Ramai Faham 1Malaysia Dari Faham Islam. Amat Malang Nasib Umat Islam

altRamai faham 1Malaysia

60 peratus daripada 7 juta pengirim SMS tahu konsep: Rais

KUALA LUMPUR: Satu tinjauan pendapat yang dikendalikan kerajaan tahun lalu menunjukkan kira-kira 60 peratus daripada tujuh juta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya setakat ini, memahami maksud gagasan 1Malaysia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengumumkan hasil kajian itu di sini, semalam, berkata 40 peratus lagi meminta kerajaan memberi lebih penerangan mengenai pengisian gagasan berkenaan. 

“Kementerian bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi dan menghantar tinjauan pendapat kepada rakyat Malaysia secara rawak. Soalan yang ditanya adakah rakyat faham konsep 1Malaysia.
“Hasilnya, kita menerima 14 juta maklum balas.

Daripada jumlah itu, 7 juta sudah diproses dengan 60 peratus darinya memahami gagasan 1Malaysia, manakala 40 peratus lagi meminta penjelasan lanjut,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Pegawai Kanan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dari seluruh negara di Angkasapuri.  Rais berkata, kementeriannya juga mengadakan menemuduga terus rakyat mengenai pemahaman masyarakat mengenai gagasan 1Malaysia.

“Sejumlah 12,212 responden ditemuduga dan kira-kira 62 peratus mengatakan mereka faham dan maklum mengenai maklumat dan matlamat murni gagasan 1Malaysia.

“Jadi kedua-dua kumpulan data ini akan kita buat satu pangkalan dan kemudian kita buat satu cerakinnya supaya lebih mudah bagi kita menentukan aspek mana 1Malaysia ini yang harus kita beri penumpuan lebih daripada sekarang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjadualkan segmen kedua maklum balas SMS itu bagi membolehkan responden memberikan huraian kepada jawapan mereka.  “Bagi segmen pertama, soalannya mudah, misalnya ‘Fahamkah anda tentang Gagasan 1Malaysia?… tidak ada huraian. Bagi segmen kedua, kita akan mengisi pertanyaan dalam bentuk jawapan yang lebih menjurus kepada fahaman yang lebih mendalam,” katanya.

Mengulas lanjut, Rais yakin peratusan rakyat yang memahami gagasan 1Malaysia akan meningkat apabila jumlah keseluruhan SMS yang diterima kementeriannya diproses.

“Bagaimanapun, kita tidak berpuas hati di sini saja. Saya sudah arahkan pegawai saya di setiap daerah untuk bergerak lebih aktif dengan masuk ke kampung dan estet bagi memberi penerangan mengenai gagasan 1Malaysia.
“Kita akan menyusun lebih banyak program pemahaman seperti bersemuka secara langsung di kampung, kampung baru, sekolah dan menerusi siaran televisyen yang mengandungi program pemahaman.
“Pengisian program-program tersebut akan meliputi penerangan dari segi perpaduan, kandungan Perlembagaan, pendekatan Rukun Negara, hak-hak asasi beragama, susunan kontrak sosial yang wujud, pembelajaran dan pelajaran yang ada,” katanya.

Sumber : Berita Harian, 16/01/2010

Ramai Faham 1Malaysia Dari Faham Islam. Amat Malang Nasib Umat Islam

Setelah sebelum ini rakyat di”paksa” untuk menerima ajaran Islam Hadhari kini satu lagi ajaran baru iaitu 1Malaysia pula dipropagandakan agar rakyat menerimanya. Kali ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim menjadi mata tombak untuk memastikan rakyat memahami, menerima dan seterusnya menyokong konsep 1Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Najib apabila beliau mengambil alih tampuk pemerintahan dari Tun Lah. Dari penjelasan Rais Yatim di atas nampaknya beliau begitu bersungguh-sungguh untuk memastikan rakyat dari setiap lapisan di semua peringkat samada di daerah, kampung mahupun estet agar dapat memahami dan menerima konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Najib itu. Beliau dilaporkan akan menggunakan pelbagai pendekatan bagi memastikan usaha ini berjaya.

Jika inilah yang dilakukan oleh Rais, umat Islam khususnya akan lebih memahami 1Malaysia dari memahami Islam. Ini adalah kerana untuk memahami Islam, sumbernya adalah al-Quran dan as-Sunnah bukannya Perlembagaan Persekutuan mahupun Rukun Negara atau apa-apa sahaja yang dinyatakan oleh Rais sebagai sebahagian dari bahan pengisian program-program yang akan digunakan untuk mempromosi 1Malaysia. Bila Al-Quran dan Sunnah  sudah diketepi, kesesatanlah yang akan menyelubungi.

Firman Allah  SWT: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya”. [TMQ An Nahl (16) : 36].