naungan Khilafah Uthmaniah. Pasukan bola sepak yang pertama ditubuhkan di dunia Islam adalah pada tahun 1875 dan diberi nama Smyrna FC. Pasukan ini dibentuk oleh orang-orang British yang menjadi imigran di Khilafah Uthmaniah.

Pada ketika ini, media massa di dunia khususnya di Barat begitu kuat melakukan propaganda untuk menyerang Qatar atas alasan enggan menerima agenda LGBT di dalam acara Piala Dunia kali ini. Mereka mendesak agar setiap kapten pasukan bola sepak memakai tag lengan yang berwarna pelangi sebagai solidariti kepada golongan ini. Umum mengetahui, bahawa Qatar adalah negara Islam yang menentang LGBT dan cadangan untuk mengetengahkan ditolak. FIFA juga mengambil pendekatan yang sama sebagai langkah menghormati Qatar sebagai tuan rumah. Bukan sahaja isu LGBT, malah isu arak, seks bebas, dan hak asasi manusia juga dimainkan oleh media barat untuk memburukkan Qatar.

Sikap kaum kuffar terhadap Islam sudah tidak perlu disangkalkan lagi. Jadi, kempen kebencian terhadap  Qatar ini harus dilihat di dalam konteks yang lebih luas. Dari bentuk serangan pemikiran yang dilakukan, tidak dapat dinafikan bahawa kuffar Barat mengambil kesempatan ini untuk menyerang Islam. Hipokrasi Barat terserlah apabila mereka enggan membenarkan Islam diamalkan di negara mereka tetapi pada masa yang sama, mereka menyokong kelompok-kelompok liberal (khususnya kelompok LGBT) untuk melakukan perkara terlarang di negara umat Islam. Jika dilarang, mereka akan menyebarkan propaganda kebencian ke atas negara umat Islam tersebut.

Kita sedia maklum Qatar adalah negara umat Islam yang terlibat dengan banyak hubungan dagangan dan diplomatik dengan dunia Barat. Namun, kesungguhan kerajaan Qatar untuk tegas dalam isu berkaitan agama adalah usaha yang baik termasuklah usaha murni yang cuba dibawa oleh Qatar pada penganjuran Piala Dunia kali yang ada sinar Islam berbeza dengan penganjuran seperti sebelum ini. Antaranya adalah pembacaan ayat Al-Quran di acara pembukaan, larangan seks bebas, larangan LGBT, larangan arak dan sebagainya. Hasil daripada usaha ini juga berjaya menarik minat sejumlah orang luar untuk cenderung memeluk agama Islam di sepanjang acara ini sedang berlangsung. Disebalik semua ini, apa yang lebih penting adalah kerajaan Qatar seharusnya sedar bahawa perkara yang paling utama adalah melaksanakan keseluruhan hukum syara’ demi mencapai keredhaan Allah SWT.

Pertandingan Piala dunia yang ke-22 kali ini telah disulami dengan aktiviti menyerang Islam secara beramai-ramai dan ini menyerlahkan lagi hipokrasi Barat dalam isu berkaitan Islam. Sesungguhnya, sehebat manapun ancaman yang diwar-warkan oleh musuh, agama Islam tidak akan lenyap dan terus kukuh. Ancaman pemikiran seperti ini dapat dipatahkan dengan mudah apabila seluruh umat Islam di dunia bersatu dan dipimpin oleh seorang Khalifah. Syariat yang diturunkan oleh Allah SWT bukan sesuatu yang boleh dipermainkan dan dipersenda oleh musuh Islam. Umat Islam perlu sensitif dengan ancaman ini dan bersedia melengkapkan diri dengan meningkatkan martabat di sisi Allah SWT dengan ilmu pengetahuan Islam demi untuk membela Islam. Jika Islam dihina lagi kita akan bangkit dan membela agama yang dicintai ini.

Wallahu alam.