Ramadan Tiba, Apa Persiapan Yang Sepatutnya Dilakukan?

Oleh: Hidayah Muhammad

Muqadimah

Dengan berlabuhnya Sya’ban, maka tetamu istimewa akan berkunjung dan umat Islam akan menjalani rukun Islam ketiga iaitu ibadah puasa. Ia juga bulan yang dinanti-nantikan kerana Allah SWT menjanjikan rahmat, berkah dan maghfirah serta banyak lagi keistimewaan yang ada sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Dari Abu Hurairah RA berkata bahawa  Nabi SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh berkah. Allah SWT mewajibkan ke atas kalian berpuasa di dalamnya. Ketika Ramadan, pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan itu terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan (LailatulQadar). Barangsiapa yang terhalang (untuk mendapatkan) kebaikan malam itu maka sungguh dia telah dihalangi (dari keutamaan yang agung).” [HR Ahmad dan An-Nasai’]

Persiapan Yang Lazim Dilakukan Menjelang Ramadan

Banyaknya keistimewaan yang ada di dalam bulan Ramadan pastinya meningkatkan semangat kita untuk berusaha meraih kelebihan yang ada pada bulan yang mulia ini dan sudah tentu ramai yang bersiap sedia melakukan persiapan menjelang tibanya bulan ramadan. Persediaan dilakukan adalah untuk melazimi amalan-amalan tambahan seperti puasa sunat, solat sunat, mengatur jadual aktiviti harian untuk mengikuti tadarus Al-Quran serta mengkaji ilmu-ilmu terkait dengan puasa. Kaum wanita pula memastikan puasa yang ditinggalkan pada Ramadan lalu atas keuzuran syar’ie akan diqada sebelum bermulanya Ramadan tahun semasa.

Namun, cukupkah sekadar persiapan hanya daripada aspek individu? Ini kerana bulan Ramadan bukan sekadar bulan ibadah yang hanya dilakukan dalam konteks individu dan bukan hanya mampu memberikan manfaat pada individu yang menunaikan kewajipan berpuasa. Bulan Ramadan juga sinonim dengan bulan perjuangan dan juga bulan kesatuan bagi umat Islam, yang mana manifestasi kesatuan umat Islam dizahirkan melalui penetapan awal dan akhir bulan Ramadan agar umat Islam di seluruh dunia dapat berpuasa secara serentak.

Inilah betapa pentingnya peranan negara untuk melakukan persiapan menjelang Ramadan seperti penetapan bermulanya 1 Ramadan berdasarkan rukyatul hilal.

Persiapan Khilafah Menjelang  Awal  Ramadan

Menjelang awal Ramadan, Khalifah bersungguh-sungguh mempersiapkan segala usaha untuk merukyah hilal (melihat anak bulan) Ramadan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW “Berpuasalah kalian apabila melihat hilal (anak bulan) dan berbukalah (Eidul Fitri) kalian apabila melihat hilal. Dan jika hilal itu tertutup dari (penglihatan) kalian, maka sempurnakanlah (genapkan) bilangan bulan Sya’ban itu 30 hari” [HR Bukhari dari Abu Hurairah].

Khalifah akan mengerahkan para ulama, ahli falak dan pakar astronomi di seluruh pelusuk dunia sama ada yang berada di dalam wilayah ataupun di luar wilayah Khilafah untuk merukyah hilal. Segala teknologi yang ada akan digunakan dan siaran langsung dari seluruh dunia akan dilakukan.

Setelah terlihatnya hilal, maka Khalifah akan segera mengumumkan masuknya 1 Ramadan atau sekiranya hilal tidak kelihatan, maka bulan Sya’ban akan digenapkan kepada 30 hari dan Khalifah akan mengisytiharkan tarikh puasa bagi umat Islam di seluruh dunia.

Sekilas Ramadan Pada Masa Rasulullah SAW dan Para Khalifah

Sesuatu yang sangat menarik apabila ditelusuri sirah tentang suasana Ramadan pada zaman Rasulullah SAW dan bagaimana persiapan yang dilakukan oleh para Khalifah untuk menyambut bulan Ramadan. Berbeza dengan suasana hari ini, pada masa Rasulullah SAW, bulan Ramadan dipenuhi dengan suasana ibadah dan perjuangan, yang mana berpuasa tidak menjadi halangan untuk Rasulullah SAW dan para Sahabat keluar berjihad. Banyak peperangan yang terjadi ketika bulan Ramadan dan salah satunya Perang Badar yang terjadi pada 17 Ramadan. Pada masa Khulafa’ ArRasyidin, wilayah yang dikuasai Islam semakin meluas, namun suasananya tidak jauh berbeza dari masa Rasulullah SAW. Antara persiapan dilakukan oleh para Sahabat: “Setiap  akhir bulan Sya’ban dan Ramadan, para Sahabat memantau hilal untuk memulai dan mengakhiri puasa Ramadan sebagaimana perintah Nabi Muhammad SAW” [HR Imam Abu Daud].

