Representasi Politik di Barat: Antara Simbolisme Identiti dan Penggadaian Prinsip

Pelantikan rasmi Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York pada 1 Januari 2026 yang lalu telah mencetuskan polemik pemikiran yang mendalam. Tindakan beliau mengangkat sumpah sambil memegang Al-Quran telah diraikan oleh sebahagian masyarakat sebagai mercu tanda kejayaan “representasi Muslim” dalam demokrasi Barat. Namun, di sebalik naratif kejayaan identiti ini, kita perlu meneliti satu persoalan fundamental yang menyentuh teras akidah siyasiyah (politik) umat Islam: Sejauh manakah keabsahan bagi seorang Muslim memegang tampuk legislatif di dalam kerangka sistem sekular, apatah lagi di negara kafir Barat?
Peristiwa ini sewajarnya tidak dinilai berdasarkan sentimen kebanggaan atau emosi semata-mata, sebaliknya perlu ditimbang dengan neraca wahyu. Hakikat yang perlu difahami adalah demokrasi bukanlah sebuah sistem pemerintahan atau mekanisme pentadbiran yang neutral nilai. Ia adalah sistem yang lahir daripada rahim sekularisme —sebuah ideologi yang memisahkan agama daripada kehidupan — di mana kedaulatan (as-siyadah) diletakkan sepenuhnya di tangan manusia. Dalam sistem ini, manusialah yang berhak membuat, meminda, dan membatalkan undang-undang mengikut kehendak majoriti. Agama tidak boleh memainkan peranan dalam sistem ini.
Di sinilah wujudnya satu pertentangan yang nyata dengan wahyu. Islam menetapkan bahawa hak membuat hukum (at-Tasyri’) adalah milik mutlak Allah (swt). Firman-Nya dalam Surah Yusuf ayat 40, “Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah,” tidak meninggalkan sebarang ruang kekaburan. Ia sangat jelas lagi nyata, bahawa hanya Allah (swt), Satu-satunya Zat yang berhak menjadi Al-Musyarri’ (Legislator – Pembuat Hukum). Justeru, apabila manusia mengambil alih hak ini melalui parlimen atau dewan legislatif, ia merupakan satu pencerobohan nyata terhadap hak Uluhiyyah (Ketuhanan) Allah (swt).
Tindakan mengangkat sumpah menggunakan Al-Quran untuk memegang jawatan yang menjunjung perlembagaan kufur-sekular merupakan satu paradoks yang sungguh tragis. Al-Quran diturunkan sebagai Dustur (Perlembagaan) kehidupan untuk diterapkan secara menyeluruh oleh umat Islam, bukan sekadar objek angkat sumpah di majlis. Sumpah tersebut secara hakikatnya adalah ikrar taat setia untuk mengekalkan kedaulatan undang-undang kufur buatan manusia, manakala Islam tidak ada tempatnya dalam sistem pemerintahan kecuali hanya dalam ruang lingkup ibadah peribadi. Ini sesungguhnya meletakkan pelaku sumpah dalam posisi yang sangat berbahaya di sisi syarak, sebagaimana amaran keras Allah (swt) dalam Surah Al-Ma’idah ayat 44 terhadap mereka yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan-Nya.
Seringkali, partisipasi politik sebegini dijustifikasikan dengan hujah pragmatik “mengubah sistem dari dalam”. Namun, pembacaan terhadap waqi’ (realiti) politik di Barat membuktikan bahawa hujah ini hanyalah satu ilusi. Keberadaan sosok Muslim dalam struktur pemerintahan Barat selama ini tidak pernah mengubah dasar luar negara imperialis tersebut. Pembantaian umat Islam di Gaza, Syam dan wilayah lain terus berlangsung tanpa henti.
Ini membuktikan bahawa sistem demokrasi memiliki mekanisme containment (pembendungan) yang sangat ampuh. Ia menyerap individu Muslim ke dalam jenteranya bukan untuk memperkasakan Islam, tetapi untuk meneutralkan penentangan ideologi, yang mungkin datang dari Muslim tersebut. Akhirnya, wakil Muslim tersebut terpaksa tunduk, atau lebih buruk secara sukarela tunduk, melaksanakan undang-undang kufur atas nama prosedur demokrasi.
Jalan perubahan yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) bukanlah melalui asimilasi atau kompromi dengan sistem Jahiliyyah (seperti demokrasi) di era moden ini. Baginda (saw) tidak pernah menuntut kerusi dalam Darul Nadwah untuk memperbaiki kerosakan masyarakat Quraisy dari dalam. Sebaliknya, Baginda berjuang menegakkan autoriti Islam yang bersifat bebas, tersendiri dan revolusioner, yang menolak dominasi sistem selain Islam secara total.
Sesungguhnya umat Islam hari ini langsung tidak memerlukan tokoh yang sekadar menjadi “hiasan” dalam sistem kufur. Apa yang diperlukan oleh umat adalah sebuah autoriti politik Islam yang sejati — Khilafah — yang akan menerapkan hukum Allah secara kaffah, bukan sekadar mengangkat Al-Quran semasa majlis angkat sumpah, tetapi mengangkat isi kandungannya sebagai undang-undang tertinggi negara.
Wallahu a’lam.