SN529 – Perbezaan Antara Politik Islam Dan Barat

Bil: SN529 – 12 Rejab 1439 / 30 Mac 2018

SN529 - Perbezaan Antara Politik Islam Dan Barat

Mutakhir ini banyak perkembangan yang berlaku sama ada di dalam mahupun di luar negara telah menggugat kedudukan para pemerintah. Ia juga sekaligus telah mem­buka mata banyak pihak bahawa ada sesuatu yang ‘tidak kena’ telah berlaku atau sedang berlaku dengan sistem pemerintahan yang ada pada hari ini. Jika dulu rakyat hanya menutup mata dan memendam rasa dengan segala kezaliman dan ketidakadilan barisan pemerintah, kini kesedaran rakyat sudah semakin meningkat dan ia telah dimanifestasikan dengan pel­bagai cara. Iklim perubahan ini telah melanda dunia umat Islam mahupun di Barat. Pemerintah pula dilihat semakin tertekan dan terdesak dengan gelombang kesedaran rakyat yang semakin menerpa mereka. Walaupun terdapat banyak pandangan pro dan kontra dengan apa yang berlaku, namun yang pasti ialah telah muncul satu ‘kesedaran politik’ di kalangan rakyat di belahan dunia bahawa terdapat begitu banyak kepincangan dengan individu atau sistem yang men­guruskan mereka. Kesedaran politik yang dimaksudkan ialah usaha manusia untuk memahami bagaimana urusan mereka harus dipelihara [Al-Fikr al-Islami, Muhammad Muhammad Ismail]. Walaupun menyedari wujudnya perbezaan di antara politik Islam dan Barat, namun sebahagian umat Islam masih keliru dalam me­mahami perbezaan utama kedua-dua aliran politik ini. SN kali ini mengupas tiga ciri khas yang membezakan di antara politik Islam dan Barat.

Asas Pemikiran

Hal yang paling menonjol dalam Politik Barat adalah ideologi sekularisme yang menjadi asas kepada kepimpinan berfikir mereka. Dalam pandangan Barat, akal berhak menetapkan nilai-nilai moral dan kehendak manusia yang menguasai dan mengarahkan pemikiran untuk meraih ‘kebenaran’ dan ‘kebahagiaan’. Nilai moral yang ditentukan melalui proses inilah yang men­jadi tunjang politik Barat. Secara umumnya yang mempengaruhi perkembangan pemikiran politik dunia Barat adalah karya-karya etika dan moraliti Aristoteles dan Machiavelli, konstitusionalisme Cicero, totalitarianisme Stalin, hukum alam Thomas Aquinas, determinisme ekonomi Karl Marx, liberalisme ekonomi Adam Smith, demokrasi John Locke, kediktatoran Hitler dan lain-lain aliran pemikiran yang memisahkan peranan agama daripada kehidupan.

Di sinilah akar kerosakan pemikiran politik Barat dan bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat manusia agar beriman kepada Allah SWT dan menjadi hamba yang bertakwa. Di sisi Islam, akidah Islam menjadi qiyadah fikriyah (kepemimpinan berfikir) manakala akal berfungsi sebagai alat untuk me­mahami syariat yang diturunkan oleh Allah SWT dalam aspek ibadah, akhlak mahupun siyasiyah (politik). Keimanan seorang Muslim akan memancarkan keyakinannya terhadap konsep dan praktikal politik Islam yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA sebagai hukum syarak yang wajib dilaksanakan.

Standard Kebenaran dan Sumber Perundangan

Doktrin sekularisme dan liberalisme yang tumbuh subur di dunia Barat pasca Renaissance (Revolusi Eropah) pada abad ke-15 telah melahirkan banyak idea-idea baharu yang menjadi asas perkem­bangan falsafah politik, sistem pemerintahan dan ‘nilai-nilai’ universal yang diperjuangkan serta disebarkan seperti kapitalisme, demokrasi dan kebebasan manusia. Dalam politik Barat, suara majoriti dan manfaat di­angkat menjadi tunjang utama standard kebenaran dan sumber perundangan negara. Oleh sebab itu, industri arak, pelacuran dan perjudian bebas berkembang kerana memberi pulangan kepada negara. Undang-undang yang zalim dan keji seperti sistem pencukaian dan LGBT menjadi legal atas persetujuan suara majoriti di dewan parlimen atau dipengaruhi oleh pihak yang berkepentingan dan mempunyai kuasa (oligarki).

