Remaja sepatutnya pejuang bukan dibuang

2 remaja dituduh bunuh gadis

Temerloh: Remaja lelaki berusia 19 dan 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap pertuduhan membunuh seorang gadis berusia 14 tahun pada Oktober lalu.

Tertuduh, Zamirul Aliff Mohd Zaki yang juga pelajar sebuah kolej dan seorang lagi masih bersekolah didakwa membunuh Nur Amira Abdullah di ladang kelapa sawit di tepi sungai Triang Estate, Bera, antara 1.10 pagi hingga 3.30 pagi, 25 Oktober lalu.

Berita penuh: https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/12/298216/2-remaja-dituduh-bunuh-gadis


Ulasan:

Menurut sumber daripada Wikipedia, remaja pada umumnya merujuk kepada golongan manusia yang berumur 12-21 tahun atau 13-25 tahun. Perkataan remaja berasal daripada perkataan latin yang bermakna menuju ke arah kematangan. Golongan ini sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba dan sedang menuju ke tahap untuk menjadi dewasa.

Pada tahap ini, krisis identiti merupakan cabaran utama yang perlu dihadapi oleh remaja. Menurut majalah Social-Matters (2015) yang diterbitkan oleh Institut Sosial Malaysia, selepas fasa kanak-kanak berakhir, golongan remaja ini mula mencari identiti diri dan juga peranan mereka dalam masyarakat. Banyak persoalan mula timbul dalam diri mereka dan yang paling utama ialah persoalan “siapakah aku?” dan “adakah orang dapat menerima diri aku seadanya?”

Menurut majalah itu lagi, secara realitinya pada tahap kritikal inilah remaja akan mencuba pelbagai watak dan karakter dalam pelbagai bidang. Mereka mula mencuba bermacam-macam hal di sekolah, persatuan sosial, institusi keagamaan, dan sebagainya.

Oleh sebab itu, jika mereka tidak diberi perhatian dan dibentuk, nescaya mereka cenderung untuk mencuba perkara-perkara di luar daripada fitrah manusia. Di sinilah peranan masyarakat sekitarnya diperlukan agar mereka ini tidak merasa tersisih dan dibuang oleh masyarakat. Jika tidak, maka tidak hairanlah sekiranya berlaku peristiwa seperti yang dilaporkan.

Islam sangat memandang berat pembentukan remaja dalam masyarakat. Remaja pada satu ketika dahulu adalah tulang belakang dalam perjuangan menegakkan Daulah Islam pertama di Madinah. Sahabat Nabi SAW seperti Ali bin Abi Thalib, Zubair bin Awwam, Thalhah bin Ubaidillah  Arqam bin abi al-Arqam dan Adbullah bin Mas’ud (radhiallahu ‘anhum) masih remaja ketika peristiwa hijrah berlaku. Justeru, setiap remaja tanpa terkecuali seorang pun, sepatutnya menjadi pejuang dan bukannya dibuang.

Razi Salleh
Aktivis HTM