Rasuah tabiat kehidupan UMNO

Sebagaimana yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia pada 24 November lepas, usaha membanteras gejala politik wang dalam UMNO adalah satu proses yang memerlukan keazaman politik dan secara realistiknya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau diminta mengulas komen bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya mengenai isu politik wang dalam parti itu, Najib percaya beberapa langkah tambahan dapat diperkenalkan untuk membanteras gejala politik wang dalam pemilihan UMNO.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di sini semalam, Timbalan Perdana Menteri yang menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Peru berkata, langkah-langkah bagi menangani politik wang itu mesti diperjuangkan secara komprehensif. “Ia juga merupakan satu proses. Proses ini melibatkan satu tempoh masa yang tertentu. Secara realistik ia tidak boleh dilakukan dalam jangka masa yang terdekat sebab masa Tun Mahathir (memimpin UMNO) dia pun perjuangkan usaha untuk menghapuskan politik wang. “Semasa dia tamat sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, dia menyatakan kekecewaannya kerana gagal membanteras politik wang,” kata beliau. Najib memberitahu, beliau tidak menganggap usaha membanteras gejala itu sebagai sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan keazaman politik. [Utusan Malaysia 25 Nov 2008]

Realiti di atas menunjukkan bahawa politik wang adalah satu perkara yang menjadi amalan darah daging dalam UMNO yang sukar dibanteras dan semakin parah dari masa ke semasa. Ini adalah kerana sikap materialistik yang ditinggalkan oleh penjajah Kapitalis yang menjadikan pemimpin UMNO pun bagaikan Kapitalis yang rakus mengejar pangkat dan kekayaan. Yang menjadi parah lagi apabila persoalan ini dianggap sebagai masalah ‘disiplin parti’ sahaja bukannya masalah ‘melanggar hukum syarak’. Inilah yang sering ditekankan oleh UMNO, bahawa gejala rasuah atau lebih dikenali sebagai ‘politik wang’ hanyalah merupakan masalah ‘disiplin parti’ semata-mata.

Untuk mengubah sesuatu tabiat yang buruk dalam masyarakat, Islam datang dengan satu thariqah yang khusus dan unik, yang mana sistem ini telah berjaya mentamadunkan masyarakat yang dulunya berada di tahap terendah dalam aspek pemikiran dan kemajuan kebendaannya (madaniyyah).

Dengan itu Islam sebagai sebuah mabda’ senantiasa menjaga komponen yang penting dalam perubahan masyarakat. Secara ringkasnya Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani menjelaskan masalah ini dalam kitab Nizhamul Islam, komentarnya,

“Islam yang memandang bahawa peraturan dilaksanakan oleh setiap individu mukmin dengan dorongan taqwallah yang tumbuh dalam jiwanya (dorongan melakukan amalan). Sementara teknik penguatkuasaannya dijalankan oleh negara dengan adil, yang dapat dirasakan oleh masyarakat. Juga dengan adanya sikap tolong menolong antara umat dengan negara dalam melakukan amar ma’ruf nahi munkar, serta diterapkannya (peraturan) dengan kuasa politik negara. Dalam Islam negaralah yang bertanggungjawab terhadap urusan masyarakat….” [Nizhamul Islam, ms 61]

Dari penjelasan di atas, kita mesti melihat bahawa unsur yang utama dalam membentuk sebuah komponen masyarakat dan mendorong untuk mengekalkan kestabilan adalah:-

(1) Individu rakyat yang menjalankan roda kehidupan sesuai dengan hukum Islam yang timbul dari kesedaran akidah;
(2) Negara yang melaksanakan hukum-hakam Islam dan menjaga aspek penguatkuasaannya;
(3) Masyarakat tertentu (parti/jemaah/kutlah) yang sering melakukan amar makruf nahi mungkar kepada individu (masyarakat) dan juga kepada Negara.

Kalau kita serius untuk membuang budaya rasuah di dalam negara, maka ketiga komponen ini perlu digerakkan secara serentak dengan perundangan Illahi. Anjakan paradigma perlu dilakukan terhadap individu, masyarakat dan Negara. Sistem lapuk lagi kufur peninggalan penjajah perlu ditinggalkan; persepsi rasuah perlu diperbetulkan dan ukurannya mestilah berasaskan ‘pandangan syarak’, bukannya masalah ‘disiplin parti’. Kesalahan Rasuah mesti dianggap sebagai perlakuan maksiat sebagaimana perlakuan makan daging babi, berzina dan berjudi. Namun selama mana pemikiran dan budaya masyarakat dan pemimpin UMNO yang suka memberi rasuah ini tidak ditukar dengan amar makruf nahi mungkar, maka selama itulah rasuah ini akan terus bermaharajalela.

Di dalam Islam, Negara pula perlu menerapkan hukuman ta’zir yang berat, yang mana boleh menjadikannya sebagai zawajir (pencegahan) kepada orang lain, bahkan rasuah ini sekali-kali tidak akan dianggap sebagai tindakan melanggar ‘disiplin parti’ sebagaimana diajar oleh pemimpin UMNO, tetapi rasuah adalah perlanggaran hukum syarak yang perlu dikenakan hukuman sewajarnya oleh Negara, walaupun ia berlaku di dalam parti-parti tertentu di dalam Negara. Dengan kata lain Islam perlulah diambil dari setiap sudut, iaitu oleh individu, parti, masyarakat dan juga Negara, barulah amalan rasuah ini dapat dihapuskan dari akar umbi.

Satu lagi penyelesaian yang boleh diambil oleh umat Islam sekarang adalah dengan menolak semua pemimpin yang terlibat dengan rasuah dan menggantikannya dengan pemimpin yang bertakwa. Malangnya di kalangan umat Islam itu sendiri masih ada yang memilih pemimpin yang rasuah, malah dalam banyak keadaan, mereka akan memilih dan mengundi pemimpin yang memberi rasuah yang paling banyak kepada mereka. Oleh kerana umat Islam di Malaysia ini telah terlalu lama diterapkan dengan hukum sekular oleh UMNO dan persoalan rasuah pula sudah menjadi tabiat UMNO sejak sekian lama, maka lahirlah golongan masyarakat yang sukakan maksiat dan najis ini, tanpa memandang lagi halal dan haram, sebagaimana tabiat pemimpin mereka. Jika satu masa dahulu UMNO pernah melaksanakan moto ‘kepimpinan melalui teladan’, nampaknya moto itu sehingga kini masih terpakai di mana apabila pemimpin UMNO telah menjadikan rasuah sebagai amalan di dalam kepimpinan dan kehidupan seharian mereka, maka ternyata amalan ini telah menjadi ‘teladan’ yang diikuti oleh setiap akar umbi di dalam UMNO pula.

Wahai kaum Muslimin! Tolaklah pemimpin sekular dan gantikan dengan pemimpin Islam.