Rasuah: Malaysia Oh 1Malaysia

Rasuah di jeti Pulau Ketam belum berakhir

8 termasuk pegawai imigresen ditahan bersama RM100,000

KUALA LUMPUR: Walaupun Jabatan Imigresen mengambil tindakan tegas dengan menukarkan 20 pegawai dan kakitangan yang dipercayai terbabit rasuah, namun seorang pegawainya dan tujuh individu lain tetap meneruskan kegiatan itu hingga ditahan malam kelmarin bersama wang tunai RM100,000 disyaki rasuah diterima daripada pendatang asing di Jeti Penumpang Pulau Ketam dan beberapa lokasi lain di sekitar Klang.
Dalam serbuan antara jam 6 petang hingga 8 malam itu, SPRM menemui wang tunai RM30,000 di rumah pegawai imigresen berkenaan manakala RM70,000 lagi di pejabat pengusaha feri di Jeti Penumpang Pulau Ketam.  Sumber berkata, SPRM sudah menjalankan intipan sejak beberapa lama dan mengesyaki pegawai imigresen berusia 27 tahun yang berkhidmat empat tahun lalu itu, menjadi dalang utama sindiket membawa masuk pendatang asing tanpa izin.    “Tujuh individu lain berusia 30 hingga 40 tahun termasuk seorang pengusaha feri dipercayai mempunyai beberapa rekod jenayah rasuah, menjadi orang tengah antara pegawai imigresen itu dan pendatang asing itu,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull mengesahkan perkara itu dan berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Katanya, lapan individu itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam sebelum ditahan reman selama lima hari.

Berita Harian pada 27 Ogos lalu dalam laporan eksklusifnya mendedahkan ada anggota dan pegawai imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, di Pelabuhan Klang menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.

Mengikut laporan itu, setiap penguat kuasa di percayai dibayar RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cop palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan.

Susulan pembongkaran kegiatan itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman menukarkan 20 anggota dan pegawainya di Pelabuhan Klang ke beberapa cawangan negeri kerana disyaki terbabit rasuah dan salah guna kuasa hingga boleh menggugat keselamatan negara.

Sementara itu, sumber itu berkata, kegiatan lapan orang itu dikesan apabila pendatang tanpa izin yang memulakan perjalanan keluar atau masuk ke negara ini dikehendaki memberi sejumlah wang suapan “duit gerenti” kepada kapten kapal.

“Sebaik tiba di pelabuhan, kapten berkenaan akan menyerahkan sebahagian wang kepada pegawai imigresen dan selebihnya kepada orang tengah yang dikatakan mampu mencecah ribuan ringgit setiap bulan.

“Selepas membayar duit gerenti, pendatang tanpa izin itu akan diberikan tiket perjalanan pergi dan balik selain terdapat tanda tertentu di tiketnya menandakan sudah membayar duit gerenti,” katanya.

Sumber: Berita Harian 03/10/10

Dadah RM254 juta: Polis tunggu laporan kes salah laku 10 anggota

 KUALA LUMPUR, 2 Okt — Polis sedang menunggu laporan penuh siasatan kes salah laku 10 anggotanya berhubung kes rampasan dadah seberat bernilai RM254 juta di Rompin, Pahang, Mei tahun lepas sebelum sebarang tindakan susulan diambil.  Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pada ketika ini polis sedang melakukan siasatan menyeluruh kes terbabit, termasuk menimbang untuk menggantung kerja 10 anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor itu. “Nanti dulu, jangan terburu-buru (untuk gantung kerja). Kita masih lagi menyemak semula perkara ini. Kita tengok laporan lengkap dulu, kemudian barulah kita boleh putuskan apa-apa.”  “Saya akan tengok secara menyeluruh perkara ini, tidak melihat secara individu sahaja,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di sini hari ini.  Beliau berkata tindakan juga akan diambil mengikut keperluan dan penelitian oleh Kementerian Dalam Negeri, iaitu mendakwa mereka mengikut Kanun Keseksaan. Ismail mengulas kes seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, yang telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan atas tuduhan mengedar dadah yang bernilai RM254 juta.  Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir semasa menjatuhkan hukuman tersebut pada Rabu lepas turut berkata mahkamah dimaklumkan terdapat laporan bahawa beberapa anggota polis mengaku mencuri dadah dirampas yang dianggarkan seberat 40 kilogram daripada dadah yang dirampas itu.  Akhtar juga berpendapat anggota polis yang bersubahat menyediakan laporan polis, dan mereka yang melakukan salah laku itu perlu dikenakan hukuman berat daripada hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka oleh Polis Diraja Malaysia, iaitu hanya dikenakan tindakan tahan kenaikan pangkat dan pergerakan gaji.  Ismail berkata dengan pendedahan kes sebegini, jelas menunjukkan PDRM masih perlu lagi memantapkan integritinya sebagai sebuah pasukan yang adil dan telus dalam setiap siasatannya. “Apa yang penting, saya runsing melihat dari sudut elemen, disiplin polis, integritinya. Sejak jadi Ketua Polis Negara ini, agenda saya antara lain berkait dengan integriti kerana seolah-olah ada lagi (segelintir) polis berkelakuan demikian. Maknanya kita perlu cari jalan lain untuk terus mengintegritikan PDRM,” katanya. —  Bernama

Sumber: The Malaysian Insider 02/10/10

Apa Nak Jadi Dengan 1Malaysia

Harapkan pagar, pagar makan padi. Inilah mungkin bidalan yang tepat untuk kita menggambarkan betapa sakit dan kroniknya masalah yang dihadapi oleh institusi-institusi yang diamanahkan untuk menjaga keamanan negara. Mereka yang diamanahkan ini nampaknya telah terbius dengan penyakit rasuah dan khianat, yang terhasil dari sistem Kapitalisme yang hidup subur di tengah-tengah umat.  Apa yang berlaku merupakan manifestasi bahawa ikatan takwa di kalangan individu Muslim hari ini sudah longgar sedangkan ikatan ini merupakan benteng yang cukup ampuh bagi menghindari dirinya dari terjerumus dalam perlanggaran hukum syara’. Di samping itu, masyarakat dan negara juga merupakan dua elemen yang paling penting bagi memastikan peluang dan ruang rasuah itu ditutup serapat yang mungkin. Namun begitu ini tidak berlaku dalam dunia Kapitalisme, di mana penyakit rasuah ini adalah mainan yang lumrah bagi ideologi kufur ini. Masyarakat dan negara dalam dunia Kapitalisme hari ini, dari segi realitinya, tidak akan mampu membendung penyakit ini dari merebak dan membarah dalam kehidupan umat.  Untuk itu sudah tiba saatnya umat hari ini bergerak untuk menolakkan cara hidup Kapitalisme yang dijalankankan oleh pemerintah ketika ini dengan berusaha untuk mengembalikan Islam ke dalam kehidupan melalui penegakkan semula Khilafah. Sudah sampai masanya umat menolak rasuah dan pengkhianatan amanah ini dengan Khilafah. Lihat: SN113 – RASUAH SEMAKIN PARAH dan SN024 – RASUAH SUBUR DI DUNIA KAPITALISMA