Refleksi Jihad Sebagai Perjuangan Dakwah

Mengemban dakwah Islam sehingga tersebar ke seluruh dunia merupakan sebahagian dari kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh Negara Islam. Justeru, ia menjadi prinsip utama politik luar negeri Negara Islam (Khilafah). Politik luar negeri ini dilaksanakan dengan metod (thariqah) yang tetap dan tidak berubah, yakni jihad. Walau bagaimana pun, perlu difahami dengan pemahaman yang benar bahawa, jihad fi sabilillah dalam Islam tidaklah sama seperti peperangan oleh imperialisme. Ia bukan bertujuan untuk menakluk manusia, atau memeras harta kekayaan wilayah lain,. Jauh sekali untuk  membunuh manusia sia-sia seperti genocide yang dilakukan oleh para penjajah Barat. Sebaliknya, jihad fi sabilillah adalah bertujuan untuk mengagungkan kalimat Allah swt dan menyebarluaskan Islam, sekaligus membawakan nikmat kesejahteraan pada manusia apabila hidup di bawah aturan Al Khaliq. Selain itu, jihad juga bertujuan meninggikan haq dari kebatilan dengan menyingkirkan kezaliman dan kekufuran di tengah-tengah manusia.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah swt:

 وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا

“Kami tidak mengutus kamu (Muhammad) melainkan kepada seluruh umat manusia, sebagai pembawa berita dan pemberi peringatan.” (Surah Saba’ : 28).

Namun, ada langkah-langkah yang perlu dilakukan sebelum tindakan jihad dilaksanakan. Ini kerana jihad tidak dilaksanakan, kecuali kaum kafir yang diperangi itu telah diajak kepada dakwah Islam terlebih dahulu. Hal ini sebagaimana tindakan  Rasulullah saw yang mengutuskan perwakilan kepada para penguasa kafir terlebih dahulu, dan menawarkan Islam kepada mereka. Mereka akan ditawarkan untuk masuk Islam secara sukarela. Sekiranya mereka tidak bersedia, mereka perlu bersedia untuk tunduk kepada negara Islam serta membayar jizyah. Selain itu, dalam proses ini, ruang dialog bagi membuktikan kebatilan ajaran mereka serta kebenaran Islam turut dibuka. Sekiranya mereka menolak Islam dan enggan membayar jizyah, maka barulah alternatif perang dilaksanakan.

Langkah-langkah ini berdasarkan hadis dari Sulaiman bin Buraidah, dari bapanya (yang bermaksud):

“Adalah Rasulullah Saw. Apabila menunjuk seorang pimpinan untuk satu kesatuan pasukan perang, atau komandan kesatuan detasemen, maka baginda selalu menasehatinya agar bertakwa, serta berbuat baik pada seluruh kaum Muslimin, kemudian baginda bersabda: “Berperanglah kalian di jalan Allah dengan nama Allah. Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah. Berperanglah dan jangan berbuat zalim atau curang, jangan mencincang (memotong-motong) mayat dan janganlah kalian membunuh anak kecil atau bayi. Jika kalian berhadapan dengan musuh, ajaklah mereka untuk memilih (salah satu dari) ketiga pilihan. Apabila mereka menerima salah satu dari ketiga pilihan tersebut, maka terimalah mereka dan

Tahanlah diri kalian agar tidak memerangi mereka. Ajaklah mereka masuk Islam. Jika mereka bersedia, maka terimalah dan lindungilah mereka. Lalu ajaklah mereka hijrah dari tempat tinggal mereka (Darul Kufur) menuju tempat tinggal kaum Muhajirin (Darul Islam). Jika mereka melakukannya, sampaikan kepada mereka bahawa hak dan kewajipan mereka seperti hak dan kewajipan kaum Muhajirin. Jika mereka menolak untuk hijrah dari tempat Darul Kufur yang mereka diami, maka sampaikan kepada mereka bahawa mereka statusnya sama seperti kaum Muslimin biasa yang bukan Muhajirin. Sehingga berlakulah pada mereka apa yang berlaku bagi kaum Muslimin yang lain. Mereka tidak akan mendapatkan bahagian ghanimah atau fai’, kecuali jika mereka mahu keluar berjihad bersama para Mujahidin. Jika mereka menolak masuk Islam, maka perintahkanlah kepada mereka untuk membayar jizyah. Jika mereka bersedia membayar jizyah, maka terimalah mereka dan tahanlah agar kalian tidak memerangi mereka. Jika mereka menolak semua pilihan (yang kalian tawarkan) tersebut, maka mintalah pertolongan kepada Allah Swt. Lalu perangilah mereka.” [HR Muslim dan Ahmad serta disahihkan oleh at-Tirmidzi)

