Ragut dan Penyalahgunaan Dadah Meningkat…Hasil Penerapan Kapitalisme!
• Penagih dadah yang semakin bertambah dengan lima penagih baru dikesan setiap hari menjadi punca kes ragut sehingga meragut nyawa, sukar dibendung.
• Pensyarah Kriminologi Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy berkata, 70% kes ragut di Malaysia dilakukan oleh penagih dadah.
• Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula menyatakan selagi ada penagih dadah, selagi itu akan ada jenayah ragut.
• Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zainal Abidin Kamarudin semalam memerintahkan seorang tertuduh kes ragut membaca dengan suara kuat laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai kematian seorang mangsa ragut, Abdul Rahman Mohd. Khadla’din.
Sumber : Utusan Malaysia,09/12/09
Kes Ragut Meningkat…Kerana Bertambahnya Penagih Dadah….Hasil Dari Penerapan Sistem Kapitalisme.
Agak menarik kenyataan KPN bahawa selagi ada penagih dadah, selagi itu akan ada jenayah ragut. Apakah kenyataan itu hanya cukup berhenti setakat itu sahaja? Jika tidak, apakah akan ada penyelesaiannya? Adakah cukup sekadar meluahkan kenyataan sebegitu sahaja tanpa apa-apa tindakan yang efektif?
Jika diteliti dan diperhalusi sebenarnya kita boleh Nampak bahawa ada yang tidak kena dalam masyarakat hari ini. Yang jelas, selagi syariah tidak diterapkan maka selagi itulah akan pasti terus bermunculanindividu-individu sekular yang akan tanpa rasa bersalah melanggar hukum syara’. Ibarat biji durian yang ditanam oleh seorang pekebun yang mana ianya akan pasti menumbuhkan pokok durian dan akhirnya akan mengeluarkan buah durian – bukannya buah rambutan. Anologi semudah ini sepatutnya menjelaskan kepada mereka yang berkuasa pada hari ini bahawa persoalan masyarakat yang semakin rosak dan parah ini sebenarnya berpunca dari sistem kehidupan sekular Kapitalisme yang diterapkan di tengah-tengah masyarakat. Selagi sistem yang rosak ini diterapkan maka ianya akan pasti mengundang 1001 macam masalah di tengah-tengah masyarakat. Sistem Kapitalisme yang diterapkan oleh para pemimpin sekular hari inilah yang menyumbang kepada tersebarnya idea kebebasan yang melahirkan golongan masyarakat yang bebas untuk melakukan apa sahaja tanpa terikat dengan hukum syara’. Firman Allah SWT:
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al-Maaidah (5) : 50].
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Taha (20) : 124].
“Dan (tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. [TMQ Al-A’raaf (7) : 96].
Sudah saatnya para pemimpin sekular hari ini kembali kepada Islam dengan menegakkan Khilafah.