Refleksi Nafsiyah: Ramadhan Telah Tiba
Ramadhan yang ditunggu telah pun tiba. Jiwa-jiwa para Mukmin menjadi teruja, penuh pengharapan dan ketenangan; ketenangan apabila mengetahui bahawa bulan yang diberkati akhirnya tiba, syaitan-syaitan dibelenggu, pintu-pintu Jannah terbuka lebar dan pintu-pintu neraka ditutup rapat. Namun, suasana Ramadhan kini tidaklah seperti tahun-tahun sebelumnya, terutama pada saat yang tidak normal ini, tatkala wabak sedang melanda, lalu pemerintah mengehadkan penggunaan masjid, mengehadkan kedatangan jemaah solat Jumaat dan lain-lain.
Perasaan gembira dalam meraikan Ramadhan, apatah lagi sewaktu berbuka setelah seharian berpuasa, terasa seolah-olah kita telah mendapat keredhaan Allah (swt). Tidak ada apa-apa di dunia ini yang dapat menandingi perasaan itu. Ibadah-ibadah dapat dilakukan dengan penuh ketenangan, dengan mengetahui bahawa bulan ini penuh keberkatan dan Allah (swt) telah mengikat semua syaitan agar kita dapat beribadah dengan lebih giat dan melakukan amal yang terbaik.
Perasaan gembira tersebut sedikit sebanyak dibaluti duka apabila sejak sekian lama melihat umat Islam menyambut Ramadhan pada hari yang berbeza, sedangkan kita adalah umat yang satu, yang seharusnya berpuasa dan berhari raya pada hari yang sama, bukannya pada hari yang berlainan, kerana kita terikat pada hukum syarak yang sama untuk melihat hilal (anak bulan) bagi memulakan Ramadhan dan juga Syawal. Rasulullah (saw) bersabda,
«صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ»
“Berpuasalah ketika melihat (hilal) dan berbuka puasa ketika melihatnya” [HR an-Nasa’i].
Dalam hadis yang lain,
«غُمَّ عَلَيْنَا هِلَالُ شَوَّالٍ فَأَصْبَحْنَا صِيَامًا فَجَاءَ رَكْبٌ مِنْ آخِرِ النَّهَارِ، فَشَهِدُوا عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ رَأَوُا الهِلَالَ بِالأَمْسِ؛ فَأَمَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُفْطِرُوا مِنْ يَوْمِهِمْ، وَأَنْ يَخْرُجُوا لِعِيدِهِمْ مِنَ الغَدِ»
“Hilal Syawal terlindung daripada kami (oleh awan) sehingga kami bangun keesokan harinya berpuasa. Kemudian sebuah kafilah daripada luar Madinah tiba di penghujung hari dan mereka bersaksi kepada Nabi (saw) bahawa mereka telah melihat hilal semalam. Maka baginda (saw) memerintahkan kami untuk berbuka puasa dan berkumpul untuk lebaran pagi berikutnya” [HR Ahmad].
Setiap kali menjelang Ramadhan, kita seharusnya mempersiapkan diri kita secara mental dan fizikal. Setidaknya kita seharusnya meletakkan niat untuk membaca keseluruhan Al-Quran, walaupun kita mungkin tidak lancar membacanya atau tidak memahami bahasa Arab, sebagaimana hadis Rasulullah (saw),
وَعَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شاق لَهُ أَجْرَانِ»
“Aisyah (ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda, ‘Orang yang mahir membaca al-Quran bersama para malaikat yang mulia dan patuh. Orang yang membaca al-Quran dengan tersekat-sekat dan berat melafazkannya mendapat dua pahala’” [HR Bukhari dan Muslim].
Banyak lagi contoh perbuatan baik yang boleh diamalkan dalam bulan Ramadhan, khususnya amalan-amalan sunat yang bersifat taqarrub illallah (mendekatkan diri dengan Allah). Setiap Muslim seharusnya meletakkan niat untuk melakukan sebaik dan sebanyak mungkin amalan pada bulan yang mulia ini, dan ia seharusnya dilakukan secara berterusan.
وَعَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى الله أدومها وَإِن قل
Aisyah (ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda, ‘Amalan yang paling disukai Allah adalah yang dilakukan secara berterusan, walaupun sedikit’” [HR Bukhari dan Muslim].
Maka, ayuh kita jadikan Ramadhan ini lebih baik daripada yang sebelumnya. Marilah kita berlumba-lumba dalam mencari jalan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah (swt).
Ya Allah, bantulah kami mengubah tabiat buruk kami, kepada yang Engkau sukai.
Ya Allah, dekatkanlah kami dengan-Mu. Mari kita jalani dan kita tinggalkan Ramadhan ini sebagai seorang Mukmin yang lebih dekat dengan-Nya berbanding sebelumnya.
Ya Allah, hilangkan kegelapan dalam hati kami, gantilah ia dengan cahaya al-Quran, cahaya-Mu, ya Allah.
Ya Allah, bimbinglah kami ke jalan yang lurus. Bimbinglah kami kepada as-Sirat al-Mustaqim.
Ya Allah, kasihanilah kami di dunia ini dan di akhirat.
Ya Allah, bantulah umat ini!
Ya Allah, bantulah umat ini!
Ya Allah, bantulah umat ini!
Bantulah kami untuk menegakkan agama-Mu di bumi ini, sebagaimana kekasih-Mu, Muhammad (saw) menegakkannya. Jadikanlah kami orang yang mengikuti jejak Nabi-Mu untuk menegakkan Daulah Islam buat kali yang kedua, Daulah yang akan berdiri di atas jalan Nabi-Mu.
Ya Allah, limpahkanlah barakah-Mu pada bulan Ramadhan ini, dan semoga ia menjadi Ramadhan terakhir buat kami tanpa Khilafah. Kembalikanlah perisai umat ini (Khilafah) yang akan melindungi kami dan di belakangnya kami berperang di jalan-Mu.
Ya Allah, limpahkanlah redha-Mu atas kami di bulan yang Engkau berkati ini.
Diterjemah dan diadaptasi daripada:
http://www.hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/radio-broadcast/radio-broadcast/21233.html