Ramadhan: Momentum Pembentukan Muslimah Bertaqwa

12 Julai  2014, Kangar, Perlis – Firman Allah SWT  dalam Surah al-Baqarah ayat 183 memberi kefahaman bahawa Allah SWT mengaitkan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan ke atas orang-orang beriman dengan  pembentukan taqwa yang hakiki. Dengan itu, Khilafah Centre dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia menganjurkan Kuliyyah Ramadhan  yang bertajuk Ramadhan dan Ketaqwaan untuk menjelaskan fungsi bulan Ramadhan sebagai momentum dalam pembentukan manusia yang bertaqwa.

Ustazah Raudhah Saad selaku Ketua MHTM Perlis tampil sebagai penceramah. Beliau terlebih dahulu mendedahkan fenomena yang amat menyedihkan setiap kali bulan Ramadhan yang menjadi seolah-olah satu ‘magic’ yang merubah suasana dan sikap seseorang Muslim. Ramadhan diisi dengan memperbanyakkan ibadah ritual tetapi pada bulan berikutnya, umat Islam kembali berterusan dengan dosa, tidak takut mendemonstrasikan kefasikan, kemunafikan, dan kezaliman yang melambangkan sifat tidak takut kepada murka dan azab Allah. 

Di sisi yang lain pula terdapat segolongan kaum Muslimin mempertingkatkan amal ibadat di bulan Ramadhan, namun masih tidak berhenti daripada melakukan keharaman ataupun meninggalkan pelbagai bentuk kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT pada masa yang sama. Mereka berpuasa tetapi tidak merasa berdosa apabila melibatkan diri dengan transaksi ribawi, pemerintah berpuasa tetapi kekayaan negara tetap tidak diurus mengikut hukum Islam, dan pengamal undang-undang juga berpuasa tetapi masih tetap mempertahankan undang-undang kufur ciptaan manusia.

Beliau kemudian menegaskan bahawa itulah di antara wajah sekular di negeri ini. Meski negeri ini berpenduduk majoriti muslim, tetapi kehidupan diatur berlandaskan aqidah sekularisme, yakni agama dipisahkan dari kehidupan. Ajaran Islam hanya menjadi urusan ibadah yang sifatnya individual dan tidak berpengaruh pada kehidupan masyarakat dan negara. Sementara di negeri-negeri umat Islam seperti di Palestin, Syria, Iraq, Thailand, Myanmar, China dan lain-lain, mereka menyambut Ramadhan dengan 1001 sengsara, kaum muslimin terus hidup dalam keadaan penuh penderitaan, kemiskinan, kebuluran, kezaliman dan sebagainya hasil penerapan sistem demokrasi-kapitalis.
 
Akhirnya beliau mengajak muslimat yang hadir untuk memuhasabah diri. Saatnya Ramadhan kali ini dijadikan bulan mengukuhkan iman dan memurnikan tauhid dengan mencampakkan sekularisme dan membuang demokrasi yang menjadikan manusia sebahagian Tuhan-tuhan selain Allah. Ramadhan kali ini juga patut dijadikan titik tolak untuk mewujudkan ketakwaan hakiki dengan menerapkan syariah Islam dalam bingkai Khilafah Rasyidah ‘ala minhaj an-Nubuwwah. Dengan itu keberkahan pun akan dilimpahkan kepada seluruh umat sebagaimana janji Allah SWT,

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya  [TMQ al-A’raf (7):96].
   
Seterusnya penceramah menjawab beberapa soalan daripada peserta yang telah diajukan dalam sesi soal jawab. Kuliyyah diakhiri dengan bacaan doa. Di kesempatan ini, MHTM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta yang hadir. Semoga usaha ini dapat mendidik umat Islam agar berusaha untuk beramal secara benar setiap masa dan di mana jua agar mencapai darjat ketaqwaan yang hakiki.
 


 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.