Sebaliknya, politik Islam menuntut standard kebenaran disandarkan kepada sumber hukum Islam – al-Quran, hadis, ijmak sahabat dan qias – yang terpelihara daripada kerakusan nafsu dan akal manusia yang terbatas. Politik Islam tidak hanya berbicara se­batas nilai-nilai politik, bahkan politik Islam mempunyai konsep dan struktur yang tersusun lagi terperinci. Se­bagai contoh, Majlis Umat berfungsi sebagai platform musyawarah dan muhasabah di antara wakil rakyat dan barisan pemerintah dalam rangka melaksanakan syariat Islam, bukan platform untuk memihak kepada suara majoriti. Hal ini sejajar dengan kaedah ushul fiqh yang menyatakan bahawa hukum asal seluruh perbuatan manusia harus terikat dengan hukum syarak. Malangnya Barat berhasil meracuni pemikiran umat Islam agar tunduk kepada tuntutan majoriti dan manfaat sehingga berlaku proses Islamisasi terhadap pelbagai pemikiran Barat yang sesat. Sebagai contoh, pengertian dan konteks Maqasid Syariah yang diketengahkan di Malaysia telah dimanipulasi sehingga berubah makna dan perlaksanaannya daripada melaksanakan tuntutan syariat kepada tuntutan manfaat hasil doktrin pragmatisme.

Hubungan Antara Masyarakat

Imperialisme, kemiskinan dan kezaliman adalah ciri-ciri yang sinonim dengan politik Barat. Barat men­jajah tanah dan menjarah sumber kekayaan negara-negara yang lemah, menjadikan dirinya sebagai tuan dan rakyat yang dijajah sebagai hamba yang begitu mudah ditindas, disiksa, dan dinafikan hak mereka. Pel­bagai peristiwa menyayat hati telah dirakamkan pasca kejatuhan Khilafah Uthmaniyah pada 3 Mac 1924 yang menandakan detik runtuhnya institusi politik Islam yang agung. Penjajahan Barat ke atas negara-negara umat Islam di Asia Barat, rantau Balkan, benua Afrika se­hingga ke wilayah Nusantara sejak abad ke-16 dengan slogan “pecah dan perintah” telah berhasil menyuntik virus nasionalisme dan patriotisme dalam benak pemikiran umat Islam. Politik Barat menanamkan semangat kebangsaan dan perkauman adalah jauh lebih tinggi dan penting berbanding ikatan akidah. Akibatnya sehingga hari ini umat Islam gagal mem­bebaskan wilayah-wilayah umat Islam yang terjajah dan menjadi mangsa kerakusan musuh umat seperti di Palestin, Syria, Afghanistan, Kashmir dan Arakan.

Sebaliknya, politik Islam yang berdiri di atas manhaj (metodologi) kenabian membentuk hubungan kesatuan dan keadilan buat seluruh rakyat di bawah kepimpinan negara Islam (Khilafah). Misi politik Islam dapat digambarkan melalui seruan tegas Panglima Islam, Rabi’ bin Amir, di dalam misi jihadnya ke Parsi, kepada Rustam, Ketua Panglima perang Parsi, “Sesungguhnya Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan kepada Allah, dari kezaliman agama-agama yang ada menuju keadilan Islam, dan dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat”. Bukan sahaja seluruh rakyat di bawah wilayah Khilafah mendapat hak dan jaminan yang sama rata, bahkan negara Khilafahlah juara dalam misi kemanusiaan di luar wilayahnya. Sultan Bayezid II, pernah menyelamatkan seramai 1500 pelarian Yahudi daripada kekejaman Raja Ferdinand dan Ratu Isabella yang menakluk Andalusia. Selain itu, semasa krisis kebuluran yang melanda Ireland pada tahun 1845, Khalifah Abdul Majid I telah menghantar tiga buah kapal berisi penuh dengan bantuan makanan termasuk bantuan peruntukan 1,000 pound sterling kepada petani di sana. Inilah manifestasi politk Islam yang membentuk kesatuan atas dasar Islam dan menitikberatkan prinsip kemanusiaan sejagat.