Pada malam pertama bulan Ramadan, Khalifah Umar Al-Khathab akan segera menunaikan solat Maghrib dan berkhutbah. Beliau juga akan mengutus surat kepada para Wali untuk melaksanakan solat Terawih secara berjemaah di Masjid (Imam Nawawi, Al-Majmu’, Juz 3/527)

Pada masa Khilafah Abbasiyyah, Khalifah Al-Qadir Billah yang terkenal sebagai pemimpin yang mencintai ilmu menyemarakkan bulan Ramadan dengan mengadakan majlis ilmu. Salah seorang Penasihat Istana di Istana Malik Al-Asyraf yang berada di Syam ialah Syaikh Syamsuddin yang merupakan cucu kepada Ibnu Jauzi. Beliau sering menyampaikan nasihat dalam majlis ilmu yang diadakan setiap hari Sabtu ketika bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadan.

Khilafah Uthmaniyyah yang berpusat di Turki menjadi contoh kepimpinan penyebaran Islam sehingga tiga benua berjaya dikuasai dan menjadi negara yang disegani oleh kawan serta digeruni oleh lawan. Tibanya Bulan Ramadan, setiap jalan akan dihiasi dengan lampu yang berwarna-warni untuk menyemarakkan lagi suasana Ramadan.  Di Istana dilakukan solat terawih yang dihadiri oleh Khalifah. Dan pada akhir Ramadan, Khalifah akan menghadiri solat terawih di Masjid Aya Sofia. Bulan Ramadan juga menjadi kesempatan  bagi Khalifah mengundang duta-duta asing ke Istana untuk menyampaikan ucapan selamat tibanya ramadan dan menjadi kesempatan Khalifah untuk bertemu dengan masyarakat secara langsung.  Khalifah juga akan mengundang masyarakat, baik yang muslim atau non-muslim untuk berbuka puasa bersama-sama di dalam Istana dengan harapan mereka diberikan hidayah.

Selain itu para  menteri  juga mengambil  kesempatan dengan menjamu masyarakat dengan pelbagai hidangan  pada hari Isnin dan Jumaat. Majlis berbuka puasa itu biasanya diiringi dengan bacaan Al-Quran. (at-Tarikh Kama Kana, hal 203, 204

Ini hanyalah sekilas dari apa yang dilakukan oleh para Khalifah menjelang Ramadan.

Khatimah

Bila kita telusuri kisah lalu tentang bagaimana umat Islam hidup di bulan Ramadan dalam negara Khilafah, sungguh kita pasti merindui akan suasana itu. Namun setelah Khilafah yang terakhir diruntuhkan pada 28 Rejab 1342H, umat Islam tidak lagi merasakan suasana itu. Ketiadaan Khilafah juga menjadi penyebab hilangnya kesatuan umat Islam. Bila menjelang Ramadan, sukar kita melihat umat Islam menyambutnya secara serentak kerana dipisahkan oleh sempadan negara-bangsa. Oleh itu, ayuh kita jadikan Ramadan pada kali ini sebagai momentum untuk berusaha sedaya upaya mewujudkan kembali Khilafah sebagai penyatu umat Islam.

Ya Allah, sampaikan aku ke bulan Ramadan dalam keadaan selamat. Ya Allah, selamatkan aku saat Ramadan dan selamatkan amal ibadahku di dalamnya sehingga menjadi amal yang diterima [HR At-Thabarani].

Rujukan

http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/2953-sn270-ya-allah-jadikanlah-ramadan-ini-yang-terakhir-tanpa-khilafah

https://www.muslimahnews.com/2021/04/20/Ramadan-pada-masa-rasulullah-saw-dan-khilafah/

https://hidayatullah.com/ramadan/mutiara-ramadan/2020/04/29/182933/tradisi-ramadan-para-khalifah.html