Alhasil banyak wilayah atau kekuasaan kufur tunduk kepada Islam melalui jalan damai. Misalnya seperti yang terjadi dalam peristiwa Perang Tabuk pada zaman pemerintahan Rasulullah saw, di mana Islam menang tanpa perlu berperang secara fizikal dan turut menguasai wilayah disekitarnya. Prinsip dakwah Islam ini seterusnya dilaksanakan oleh khulafa’ ar-rasyidin dan para khalifah sesudahnya, sehingga menyebabkan Islam berjaya menerobos masuk ke jantung Eropah, sebahagian wilayah Perancis, sehinggalah ke gerbang Vienna, malah turut meliputi sampai ke Timur, yakni di Nusantara.

Apa yang lebih menarik, aktiviti dakwah melalui jihad ini berlangsung hampir setiap masa, termasuklah dalam bulan Ramadhan. Selain peristiwa Perang Badar dan Fathu Makkah, sejarah turut mencatatkan berlakunya Penaklukan Andalusia pada 91 H. Peperangan ini dipimpin oleh Tariq bin Ziyad dan berjaya meraih kemenangan besar dipihak pasukan kaum Muslim. Begitu juga Pertempuran Ain Jalut pimpinan Saifuddin al-Qutuz, turut berjaya menyebabkan pasukan Tartar yang bengis mundur dari kancah perang. Malah ketika era kekhilafahan Uthmaniyah pula, syiar Islam menaungi wilayah Serbia, Bosnia, pantai Laut Hitam, hingga ke Crimea. Semua ini terjadi pasca penaklukan Crimea pada 889H. Manakala pada 31 H, umat Islam sekali lagi melakar detik kejayaan di bulan Ramadhan dengan mengukuhkan kedudukan Islam di Afrika Timur melalui perang melawan Nubia di Mesir Selatan. Demikianlah komitednya umat Islam terdahulu menyebarkan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia, sebagai satu tututan syarak.

Justeru, catatan emas peradaban Islam yang penting ini mestilah dihayati dari perspektif yang benar terkait pensyariatan jihad itu sendiri. Ia tidak boleh menjadi sekadar kisah yang diulang dibaca, atau memori untuk sekadar disimpan kemudian dilupakan bila berlalunya Ramadhan. Sebaliknya, peristiwa-peristiwa ini mestilah dijadikan peringatan kepada seluruh umat Islam bahawa aktiviti politik meninggikan syariat Islam melalui jihad fi sabilillah tetap dijalankan oleh para penguasa negara Islam terdahulu di bulan Ramadhan. Ini kerana, Islam adalah ajaran agama yang bukan hanya memerintahkan ketaatan kepada Allah SWT dalam aspek ruhiyyah semata, tapi juga dalam aspek siyasah. Sebab itu ketika Ramadhan, umat terdahulu tidak hanya terfokus pada satu ibadah atau amalan tertentu untuk meraih ketakwaan, sebaliknya melaksanakan ketaatan kepada Allah swt secara total dalam semua aspek.

Maka penting bagi kita umat Islam hari ini, pada bulan yang mulia ini, mengutip semangat Ramadhan umat terdahulu, dengan mengembalikan institusi negara Islam yang benar, yang akan menjadikan jihad sebagai politik luar negerinya. Semua ini demi menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya, meninggikan syiar Islam di seluruh pelosok bumi.

Wallahu `alam.