Realiti hari ini menyaksikan rata-rata negara umat Islam masih dijajah di bawah belenggu politk Barat walaupun ditampal sulam dengan sebahagian nilai-nilai Islam. Ini merupakan malapetaka dan bencana yang luar biasa kepada umat Islam kerana dengan keadaan tersebut kemuliaan Islam tercabut. Maka, mengerahkan segala kudrat dan kesungguhan dalam usaha mengubah kearah landskap politik Islam merupakan suatu tuntutan mendesak bagi umat Islam pada saat ini. Sesungguhnya, kesempurnaan iman itu adalah apabila kita mengambil dan mengamalkan Islam dalam semua aspek kehidupan, bukannya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian. Allahu’alam.


KOLUM SEJARAH ISLAM

SEJARAH KELAHIRAN SEKULARISME

Sekularisme merupakan sebuah ideologi yang pada mulanya berkembang di dunia Barat dan kemudian menyebar hampir ke seluruh penjuru dunia termasuk dunia Islam. Fahaman ini mempunyai falsafah memisahkan peranan Agama dalam mengatur kehidupan manusia. Sejarah kemunculan sekularisme bermula semasa Eropah berada di zaman kegelapannya (kurun ke-15), di mana agama Kristian menguasai dasar per­lembagaan serta seluruh aspek kehidupan masyarakat Eropah. Politik, ekonomi dan pen­didikan tanpa terkecuali turut berada di dalam pengaruh gereja dan hal ini telah menjadikan umat Kristian sangat bergantung kepada institusi gereja.

Akibat daripada pengongkongan dan sekatan terhadap pemikiran baru serta penolakan penemuan sains yang dianggap berlawanan dengan ajaran Kristian oleh gereja, masyarakat mula bertindak balas terhadap kezaliman-kezaliman yang mereka hadapi. Tindakan pihak gereja Eropah menghukum ahli sains seperti Copernicus, Gradano, Galileo dan lain-lain yang mengutarakan penemuan saintifik yang bertentangan dengannya telah menyemarakan sentimen kebencian terhadap gereja. Revolusi rakyat Eropah yang menentang pihak agama dan gereja kemudian telah tercetus di mana Martin Luther, Roussieu dan Spinoza telah memimpin revolusi tersebut. Akhirnya pada tahun 1789M, Perancis telah menjadi negara pertama yang bangkit dengan sistem politik tanpa pengaruh gereja. Revolusi ini terus berkembang sehingga muncul ribuan ahli fikir dan saintis yang berani mengutarakan teori-teori rasional yang menentang dogma agama seperti Darwinisme, Freudisme dan Atheisme. Perkembangan teknologi yang begitu pesat dan revolusi perindustrian yang berlaku di Eropah semasa fasa Renaissance telah membuatkan Barat menolak campur tangan agama dalam negara. Pengaruh fahaman sekularisme terus menular dan mula menjangkiti dunia Islam pada awal kurun ke 20 sehingga umat Islam mula mempercayai bahawa Islamlah menjadi punca kemuduran negara mereka. Akhirnya Kamal Ataturk mengambil kesempatan ini menjatuhkan Khilafah Uthmaniyah lalu membentuk Republik Turki sekular. Kemudian fahaman ini mula meracuni wilayah Islam lain merentasi benua Asia Barat sehingga ke wilayah nusantara yang dijajah oleh Barat. Di Malaysia, kesan pengaruh sekularisme masih menebal sehingga hari ini, buktinya dengan kewujudan dualisme perundangan iaitu mahkamah sivil dan syariah serta dualisme aliran pendidikan iaitu sekolah agama dan sekolah kebangsaan.

Download PDF